Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIpoh – Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan perasmian Pusat Rehabilitasi Neurorobotik dan Sibernik Kebangsaan PERKESO serta memasyhurkannya sebagai Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah yang bakal menjadi pemangkin baharu dalam bidang perubatan rehabilitasi negara dan hab rehabilitasi terbesar di Asia Tenggara.

Fasiliti yang menggabungkan elemen warisan negeri Perak menerusi seni kraf tekat timbul benang emas dengan reka bentuk futuristik moden itu dibina di atas tanah seluas 15.57 hektar di Bandar Meru Raya dan merangkumi 13 blok utama, termasuklah kemudahan penginapan, Pusat Perubatan Tradisional dan Komplementari serta Trek Latihan Selamat Motosikal di bawah Pusat Pencegahan Gunaan dalam Keselamatan Sosial.
Pembinaan pusat berkenaan bermula pada 2 Mei 2022 dan siap sepenuhnya dalam tempoh hampir empat tahun.
Sejurus selepas menyempurnakan titah perasmian dan menandatangani plak, baginda turut berkenan meninjau fasiliti berteknologi tinggi itu yang dilengkapi dengan teknologi robotik terkini dari Jepun hasil kerjasama strategik antara PERKESO dengan Cyberdyne, Jepun.
Turut berkenan berangkat pada majlis yang sama ialah Raja Muda Perak, Duli Yang Teramat Mulia Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja di Hilir Perak, Duli Yang Amat Mulia Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris A’fifullah Shah.
Keberangkatan baginda disambut oleh Menteri Besar Perak, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Saarani Mohamad dan Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat (YB) Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan.
YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan berkata, pusat rehabilitasi itu akan menjadi pusat kecemerlangan bagi perkhidmatan rehabilitasi dan Program Kembali Bekerja (RTW) bertaraf global.
Beliau berkata, antara kemudahan canggih yang disediakan termasuklah perkhidmatan neurorobotik dan sibernik yang menggunakan teknologi Simbiosis Anggota Bantuan pertama di dunia, Platform Biomekanik dan Pemulihan Canggih serta Makmal Analisis Pergerakan Lanjutan.
Menurut beliau, Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah dilengkapi dengan 65 unit peralatan Cyberdyne yang meliputi anggota bawah, satu sendi dan lumbar, sekali gus menjadikannya pusat dengan jumlah unit Limb Bantuan Hibrid terbanyak di dunia.
Pusat berkenaan juga menawarkan 151 jenis perkhidmatan rehabilitasi komprehensif yang merangkumi rehabilitasi pediatrik, geriatrik, RTW canggih dan rehabilitasi vokasional.
Ujarnya,
Kewujudan pusat tersebut amat signifikan, sejajar dengan peluasan perlindungan PERKESO yang lebih menyeluruh menerusi inisiatif LINDUNG 24 Jam dan Akta Pekerja Gig 2025 yang dijangkakan meningkatkan kadar tuntutan hingga 200 peratus berbanding dengan 170 000 kes setahun sebelum ini.
Katanya, peningkatan itu memerlukan kapasiti perkhidmatan rehabilitasi yang lebih canggih dan bersepadu bagi memastikan pencarum menerima sokongan menyeluruh untuk pulih dan kembali produktif tanpa mengira sektor pekerjaan.
Sejak mula beroperasi secara berperingkat pada 22 Julai 2025, sebanyak 1095 orang pesakit telah menerima rawatan yang melibatkan kes kecederaan muskuloskeletal, penyakit khidmat, kecederaan saraf tunjang dan penyakit tidak berjangkit seperti strok.
Dengan kapasiti rawatan hingga 700 orang pesakit pada satu-satu masa, fasiliti itu mampu menampung hingga 3000 orang pesakit setiap tahun, sekali gus memperkukuh keberkesanan program RTW PERKESO yang telah membantu lebih daripada 100 900 orang untuk kembali bekerja sejak tahun 2007.