27 April 2024, 09:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis (UiTM Cawangan Perlis) menerima lawatan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Mohamed Al-Bukhary, Alor Setar, Kedah yang berminat untuk mendapat pendedahan mengenai suasana pembelajaran di menara gading dan maklumat bidang pengajian yang ditawarkan oleh universiti ini.

Rombongan yang terdiri daripada 107 orang pelajar tingkatan lima dan 17 orang guru pengiring itu disambut oleh Koordinator Unit Komunikasi Korporat, Puan Eliy Nazira Mat Nazir dan barisan Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Cawangan Perlis.

Lawatan tersebut juga memberikan peluang kepada pihak UiTM Cawangan Perlis untuk memupuk minat para pelajar tentang sains dan memilih bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) pada peringkat pengajian tinggi.

“Saya amat bersyukur dan terharu melihat semangat yang ditunjukkan oleh para pelajar yang mengikuti program pada hari ini walaupun perlu bergerak dari satu bangunan ke bangunan yang lain dalam cuaca panas terik”, kata Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi.

Tambah beliau, lawatan yang diadakan pada hari ini membuktikan usaha yang dilakukan oleh pihak UiTM dalam memupuk serta menarik minat dan keyakinan para pelajar untuk menceburi bidang STEM pada peringkat pengajian tinggi.

Dalam sesi lawatan itu, para pelajar dibawa ke Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan bagi mendapatkan maklumat berkaitan dengan inisiatif perkhidmatan perpustakaan digital dan aplikasi teknologi maklumat untuk mengakses bahan bacaan dan sumber penyelidikan dengan pantas.

Sesi perkongsian daripada Pegawai Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan mengenai perkhidmatan dan kemudahan perpustakaan digital.

Seterusnya, para pelajar dibawa ke makmal STEM yang terdapat di zon bangunan Al-Farabi 3 seperti Makmal Teknologi Marin, Makmal Instrumentasi Kimia, Makmal Biologi, Bengkel Polimer dan sebagainya.

Para pelajar menyaksikan sesi demonstrasi eksperimen dan pameran STEM di Makmal Kimia, UiTM Cawangan Perlis.

Para pelajar kemudiannya dibawa ke Kompleks STAR untuk mengikuti sesi perkongsian maklumat daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar mengenai perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan kepada mahasiswa di kampus berkenaan.

Selanjutnya, Unit Kerjaya dan Kaunseling pula memberikan motivasi kepada para pelajar yang menyertai lawatan itu untuk menyambung pengajian di universiti.

Beberapa bahagian lain seperti Bahagian Hal Ehwal Akademik, Misi Akademik dan Prapengajian Tinggi juga tidak ketinggalan dalam berkongsikan maklumat penting tentang pelbagai program yang ditawarkan di universiti ini.

Turut hadir dalam sesi lawatan tersebut ialah Ketua Unit Kepimpinan Pelajar dan Misi Akademik, YBrs. Dr. Shafiq Sharuddin; Pustakawan, Puan Nor Azrina Kasim; Pegawai Psikologi, Puan Rozainun Mahmod; Penolong Pegawai Sains Kanan, Encik Haris Kamis; Penolong Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Encik Ahmad Muaz Mahzair; Koordinator Program Prapendidikan Tinggi, Encik Wan Mohd Yaseer Mohd Abdoh dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Cawangan Perlis, Encik Mohamad Ferhan Abdul Halim.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.