Diterbitkan pada 24 Jun 2026, 08:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau –Usaha pemuliharaan hutan bakau bukan sekadar inisiatif memelihara alam sekitar, malah membentuk masyarakat yang prihatin terhadap kelestarian ekosistem, keselamatan pesisir pantai, serta kesejahteraan komuniti setempat.

Pensyarah Kanan Unit Teknologi Marin Lestari, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Puan Rosnani Nazri menegaskan bahawa hutan bakau merupakan khazanah semula jadi yang berfungsi sebagai benteng utama daripada ancaman hakisan pantai, ombak besar, dan kesan langsung perubahan iklim.

Menurutnya, pemikiran masyarakat perlu diubah daripada melihat hutan bakau sebagai kawasan berlumpur yang tidak bernilai kepada pemahaman bahawa nilai sebuah ekosistem hutan paya bakau mampu menyokong kelangsungan hidup manusia dan hidupan marin.

Kata beliau,

Apabila masyarakat memahami fungsi sebenar bakau, mereka akan lebih terdorong untuk bersama-sama memelihara dan memulihkannya. Kesedaran inilah yang menjadi asas kepada pembentukan komuniti yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Dari sudut ekologi dan ekonomi, ekosistem bakau bertindak sebagai penapis semula jadi yang membersihkan bahan pencemar sebelum memasuki laut, selain penyimpan tegar karbon biru yang membantu mengurangkan pemanasan global.

Puan Rosnani Nazri menambah bahawa rantaian ekosistem ini berkait rapat dengan punca rezeki komuniti nelayan memandangkan spesies komersial seperti ikan, udang dan ketam amat bergantung pada perlindungan kawasan bakau pada peringkat awal kitaran hidup mereka.

Ujarnya,

Apabila hutan bakau dipelihara, sumber perikanan negara akan turut terjamin. Secara tidak langsung, ekosistem hutan bakau juga dapat melonjakkan ekonomi komuniti pesisir pantai dan memastikan sekuriti makanan sentiasa berada pada tahap yang selamat.

Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa agenda pemuliharaan ini tidak seharusnya bergantung pada agensi kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan pelibatan aktif seluruh masyarakat termasuk institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat.

Jelasnya, aktiviti penanaman pokok bakau yang dilaksanakan secara gotong-royong mampu menyemai semangat kerjasama, sukarelawan dan rasa tanggungjawab bersama dalam kalangan masyarakat.

Jelas beliau,

Program seperti ini bukan sahaja dapat memulihkan alam sekitar, malah mengeratkan hubungan komuniti apabila pelbagai lapisan masyarakat berganding bahu menjayakan usaha tersebut.

Para peserta sedang bergotong-royong menanam pokok bakau sebagai usaha pemeliharaan ekosistem hutan paya  bakau di kawasan persisiran pantai.

Selain memupuk semangat sukarelawan dan perpaduan pelbagai kaum menerusi aktiviti gotong-royong, Puan Rosnani Nazri turut menekankan bahawa proses penanaman semula bakau wajib dilaksanakan mengikut kaedah saintifik yang betul.

Tambahnya lagi,

Pemilihan spesies yang sesuai mengikut habitat, keadaan tanah dan zon pasang surut perlu diberikan perhatian, selain pemantauan berterusan selepas penanaman. Jika spesies yang ditanam tidak sesuai dengan habitat asal, kadar kematian anak pokok boleh menjadi sangat tinggi. Oleh sebab itu, masyarakat juga perlu diberikan pendedahan mengenai kaedah penanaman yang betul.

Menyentuh mengenai peranan institusi pengajian tinggi (IPT), beliau menyatakan bahawa IPT mempunyai peranan penting dalam memperkukuh kesedaran masyarakat melalui penyelidikan, program khidmat komuniti dan pemindahan ilmu berkaitan dengan pemuliharaan ekosistem pesisir.

Katanya, kerjasama antara universiti dengan komuniti mampu melahirkan lebih ramai sukarelawan yang memahami kepentingan pemuliharaan hutan bakau, selain memperkukuh budaya cinta akan alam sekitar dalam kalangan generasi muda.

Menurutnya lagi, kawasan hutan bakau yang terjaga dengan baik mampu membuka peluang ekonomi baharu sebagai destinasi ekopelancongan menerusi aktiviti rekreasi, pendidikan alam sekitar dan pelancongan berasaskan komuniti.

Pada masa yang sama, beliau juga menyeru kepada seluruh lapisan masyarakat supaya menjadikan usaha memelihara hutan bakau sebagai tanggungjawab bersama demi memastikan khazanah alam tersebut terus memberikan manfaat kepada generasi akan datang.

Tegasnya,

Hutan bakau bukan hanya milik pencinta alam, tetapi hak milik seluruh masyarakat. Memeliharanya bermakna kita sedang melindungi keselamatan pantai, sumber makanan, ekonomi komuniti dan masa hadapan negara.

Puan Rosnani Nazri turut mengajak orang ramai, khususnya golongan muda untuk menyertai program sukarelawan, aktiviti penanaman bakau serta menggunakan kuasa media sosial bagi menyebarluaskan lagi kesedaran mengenai kepentingan memelihara ekosistem tersebut.

Kredit Foto: Media GRASS Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi