19 April 2024, 17:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Banjir ialah fenomena semula jadi yang berlaku di seluruh dunia, termasuklah di Malaysia. Keadaan ini merupakan kejadian alam yang sering memberikan kesan besar kepada penduduk, alam sekitar dan ekonomi negara.

Banjir di Malaysia merupakan topik penting dan perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana mempengaruhi kehidupan harian manusia secara besar-besaran.

Kepentingan memahami banjir bermula dengan mengetahui maksud banjir dan proses kejadiannya. Banjir berlaku apabila kawasan daratan menjadi terlalu tepu dengan air hujan atau air dari sungai. Air ini kemudiannya melimpah keluar dari tebing sungai atau daratan rendah. Banjir boleh berlaku secara tiba-tiba akibat hujan lebat atau berterusan serta faktor seperti pembangunan tanah yang tidak terkawal dan sistem saliran yang tidak mencukupi.

Malaysia mempunyai iklim hujan sepanjang tahun yang menjadikan negara ini lebih rentan kepada banjir, terutamanya semasa musim hujan yang melanda pada setiap tahun. Kesan banjir di Malaysia adalah serius dan menyebabkan kerugian harta benda yang besar, kehilangan nyawa serta mengganggu aktiviti harian yang melibatkan pengangkutan, pendidikan dan perniagaan. Selain itu, banjir turut memberikan kesan kepada alam sekitar, termasuklah pencemaran air dan tanah di samping kehilangan habitat hidupan liar.

Dalam usaha untuk mengurangkan kesan banjir, kerajaan Malaysia telah melaksanakan pelbagai langkah seperti pembinaan empangan, penambahbaikan sistem saliran dan sistem amaran awal banjir. Pengetahuan tentang banjir dan kesannya adalah penting agar penduduk Malaysia boleh bersedia dan mengambil langkah yang sesuai untuk melindungi diri dan harta benda mereka semasa banjir berlaku.

 

Pengertian Bencana

Bencana diklasifikasikan sebagai bencana semula jadi atau bencana teknologi. Menurut sumber, untuk direkodkan sebagai bencana, satu kejadian mesti memenuhi sekurang-kurangnya satu daripada klasifikasi, iaitu sepuluh atau lebih orang dilaporkan terbunuh; seratus orang atau lebih dilaporkan terjejas; dan adanya perisytiharan keadaan kecemasan atau seruan meminta bantuan antarabangsa.

Bencana alam atau semula jadi ialah insiden yang berlaku secara tiba-tiba. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengklasifikasikan bencana semula jadi kepada bencana hidrometeorologi, termasuklah banjir dan ombak; bencana berkaitan geofizik yang melibatkan gempa bumi, letusan gunung berapi dan tsunami; bencana yang berkaitan suhu tinggi yang ekstrem; dan bencana biologi yang melibatkan wabak dan serangan serangga. Mengikut trend, bencana semula jadi, banjir, ribut kencang.kemarau dan bencana geofizik telah menunjukkan kadar peningkatan yang ketara berbanding dengan tahun sebelumnya.

 

Konsep Banjir Kilat

Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah pada tahun 2022, hampir saban tahun fenomena banjir terjadi dan merupakan perkara biasa di Malaysia. Di Malaysia, terdapat empat jenis banjir yang biasa berlaku. Antaranya termasuklah banjir genang, banjir monsun, banjir pantai dan banjir kilat.

Namun demikian, sejak kebelakangan ini. trend kejadian banjir kilat semakin menunjukkan peningkatan, terutamanya di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur, Shah Alam dan Batu Pahat. Oleh sebab banjir terjadi di bandar besar, maka kerugian seperti wang ringgit dan kemusnahan harta benda yang disebabkan oleh bencana ini turut besar.

Banjir kilat ialah banjir yang disebabkan oleh intensiti hujan yang tinggi dan berlaku setempat hingga mengakibatkan kenaikan dan penurunan air dalam masa yang singkat (kurang daripada enam jam). Disebabkan kenaikan air dalam masa singkat, masyarakat tidak bersedia untuk menyelamatkan harta benda. Hal ini menyebabkan kerugian dari segi wang serta menjejaskan emosi dan mental masyarakat setempat ketika menghadapi masalah banjir kilat.

Kes Banjir Kilat

Satu daripada kejadian banjir terburuk yang pernah berlaku di negara ini ialah banjir seratus tahun yang berlaku pada Disember 2021 hingga mengakibatkan sebanyak 50 orang terkorban. Kejadian ini telah melibatkan beberapa buah negeri seperti Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka yang melibatkan sebanyak 61 ribu mangsa dan kerugian yang dianggarkan adalah sebanyak RM6.5 bilion.

