Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Penyertaan wanita dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu terus diperkasakan apabila kadar pelibatan mereka masih berada sekitar 30 peratus hingga 35 peratus berbanding dengan golongan lelaki, meskipun menunjukkan peningkatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Isu ini dibincangkan dalam Seminar Wanita dalam TVET: Membina Potensi, Mencorak Masa Hadapan Tahun 2026 menerusi Forum Ketiga yang bertajuk “Memacu Agenda Wanita dalam TVET: Strategi dan Impak Masa Hadapan” yang dikendalikan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pengurusan Kecemerlangan TVET, Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV), YBrs. Dr. Faizulizami Osmin.
Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan, Jabatan Pembangunan Kemahiran, YBrs. Ir. Ts. Dr. Azmi Ahmad dalam sesi perkongsiannya berkata, data semasa menunjukkan penyertaan wanita dalam TVET kekal konsisten sekitar 34 peratus hingga 35 peratus, sekali gus membuktikan masih banyak usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan pelibatan mereka.
Menurut beliau, antara faktor utama yang mempengaruhi keadaan tersebut termasuklah persepsi masyarakat dan ibu bapa yang masih menganggap TVET sebagai bidang yang lebih sesuai untuk lelaki.
Beliau berkata, pendedahan mengenai TVET perlu dimulakan lebih awal termasuklah pada peringkat sekolah dan keluarga supaya lebih banyak pelajar perempuan melihat bidang itu sebagai pilihan kerjaya yang berpotensi.
Sementara itu, Ketua Sekretariat Majlis TVET Negara, YBrs. Ts. Dr. Azmir Mohd Yunus berkata, reka bentuk asal kebanyakan institusi TVET yang menyediakan kapasiti asrama lebih besar untuk lelaki turut memberikan kesan kepada kadar pengambilan pelajar wanita.
Katanya,
Usaha memperkasakan program seperti Program Vokasional Menengah Atas, Program Perantisan Industri Menengah Atas dan mata pelajaran vokasional di sekolah mampu meningkatkan bilangan pelajar yang memilih laluan TVET selepas tamat persekolahan.
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, YBrs. Ts. Zulkernai Fauzi berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini menguruskan 86 kolej vokasional serta pelbagai program TVET yang melibatkan lebih daripada 2100 institusi pendidikan di seluruh negara.
Ujarnya,
Hingga minggu lalu, sebanyak 116 333 orang pelajar mengikuti program berteraskan TVET di bawah kementerian, manakala kolej vokasional sahaja merekodkan 76 902 orang pelajar.
Menurutnya, purata penyertaan pelajar perempuan di kolej vokasional bagi tiga tahun kebelakangan ini ialah 36.07 peratus, manakala penyertaan wanita dalam keseluruhan program TVET di bawah KPM telah mencapai hingga 46 peratus.
Walau bagaimanapun, beliau mengakui bahawa bidang teknologi seperti automotif, elektrik, elektronik dan kimpalan masih didominasi oleh pelajar lelaki dengan penyertaan wanita kebanyakannya belum melepasi 15 peratus.
Tambah beliau, kekangan infrastruktur seperti kemudahan asrama turut menjadi cabaran, termasuklah di Kolej Vokasional Pasir Gudang yang menerima permohonan tinggi daripada pelajar perempuan bagi program Teknologi Bot Marin dan Pembuatan Bot, tetapi tidak dapat menambah pengambilan kerana kekurangan asrama wanita.
Sehubungan dengan itu, BPLTV merancang untuk membina blok asrama baharu untuk pelajar perempuan di kolej berkenaan serta memperkenalkan lebih banyak program teknologi baharu seperti keselamatan siber, kenderaan elektrik, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi berkaitan dengan industri minyak dan gas.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kolej Vokasional Puteri di Temerloh akan diperkasakan dengan penawaran program teknologi yang sesuai dengan perkembangan Internet benda, dron dan AI bagi menarik lebih banyak pelajar perempuan menceburi bidang teknikal.
Ahli panel turut menegaskan bahawa perkembangan teknologi dan automasi menjadikan banyak pekerjaan teknikal tidak lagi bergantung pada kekuatan fizikal semata-mata, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada wanita untuk berjaya dalam bidang yang sebelum ini dianggap didominasi oleh lelaki.
Mereka turut menekankan kepentingan peranan guru bimbingan dan kaunseling, industri serta program pendedahan kerjaya dalam mengubah persepsi masyarakat terhadap TVET dan menggalakkan lebih banyak wanita memilih laluan tersebut sebagai pilihan utama kerjaya pada masa hadapan.