1 Mei 2024, 21:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kredit foto: Sidang redaksi Majalah Saujana Edisi ke-66/Kolej Tunku Kurshiah

Nilai – Kesihatan mental menjadi antara cabaran kesihatan terbesar negara apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencatatkan peningkatan lima kali ganda statistik individu yang mendapatkan sokongan menerusi Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) pada tahun 2022 berbanding dengan tahun 2020.

Isu kesihatan mental di negara ini juga menunjukkan perkembangan yang amat genting dan membimbangkan apabila turut menular dalam kalangan kanak-kanak.

Ujar Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad,

KKM kini merekodkan sebanyak 424,000 kanak-kanak di Malaysia, dengan purata sebanyak seorang daripada 20 orang kanak-kanak berusia lima tahun hingga sembilan tahun disahkan mengalami cabaran kesihatan mental.

Beliau berkata sedemikian semasa merasmikan Program Back to School (BTS) 2024 di Kolej Tunku Kurshiah (TKC), Bandar Enstek, Negeri Sembilan pada pagi ini.

Pada tahun ini, program tersebut yang merupakan acara tahunan anjuran Persatuan Murid-murid Tua Maktab Perempuan Melayu/Kolej Tunku Kurshiah (MGC/TKC OGA) mengangkat tema kesihatan yang menekankan kesejahteraan minda, fizikal dan jiwa.

Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (baris hadapan, tiga dari kanan) dan isteri, YBhg. Datin Seri Hjh Azlin Hezri (baris hadapan, empat dari kanan) yang juga merupakan bekas pelajar Kolej Tunku Kurshiah (MCE 1973) bergambar kenang-kenangan di pekarangan sekolah.

Mengulas lanjut, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly berkata bahawa tema kesihatan yang dibawa dalam program melibatkan golongan pelajar seperti ini sangat digalakkan kerana perkara ini selaras dengan pelaksanaan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) selain menepati konsep Malaysia MADANI yang dianjurkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Di samping itu, beliau turut menyentuh tentang inisiatif KKM untuk melaksanakan transformasi kesihatan digital di setiap fasiliti kesihatan melalui strategi “satu individu, satu rekod kesihatan” dengan penggunaan rekod perubatan elektronik (EMR).

Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menandatangani buku log pelawat sekolah sambil diperhatikan oleh Pengerusi MGC/TKC OGA, Datuk Dr. Hafsah Hashim (berdiri, kiri).

Turut berlangsung dalam majlis yang sama ialah dialog kesihatan yang membicarakan pelbagai isu kesihatan seperti masalah obesiti, kesihatan jantung dan kesihatan tulang oleh ahli panel yang terdiri daripada bekas pelajar TKC.

Ahli panel tersebut ialah Konsultan Hepatologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), YBrs. Profesor Dr. Rosmawati Mohamed; Pakar Psiakatrik Kanak-kanak dan Dewasa, YBhg. Datin Dr. Hajah Fauzi Ismail; dan Ketua Jabatan Ortopedik dan Traumatologi, Hospital Kuala Lumpur, YBrs. Dr. Siti Hawa Tahir.

Antara aktiviti yang diadakan termasuklah dialog kesihatan yang dapat memanfaatkan para pelajar dengan pengetahuan asas berkaitan dengan isu kesihatan di Malaysia.

Program diakhiri dengan acara pelancaran Program “77K Steps” oleh YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly yang membuka penyertaan kepada bekas pelajar dan pelajar TKC serta khalayak umum untuk melengkapkan 77 ribu langkah bermula pada 7 Julai 2024 hingga 8 Ogos 2024.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Mantan Pengarah KKM, YBhg. Datuk Narimah Awin yang juga merupakan bekas pelajar TKC; Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid dan Kepimpinan, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh, Kementerian Pendidikan Malaysia, Puan Roslina Aziz dan Pengetua Kolej Tunku Kurshiah, Puan Hajah Nor Hayati Yusoff.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.