Tahun 2023 juga tidak terkecuali dengan beberapa kejadian banjir kilat, terutamanya yang melanda bandar besar seperti Kuala Lumpur. Zoo Negara melaporkan kerugian sebanyak RM300 ribu ekoran banjir kilat yang berlaku pada Oktober 2023.

Pada Oktober 2023 juga, sebanyak 67 penduduk di Sik, Kedah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran banjir kilat. Sementara itu, pada November 2023, sebanyak 200 orang penduduk di Bangi, Selangor telah dipindahkan ke PPS kerana banjir kilat yang serius.

Semasa artikel ini disediakan, banjir kilat turut dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di sekitar Subang.Mengikut sumber, banjir kilat yang berlaku di Subang adalah disebabkan oleh sistem perparitan yang terganggu akibat pembinaan serta intensiti hujan yang agak lebat sejak akhir-akhir ini. Penduduk yang terkesan tidak menerima sebarang amaran awal berikutan banjir kilat yang berlaku terlalu cepat dan kenaikan air yang bertambah secara mendadak.

Faktor Penyebab Banjir Kilat

Antara faktor utama banjir kilat termasuklah lokasi geografi Malaysia dan corak tiupan angin bermusim yang menentukan corak taburan hujan di Malaysia. Sebagai contohnya, keamatan hujan yang tinggi di pantai barat daya Semenanjung Malaysia adalah pada Oktober hingga November. Namun demikian, trend menunjukkan bahawa keamatan hujan bertambah tinggi dan tidak menentu ekoran fasa perubahan iklim dan cuaca yang disebabkan oleh pemanasan global.

Perubahan iklim dunia yang drastik ini telah menyumbang kepada banjir kilat yang teruk di Malaysia apabila kawasan yang jarang-jarang dinaiki air sebelum ini turut terjejas akibat banjir. Menurut pakar klimatologi, Profesor Dr. Fredolin Tangang, trend menunjukkan bahawa kekerapan banjir semakin kerap berlaku berbanding dengan 20 tahun yang lepas. Di Kuala Lumpur misalnya, kejadian ribut petir dan hujan lebat telah meningkat sebanyak 35 peratus dalam masa 30 tahun,

Selain fasa perubahan iklim dan cuaca yang semakin membimbangkan, terdapat pelbagai faktor lain yang menyebabkan banjir seperti campur tangan manusia itu sendiri sehingga mengubah unsur iklim yang sedia buruk pada tahap lebih ekstrem. Pemusnahan hutan, pembuangan sampah ke dalam sistem saliran yang sedia ada, pembangunan tidak terkawal adalah beberapa contoh campur tangan manusia yang menyebabkan banjir.

Pemusnahan hutan berlaku apabila hutan dimusnahkan dan tiada lagi tumbuhan untuk menadah air hujan. Keadaan ini menyebabkan air hujan terus mengalir ke tanah dan hal ini mempercepatkan proses kebanjiran sekiranya hujan bertambah lebat.

Selain itu, penyelenggaraan sistem saliran dan perparitan yang lemah dan tidak terancang, terutamanya di kawasan bandar akan menambahkan lagi masalah banjir kilat. Sikap cuai dan tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat dengan membuang sampah, sisa bahan binaan serta industri ke dalam sistem saliran dan perparitan akan menyebabkan aliran air tersekat sehingga menyebabkan banjir kilat.

Selain itu, pembangunan yang pesat menjadi punca kepada kawasan bukit yang diratakan untuk tujuan pembangunan. Keadaan ini mengurangkan kawasan tadahan air hujan semula jadi dan mempercepatkan kebanjiran. Sungai dan lembah turut ditimbus dengan tanah untuk tujuan pembangunan. Keadaan ini sekali gus mengurangkan jumlah tebatan banjir semula jadi dan seterusnya menyebabkan air bertakung sehingga menyebabkan banjir.

Kaedah Penyelesaian Banjir Kilat

Antara langkah penyelesaian bagi banjir termasuklah mewujudkan konsep aliran semula jadi dengan menggunakan teres mesra alam yang berfungsi sebagai penebat banjir semula jadi, sekali gus menjadi landskap semula jadi. Usaha ini sudah dibangunkan oleh kerajaan dengan melancarkan program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) sebagai mekanisme kawalan pencemaran sungai dan mengurangkan risiko banjir.

Program DSK menyasarkan pembinaan 10 ribu kilometer denai di seluruh negara menjelang tahun 2030. Projek pembesaran dan mendalamkan sungai adalah antara langkah lain yang telah diambil untuk mengurangkan risiko banjir besar.

