Diterbitkan pada 16 Jun 2026, 14:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta teknologi bukan lagi domain mutlak kaum lelaki apabila keupayaan wanita dalam mengemudi bidang berkenaan kini semakin terserlah pada peringkat domestik dan antarabangsa.

Perkara tersebut menjadi inti pati utama dalam sesi Forum 4 bertajuk “Inspirasi Wanita TVET: Cabaran dan Kejayaan” yang menampilkan barisan panelis wanita ikonik dalam bidang kepimpinan akademik, penyelidikan dan industri teknikal. Forum tersebut telah dikendalikan oleh Dr. Normala Othman, Pensyarah Kanan Jabatan Kepimpinan Komuniti dan Jaringan Korporat, Pusat Pembangunan Komuniti Institut Aminuddin Baki, Kementerian Pendidikan Malaysia selaku moderator.

Prof. Madya Ts. Dr. Haryanti Mohd. Affandi, Ketua Kumpulan Penyelidikan Universiti Dinamika TVET, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menegaskan bahawa sifat wanita yang sering dianggap “kompleks” dan terlalu terperinci sebenarnya merupakan satu kekuatan besar dalam pemikiran kritikal dan perancangan strategik.

Beliau turut berkongsi data pasaran semasa yang menunjukkan situasi pasaran buruh wanita yang mencabar, iaitu enrolmen pengajian tinggi yang didominasi oleh wanita sebanyak 56.4% berbanding dengan lelaki sebanyak 37% dan kadar penyertaan tenaga buruh yang menunjukkan kadar wanita bekerja masih rendah, iaitu sebanyak 57.3% berbanding dengan lelaki sebanyak 82.9%.

Bagi mengatasi isu jurang tersebut, Dr. Haryanti menyarankan agar institusi TVET menggalakkan pelajar wanita menceburi industri berasaskan automasi, digital dan Internet benda (IoT). Industri ini tidak memerlukan kekuatan fizikal yang ekstrem, sebaliknya menuntut kepakaran pengurusan dan ketelitian yang sememangnya menjadi kelebihan semula jadi seorang wanita.

Sementara itu, Prof. Ir. Dr. Rozita Jailani, Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Teknologi MARA (UiTM) TechnoVenture Sdn. Bhd., menjelaskan bahawa tiada diskriminasi jantina yang ketara dalam sistem pendidikan negara, namun cabaran terbesar wanita adalah mengimbangi komitmen antara keluarga dengan kerjaya.

Beliau yang berpengalaman menguruskan portfolio projek bernilai RM25 juta setahun berkongsi pengalaman peribadinya menamatkan pengajian PhD di United Kingdom dalam tempoh 2.5 tahun sambil membesarkan dua orang anak yang masih kecil.

Dr. Rozita yang juga merupakan presiden wanita ketiga bagi Institute of Electrical and Electronics Engineers (IEEE) Malaysia dalam tempoh 41 tahun penubuhannya, menitikberatkan kepentingan komunikasi berstruktur.

Kongsinya, 

Lelaki lebih gemar komunikasi yang terus kepada sasaran (straight to the point) kerana cara berfikir mereka yang berstruktur. Wanita perlu bijak mengadaptasi kemahiran komunikasi dan ketegasan dalam kelembutan apabila memimpin organisasi yang didominasi lelaki.

Beliau turut menyeru generasi muda untuk memupuk tabiat pengurusan kewangan (money management) dan menimba ilmu tambahan di luar bidang tugas sejak di bangku pengajian lagi.

Puan Nurul Ainina Kamid, Penerima Anugerah Ikon: Guru TVET Kebangsaan Ke-55, berkongsi fasa jatuh bangunnya sepanjang sembilan tahun sembilan bulan berkhidmat sebagai pendidik dalam bidang teknologi automotif dan sukan permotoran di Kolej Vokasional Sepang.

Beliau yang berjaya memimpin pelajarnya meraih anugerah dalam pertandingan STEM Racing di Thailand pada tahun 2025, memberikan tiga pesanan penting buat pelajar wanita, iaitu meningkatkan kemahiran komputer termasuklah kemahiran digital secara profesional, bukan sekadar untuk lulus; mengausai bahasa Inggeris dan menjaga diri serta integriti dengan bersandar pada kepakaran, ilmu dan usaha untuk berdiri setaraf dengan kaum lelaki.

Forum ini merumuskan bahawa masa hadapan wanita dalam dunia TVET tidak lagi bersandarkan pada kekuatan fizikal semata-mata, tetapi pada ketahanan mental, penguasaan teknologi tinggi dan keupayaan komunikasi yang syumul.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi