Diterbitkan pada 18 Jun 2026, 09:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Keunikan warna daun serta struktur kanopi yang tersusun menjadikan Bucida mollineti antara spesies pokok landskap yang semakin mendapat perhatian dalam pembangunan bandar moden kerana bukan sahaja meningkatkan nilai estetika, malah menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan industri pelancongan.

Pensyarah Fakulti Agroteknologi dan Perladangan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis yang juga pakar dalam bidang reka bentuk landskap dan etnobotani, Puan Nur Illani Abdul Razak berkata, keistimewaan utama pokok tersebut terletak pada corak daunnya yang mempunyai kombinasi warna hijau dan krim, sekali gus menghasilkan penampilan yang menarik sepanjang tahun walaupun tanpa kehadiran bunga.

Menurut beliau, kebanyakan pokok landskap bergantung pada musim bunga untuk menyerlahkan keindahan, namun Bucida molinetii menawarkan daya tarikan melalui variasi warna daun dan bentuk kanopi yang bertingkat serta simetri, menjadikannya pilihan utama dalam reka bentuk landskap kontemporari.

Katanya,

Pokok ini mempunyai identiti visual yang tersendiri. Kanopinya yang kemas memberikan imej elegan kepada sesuatu kawasan, manakala variasi warna daun pula mampu mencipta landskap yang sentiasa hidup tanpa memerlukan tanaman berbunga dalam kuantiti yang banyak.

Beliau menjelaskan bahawa variasi warna daun dipengaruhi oleh faktor genetik, tahap pencahayaan matahari, kandungan nutrien tanah dan umur daun.

Daun Bucida molinetii mempunyai kombinasi warna hijau dan krim, menjadikannya spesies landskap bernilai tinggi.

Daun muda lazimnya mempamerkan warna yang lebih cerah sebelum berubah kepada hijau apabila matang hasil peningkatan kandungan klorofil yang diperlukan untuk proses fotosintesis.

Tambah beliau, perubahan warna tersebut bukan sahaja mempunyai nilai estetik, malah mencerminkan tindak balas fisiologi tumbuhan terhadap persekitaran, sekali gus menjadi antara elemen penting dalam pemilihan spesies bagi projek landskap berkonsepkan hijau lestari.

Dari sudut perancangan bandar, beliau berkata, Bucida molinetii mempunyai batang yang kukuh serta kanopi yang tersusun, membolehkan pokok ini berfungsi sebagai pokok teduhan yang berkesan di kawasan awam seperti taman rekreasi, laluan pejalan kaki, kawasan komersial dan sepanjang jalan utama.

Jelasnya,

Kanopi yang lebar dapat mengurangkan pendedahan terus kepada sinaran matahari sekali gus membantu menurunkan suhu persekitaran, meningkatkan keselesaan pengguna serta mengurangkan fenomena pulau haba bandar yang semakin ketara akibat pembangunan pesat.

Struktur kanopi tumbuhan ini yang tersusun bukan sahaja mencantikkan landskap bandar, malah menyediakan teduhan yang selesa kepada orang ramai.

Tambah beliau lagi, kehadiran pokok teduhan di kawasan bandar turut membantu memperbaiki kualiti udara melalui proses penyerapan karbon dioksida, pembebasan oksigen dan penapisan habuk halus yang boleh menjejaskan kesihatan awam.

Mengulas potensi sektor pelancongan, beliau berkata, walaupun Bucida molinetii bukan spesies tempatan, pokok tersebut memiliki nilai visual yang tinggi dan mampu menjadi elemen identiti landskap sesuatu lokasi sekiranya ditanam secara berkelompok di kawasan strategik.

Beliau menjelaskan bahawa landskap yang mempunyai susunan pokok yang unik sering menjadi tarikan kepada pengunjung untuk merakam gambar, sekali gus meningkatkan nilai komersial kawasan awam serta menyokong perkembangan pelancongan bandar berasaskan alam semula jadi.

Ujarnya,

Dalam era media sosial hari ini, reka bentuk landskap yang menarik mampu menjadi tarikan pelancongan baharu. Pokok seperti Bucida molinetii berpotensi mewujudkan identiti visual yang mudah dikenali dan seterusnya meningkatkan daya saing destinasi.

Walaupun dikategorikan sebagai spesies yang tahan lasak, beliau mengingatkan bahawa pokok tersebut masih berdepan beberapa ancaman seperti serangan kutu putih, kutu sisik dan masalah pereputan akar sekiranya ditanam di kawasan yang mempunyai saliran kurang baik.

Selain itu, cuaca panas melampau dan kemarau berpanjangan akibat perubahan iklim boleh menyebabkan daun kehilangan kesegaran serta menjejaskan kadar pertumbuhan pokok.

Pokok Bucida molinetii perlu dipantau bagi mengelakkan serangan kutu putih, kutu sisik dan masalah pereputan akar.

Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan agar pengurusan landskap memberikan perhatian kepada aspek penyelenggaraan berkala termasuk memastikan sistem saliran berfungsi dengan baik, menjalankan pembajaan dan penyiraman mengikut keperluan, melakukan pemangkasan dahan secara sistematik serta pemeriksaan kesihatan pokok bagi mengesan serangan perosak pada peringkat awal.

 

Menurut beliau, pengurusan landskap yang berasaskan ilmu sains tumbuhan bukan sahaja memastikan pokok kekal sihat dan selamat, malah dapat memanjangkan jangka hayat landskap bandar serta mengurangkan kos penyelenggaraan dalam tempoh panjang.

Beliau berharap lebih banyak pihak berkuasa tempatan, pemaju dan pengurus landskap mempertimbangkan penggunaan spesies pokok yang mempunyai nilai estetik serta fungsi ekologi seperti Bucida molinetii bagi mewujudkan persekitaran bandar yang lebih hijau, selesa dan mampan selaras dengan agenda pembangunan lestari negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi