Diterbitkan pada 16 Jun 2026, 16:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diperkukuh secara lebih inklusif bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi, memperluas akses kepada pekerjaan bernilai tinggi dan melahirkan lebih banyak pemimpin wanita dalam sektor strategik negara.

Ketua Kumpulan Penyelidikan Universiti Dinamika TVET, Universiti Kebangsaan Malaysia, YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Haryanti Mohd Affandi berkata, kejayaan wanita dalam TVET tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah penyertaan dalam institusi pendidikan semata-mata, sebaliknya perlu dinilai melalui pencapaian mereka dalam pasaran pekerjaan.

Ujar beliau,

Apabila kita bercakap tentang wanita dalam TVET, perkara utama yang perlu ditanya bukanlah tentang jumlah wanita yang berada dalam institusi pendidikan. Perkara yang lebih penting ialah jumah yang berjaya memperoleh pekerjaan selepas menamatkan pengajian, bekerja dalam bidang yang dipelajari, menerima gaji yang baik, kekal dalam pekerjaan, serta berjaya meningkatkan kerjaya mereka.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk “Pembangunan Kemahiran dan Tindakan Dasar: Memacu TVET yang Lebih Inklusif” bersempena dengan Seminar Wanita dalam TVET: Membina Potensi, Mencorak Masa Hadapan Tahun 2026 yang berlangsung di Auditorium Kompleks E, Putrajaya pagi tadi.

YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Haryanti Mohd Affandi ketika menyampaikan ucaptama.

Menurut beliau, walaupun wanita mencatatkan penyertaan yang tinggi dalam pendidikan dan latihan teknikal, masih wujud jurang dalam penyertaan ekonomi apabila sebahagian daripada mereka tidak memasuki pasaran kerja atau gagal kekal dalam pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Hal ini menunjukkan bahawa cabaran sebenar bukanlah akses kepada pendidikan, tetapi akses kepada peluang ekonomi dan pekerjaan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa wanita masih berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuk stereotaip gender, peluang pekerjaan yang terhad dalam sektor tertentu, kekangan latihan industri, tanggungjawab keluarga serta budaya tempat kerja yang boleh menjejaskan perkembangan kerjaya mereka.

Pada masa yang sama, Profesor Madya Ts. Dr. Haryanti berkata, perkembangan pesat sektor berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan, Internet benda, automasi, pengkomputeran awan, pusat data dan kenderaan elektrik membuka peluang baharu kepada wanita untuk terlibat dalam bidang bernilai tinggi.

Jelas beliau,

Hakikatnya, banyak pekerjaan dalam sektor baharu tidak lagi bergantung pada kekuatan fizikal. Sebaliknya, pekerjaan tersebut memerlukan kemahiran teknikal, ketelitian, kreativiti, pemikiran kritis dan kebolehan menyelesaikan masalah.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa institusi TVET memperkukuh elemen pendigitalan, automasi dan teknologi baharu dalam kurikulum bagi memastikan graduan wanita memiliki kemahiran yang selari dengan keperluan industri masa hadapan.

Beliau turut berpandangan bahawa pelbagai dasar dan inisiatif kerajaan bagi memperkasakan wanita telah tersedia, namun aspek pelaksanaan perlu dipertingkatkan supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh kumpulan sasaran secara lebih berkesan.

Ujar beliau,

Cabaran utama bukanlah pada dasar, tetapi pada aspek pelaksanaannya. Perkara yang perlu diberikan perhatian ialah cara dasar tersebut dilaksanakan secara berkesan dan sampai kepada kumpulan sasaran.

Menurut beliau, pembangunan ekosistem yang menyokong wanita, termasuk kemudahan penjagaan anak, bantuan latihan, sokongan komuniti dan laluan kerjaya yang lebih fleksibel amat penting bagi membolehkan mereka terus aktif dalam pasaran pekerjaan.

Beliau berkata, usaha memperkasakan wanita perlu melibatkan kerjasama erat antara kerajaan dengan industri, institusi pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pembangunan bakat dan kepimpinan wanita.

“Sekiranya aspek ini dapat diperkasakan, saya yakin lebih banyak wanita akan menyertai tenaga kerja, berjaya dalam bidang profesional dan teknikal, serta meningkat ke peringkat kepimpinan yang lebih tinggi,” katanya.

Seminar dua hari yang berlangsung dari 15 Jun hingga 16 Jun 2026 dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, Kementerian Pendidikan Malaysia dan dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek.

Program berkenaan bertujuan memperkukuh peranan wanita dalam TVET, serta membincangkan strategi pembangunan bakat yang lebih inklusif dan mampan selaras dengan keperluan pembangunan negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi