Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJempol – Sebanyak 132 orang murid sekolah rendah dari daerah Jempol dan Jelebu menguji ketangkasan berfikir serta kecekapan mekanikal menerusi Pertandingan STEM Speed Challenge yang diadakan bersempena dengan Program Pembangunan Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Sekolah-sekolah Daerah Jempol dan Jelebu 2026 di Dewan Besar Kompleks Rakan Muda Jempol.
Program tersebut merupakan hasil kerjasama strategik antara Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jempol dan Jelebu, 4Tech Electronic Sports Club serta Yayasan MR. D.I.Y. bagi memperkukuh penguasaan STEM dan literasi teknologi digital dalam kalangan murid.
Inisiatif itu turut menyokong Teras Strategik 5, Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang menekankan jalinan kerjasama antara institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan dengan pihak berkepentingan luar bagi merapatkan jurang pendidikan pada peringkat daerah.
Menurut Penyelaras Program, Puan Hafidzah Mohd Saini yang juga Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah Sains dan Matematik PPD Jempol dan Jelebu, penganjuran pertandingan itu bertujuan untuk membantu murid menterjemahkan pembelajaran teori di bilik darjah kepada pengalaman praktikal yang lebih interaktif.
Dalam pertandingan tersebut, setiap sekolah menghantar satu pasukan yang dianggotai empat orang murid Tahun Empat, Tahun Lima dan Tahun Enam untuk memasang empat Kit STEM mengikut reka bentuk yang ditetapkan serta memastikan setiap kit berfungsi dengan baik dalam tempoh tidak melebihi 30 minit.
Penilaian diketuai oleh Cikgu Lee Lee Tin bersama-sama 10 orang juri teknikal dengan jumlah maksimum 40 markah berdasarkan ketepatan pemasangan komponen dan tahap kefungsian kit STEM yang dihasilkan.
Yayasan MR. D.I.Y. turut menyumbangkan sebanyak 31 000 unit Kit STEM kepada semua institusi pendidikan di daerah Jempol dan Jelebu meliputi sekolah rendah, sekolah menengah, Maktab Rendah Sains MARA dan Kolej Vokasional.
Penyerahan simbolik sumbangan itu disempurnakan oleh Eksekutif Kanan Yayasan MR. D.I.Y., Puan Nur Fitriatul Audra Abd Karim kepada Pegawai Pendidikan Daerah PPD Jempol dan Jelebu, Tuan Haji Murad Nordin.

Sumbangan tersebut dijangkakan dapat membantu guru memperluas pelaksanaan pembelajaran berasaskan projek, sekali gus menyokong hasrat RPM 2026–2035 untuk memperkukuh kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan murid.
Sejurus selesai majlis berkenaan, semua wakil sekolah menerima agihan Kit STEM masing-masing untuk digunakan dalam aktiviti pembelajaran di sekolah.