3 Mei 2024, 12:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi Kitaran bagi Sisa Pepejal (NCEC) yang julung-julung kalinya diadakan pada 30 April lalu telah menjadikan agenda ekonomi kitaran dalam pengurusan sisa pepejal sebagai misinya bagi melonjakkan kemajuan industri berasaskan sisa.

KPKT dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat NCEC yang bersidang telah membentangkan sebanyak enam kertas merangkumi empat kertas pertimbangan dan dua kertas makluman.

Dalam kenyataan itu juga dinyatakan bahawa memandangkan perundangan sedia ada tidak mencukupi bagi pelaksanaan ekonomi kitaran yang holistik, NCEC turut bersetuju mengadakan transformasi perundangan bagi sisa pepejal dalam memastikan ekonomi kitaran dapat berjalan dengan lancar di seluruh negara.

Pada masa ini, terdapat empat perundangan utama yang berbeza berkaitan dengan pengurusan sisa pepejal di Malaysia, iaitu Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672], Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171], Ordinan Kerajaan Tempatan 1996 (Sarawak) dan Enakmen Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2022 (Sabah) yang dikuatkuasakan oleh pelbagai agensi dan negeri.

Selain itu, terdapat keperluan untuk menjalankan satu kajian bagi penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Ekonomi Kitaran ke arah pembangunan satu akta yang spesifik, menyeluruh dan meliputi peringkat pengeluaran produk hingga produk pasca pengguna serta boleh diterima pakai di semua negeri.

Menurut KPKT, NCEC juga bersetuju untuk memperhebat usaha bagi melonjakkan Kadar Kitar Semula Kebangsaan dengan memperkasakan peranan pihak berkuasa tempatan serta sokongan daripada pihak industri dalam mempercepat peralihan ke arah ekonomi kitaran.

Tambahnya, KPKT turut melaksanakan kajian yang menyeluruh bagi memastikan cadangan tersebut dapat dilaksanakan secara holistik dan berkesan serta memutuskan agar KPKT dan industri saling bekerjasama untuk meneliti kaedah material flow analysis dalam pengiraan kadar kitar semula kebangsaan bermula dengan sektor komoditi plastik yang akan diperluaskan kepada komoditi lain seperti logam, kertas, tekstil dan sebagainya.

Kedua-dua usaha ini secara tidak langsung akan menambah baik kaedah pengumpulan dan pelaporan data supaya lebih menyeluruh dalam menggambarkan prestasi pelaksanaan ekonomi kitaran di Malaysia.

Jelas KPKT, NCEC mengambil maklum akan keperluan untuk mengintegrasikan pekerja tidak formal dan perusahaan kecil dan sederhana (SME) bagi menyemarakkan aktiviti kitar semula dan pelaksanaan ekonomi kitaran.

Katanya lagi, penelitian lanjut berhubung keperluan ini akan dilaksanakan dengan kerjasama pihak industri untuk mendapatkan data bilangan pekerja tidak formal di Malaysia dan kerajaan juga akan mengambil maklum mengenai keperluan pemberian insentif bagi menggalakkan pelibatan dan sumbangan sektor ini kepada industri kitar semula negara.

Pengukuhan pelibatan kumpulan sasaran tersebut dijangka akan dapat membuka potensi peluang kerja baharu dan meningkatkan pendapatan kumpulan sasar ini.

Untuk memastikan pengurusan sisa pepejal yang efektif dan mampan, semua pihak perlu bekerjasama memainkan peranan dan tanggungjawab dalam menguruskan produk pasca pengguna dengan cekap dan berkesan.

NCEC menyeru agar pihak industri, terutamanya pengeluar produk dan pemilik jenama untuk bertanggungjawab terhadap produk pasca pengguna keluarannya melalui pelaksanaan Peluasan Tanggungjawab Pengeluar (EPR).

Melalui prinsip tanggungjawab bersama, EPR merupakan satu mekanisme penting bagi mempercepat peralihan menyeluruh kepada ekonomi kitaran dan KPKT akan mengadakan libat urus dengan pihak peruncit dan syarikat kedai serba guna dalam masa terdekat bagi membincangkan cadangan mengenai pemansuhan penggunaan beg plastik sekali guna.

KPKT berkata, kerajaan persekutuan bersama-sama kerajaan negeri serta pemain industri, badan bukan kerajaan dan ahli akademik akan terus bekerjasama bagi memastikan perundangan, dasar dan pelaksanaan ekonomi kitaran dapat ditambah baik demi kemampanan sumber alam, daya tahan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Mesyuarat NCEC yang berlangsung di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur itu telah dipengerusikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Yang Berhormat Tuan Nga Kor Ming.

Semua keputusan dasar dan perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut akan dibentangkan dalam mesyuarat jemaah menteri kelak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.