Pendekatan yang sama turut dilaksanakan oleh Belanda melalui projek Room for the River. Melalui program ini, sungai di Belanda diberikan lebih ruang untuk mencegah banjir. Sebanyak tiga bilion euro telah dibelanjakan oleh kerajaan Belanda bagi mengurangkan risiko banjir. Hal ini disebabkan oleh keadaan geografi Belanda yang berada di bawah paras laut, sekali gus berpotensi tinggi untuk berhadapan dengan banjir besar.

Hutan yang sedia ada turut perlu dikekalkan kerana kawasan ini berfungsi untuk menyerap karbon dioksida yang menjadi punca kepada pemanasan global. Hutan yang sedia ada perlu dikekalkan dan diperluaskan di samping mewartakan lebih banyak kawasan hutan simpan. Penerokaan hutan secara haram serta pembangunan tidak terkawal juga perlu dipantau dari semasa ke semasa.

Capaian kepada maklumat yang berkaitan seperti ramalan banjir, sistem amaran awal banjir, talian komunikasi risiko dan kecemasan perlu dipertingkatkan supaya dapat meminimumkan impak banjir. Aplikasi kecerdasan buatan dalam meramalkan cuaca turut perlu diperkenalkan dalam menaiktarafkan sistem ramalan banjir di Malaysia

Pada masa ini, kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk membangunkan Pusat Ramalan Cuaca Numerikal Kebangsaan. Sistem siren dan amaran banjir di pusat seliaan JPS juga akan dipertingkatkan dengan sokongan kamera litar tertutup untuk tujuan pemantauan di kawasan yang berpotensi untuk mengalami banjir.

Kaedah Pengurusan Banjir Kilat

Kerajaan Malaysia telah mengklasifikasikan pengurusan bencana kepada tiga peringkat utama, iaitu sebelum, semasa dan selepas bencana bagi memastikan pengurusan yang lebih berkesan. Antara pengurusan bencana di Malaysia termasuklah pengurusan banjir yang menjadi aspek penting dalam pengurangan risiko bencana.

Elemen penting yang berkaitan dengan pengurusan banjir di Malaysia ialah agensi kerajaan yang telah diwujudkan untuk mengkoordinasikan usaha pengurusan bencana, menguruskan sumber air dan kawalan banjir. Antara agensi kerajaan yang terlibat dalam hal ini termasuklah Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA) dan JPS.

Kerajaan Malaysia turut melaksanakan sistem amaran awal untuk memberikan amaran awal tentang potensi kejadian banjir. Sistem ini merangkumi ramalan cuaca, pemantauan sungai dan amaran komuniti di kawasan yang berisiko banjir.

Selain itu pemetaan risiko banjir turut dijalankan untuk mengenal pasti kawasan yang berisiko kepada banjir bagi membantu persediaan dan pengurusan bencana yang lebih baik. Malaysia turut melabur dalam projek infrastruktur seperti pembinaan empangan, takungan dan tebing sungai yang berfungsi untuk mengawal banjir.

Kesedaran awam dan pelibatan komuniti setempat dengan melaksanakan kempen pendidikan awam pada peringkat sekolah dan institusi kerajaan serta swasta adalah penting untuk menggalakkan komuniti membuat persiapan menghadapi banjir.

Untuk pasca banjir pula, bantuan dan pemulihan merupakan langkah kerajaan dan pelbagai agensi menyediakan bantuan seperti PPS, bantuan makanan serta perkhidmatan perubatan kepada komuniti yang terjejas. Sementara itu, fasa pemulihan pula melibatkan usaha pemulihan, pembinaan semula infrastruktur dan memberikan sokongan kepada mereka yang terjejas akibat banjir.

Selain itu, Malaysia terlibat secara aktif dalam penyelidikan dan pembangunan yang berkaitan dengan pengurusan banjir. Antaranya termasuklah dengan menggalakkan kajian corak cuaca, pemodelan banjir dan ramalan banjir dengan menggunakan kecerdasan buatan.

Malaysia juga bekerjasama dengan organisasi antarabangsa dan negara jiran untuk meningkatkan pengurusan banjir. Kerjasama ini melibatkan perkongsian maklumat dan kepakaran mengenai pengurusan dan tindak balas bencana.

Secara keseluruhannya, banjir ialah fenomena semula jadi yang memberikan kesan besar kepada negara ini. Malaysia yang mempunyai iklim hujan sepanjang tahun menjadi rentan kepada banjir yang berpotensi melanda negara ini pada bila-bila masa. Oleh hal yang demikian, pengetahuan dan kesedaran orang ramai tentang banjir menjadi kunci persediaan dan perlindungan diri semasa banjir berlaku.

 

Umi Kalsom Ariffin,
Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi,
Universiti Teknikal Malaysia Melaka

Ts. Dr. Wan Mohd Ya’akob Wan Bejuri,
Pensyarah Kanan,
Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi,
Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.