Diterbitkan pada 17 Jun 2026, 15:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bukit Jalil – Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama strategik Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) telah berjaya menganjurkan International Allied Health Conference on Innovation and Excellence 2026 (i-ACHIEVE 2026) bersempena dengan 15th International Symposium of Health Sciences 2026 (I-SIHAT 2026) di Auditorium Pusat Sumber MRANTI, di sini.

Program yang julung kali diadakan ini dimulakan dengan Seminar Inovasi dan Pengkomersialan yang menampilkan perkongsian daripada pakar industri dan inovasi negara, termasuklah sesi oleh MRANTI mengenai pecutan inovasi dan pemasaran teknologi, sesi oleh MySTI berkaitan dengan proses pendaftaran dan manfaat pensijilan teknologi tempatan, serta sesi oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mengenai pembangunan syarikat pemula (startup) dan peluang pembiayaan bagi inovator.

Pertandingan inovasi i-ACHIEVE 2026 juga dilaksanakan dengan penyertaan 36 inovasi daripada institusi pengajian tinggi, hospital, agensi kerajaan dan industri yang merangkumi pelbagai bidang termasuk teknologi rehabilitasi, peranti perubatan, kesihatan digital, pendidikan kesihatan, serta inovasi komuniti yang berpotensi memberikan impak besar kepada masyarakat.

Majlis penutupan dan penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi. Turut hadir ialah YBhg. Profesor Dr. Suzana Shahar, Dekan FSK, UKM, YBhg. Profesor Dr. Mohd Fauzi Mh Busra, Timbalan Pengarah INOVASI@UKM dan Puan Sabrina Mohd Haris Maurice, Ketua Pegawai Sumber Manusia MRANTI.

Hasil penilaian panel juri yang terdiri daripada pakar akademia, industri dan wakil MRANTI, sebanyak 10 anugerah emas, 14 anugerah perak dan 12 anugerah gangsa telah dianugerahkan kepada inovasi yang menunjukkan kecemerlangan dari aspek kreativiti, kebolehgunaan, impak kepada masyarakat, kelestarian serta potensi pengkomersialan.

Anugerah Khas MRANTI telah dimenangi oleh projek Mobile Intravenous Administration Platform: Redefining Patient Mobility and Safety in Intravenous Therapy daripada KPJ Healthcare University, manakala Anugerah Reruai Terbaik pula telah dimenangi oleh projek CT-Trans: Bridging Healthcare Innovation and Engineering Partnerships Towards Global Transformation in Specimen Transportation daripada Johor Bahru Public Health Laboratory.

Anugerah Khas MRANTI telah dimenangi oleh projek “Mobile Intravenous Administration Platform: Redefining Patient Mobility and Safety in Intravenous Therapy” daripada KPJ Healthcare University.
Anugerah Reruai Terbaik pula telah dimenangi oleh projek “CT-Trans: Bridging Healthcare Innovation and Engineering Partnerships Towards Global Transformation in Specimen Transportation” daripada Johor Bahru Public Health Laboratory.

Menurut Pengarah i-ACHIEVE 2026, YBrs. Dr. Noor Hafifi Noorhisham, penganjuran program ini memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang antara penyelidikan, inovasi dan aplikasi dunia sebenar.

Ujarnya,

i-ACHIEVE 2026 menyediakan platform kepada inovator, penyelidik, pelajar dan pihak industri untuk mempamerkan idea serta teknologi yang berpotensi memberikan impak positif kepada masyarakat. Inovasi yang dipertandingkan bukan sahaja menunjukkan kecemerlangan akademik, malah mempunyai potensi untuk diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menyokong pembangunan negara.

Beliau turut menjelaskan bahawa program ini juga dapat membuka peluang kepada inovator dan penyelidik untuk membuka jaringan strategik dengan industri serta meneroka laluan pengkomersialan bagi memastikan hasil penyelidikan dan inovasi itu dapat dimanfaatkan oleh masyarakat dengan lebih meluas.

Kerjasama antara FSK UKM dan MRANTI membuktikan komitmen kedua-dua organisasi ini dalam memperkukuh ekosistem inovasi negara, mempercepat pemindahan teknologi dan melahirkan penyelesaian kesihatan berimpak tinggi yang mampu memberikan manfaat kepada masyarakat, industri dan negara.

Para peserta yang hadir bergambar kenangan bersama dengan YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pengajian Tinggi. Turut hadir ialah YBhg. Prof. Dr. Suzana Shahar, Dekan Fakulti Sains Kesihatan UKM, YBhg. Prof. Dr. Mohd Fauzi Mh Busra, Timbalan Pengarah INOVASI@UKM dan Puan Sabrina Mohd Haris Maurice, Ketua Pegawai Sumber Manusia MRANTI.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi