Oleh Anizah Mahmod
17 Oktober 2023, 14:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pemerhati Hak Asasi Manusia mendakwa bahawa tentera Israel menggunakan peluru fosforus putih terhadap Lebanon dan Gaza pada 10 Oktober 2023 dan 11 Oktober 2023. Walau bagaimanapun, Angkatan Pertahanan Israel menafikan dan mengatakan yang tuduhan itu palsu walaupun terdapat video yang menunjukkan terdapatnya kepulan asap putih di udara Gaza.

 

Fosforus Putih

Fosforus putih ialah bahan yang mudah terbakar dengan kehadiran oksigen. Hasil tindak balas ini menghasilkan cahaya dan asap tebal.

Fosforus putih juga merupakan pepejal berlilin pada suhu persekitaran yang cepat menjadi kuning apabila terdedah kepada cahaya. Oleh sebab itu, fosforus putih juga sering dikenali sebagai fosforus kuning.

Fosforus wujud dalam tiga alotrop, iaitu putih, hitam dan merah. Setiap satunya mempunyai sifat tersendiri. Fosforus putih sangat berguna dalam industri seperti dalam sintesis asid fosforik, racun perosak dan kadangkala digunakan dalam pembuatan mercun.

Penggunaan Fosforus Putih

Penggunaan fosforus putih adalah dibenarkan dari sudut undang-undang dalam bidang ketenteraan sebagai komponen dalam bom tangan asap atau bahan pencahayaan. Tentera boleh menggunakan fosforus putih untuk menanda, mengaburkan atau memberikan isyarat di medan pertempuran.

Fosforus putih tidak diharamkan sebagai senjata kimia di bawah konvensyen antarabangsa. Hal ini dikatakan demikian kerana fosforus putih beroperasi bukan disebabkan oleh sifat toksik bahan kimia itu sendiri tetapi melalui pembakarannya yang melibatkan haba dan nyalaan.

Penggunaan fosforus putih mampu menyebabkan kecederaan dan memberikan kesan jangka panjang kepada mangsa yang terkena dengan bahan ini. Penggunaan fosforus putih kepada orang awam telah mencabuli undang-undang kemanusiaan antarabangsa kerana pihak yang bertelagah seharusnya mengelak daripada mencederakan dan menyebabkan kematian orang awam.

Fosforus putih dianggap sebagai senjata pembakar, iaitu senjata yang dicipta bagi memulakan kebakaran pada objek. Fosforus putih telah digunakan secara berulang-ulang dalam peperangan dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini, termasuklah di Iraq dan Syira pada tahun 2017; Arab Saudi menggunakannya di Yaman pada tahun 2016; penggunaan Israel di Gaza pada tahun 2008 hingga tahun 2009 dan di Afghanistan pada tahun 2005 hingga tahun 2011; tentera Etiopia di Somalia pada tahun 2007; serta oleh Amerika Syarikat di Iraq pada tahun 2004.

Fosforus putih juga digunakan dalam bom tangan asap bagi tujuan mengalihkan perhatian musuh.

Walaupun fosforus putih termasuk dalam Protokol III Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Senjata Konvensional Tertentu, penggunaan bahan ini secara berulang-ulang menunjukkan bahawa undang-undang antarabangsa sedia ada tidak mencukupi bagi melindungi orang awam daripada senjata pembakar ini.

Sifat Kimia Fosforus Putih

Fosforus putih ialah bahan mudah terbakar yang berbahaya apabila bertindak balas dengan udara. Bahan ini menyala secara spontan pada suhu 34 darjah Celsius apabila terdedah kepada udara.

Tindak balas fosforus putih dengan oksigen menghasilkan fosforus pentoksida (P2O5). Tindak balas ini merupakan tindak balas eksotermik, iaitu tindak balas yang membebaskan haba yang boleh mencapai suhu 1300 darjah Celsius.

Fosforus putih menghasilkan kecederaan hasil gabungan pembakaran haba dan tindak balas kimia pada tisu manusia. Kesan luka pada badan manusia ini merupakan hasil daripada sifat menghakis asid fosforik yang terbentuk semasa pembakaran.

Selain itu, sifat fosforus pentoksida yang higroskopik (menyerap kelembapan daripada udara) juga membentuk asid fosforik yang menghakis yang boleh menyebabkan kecederaan sehingga tulang. Kecederaan ini mengambil masa yang lama untuk sembuh dan boleh menyebabkan jangkitan.

Bahaya Fosforus Putih

Jika semua serpihan fosforus putih dalam badan tidak dibuang, bahan tersebut akan menyebabkan luka semakin teruk selepas rawatan diberikan. Sementara itu, badan yang terbakar akibat fosforus putih, walaupun sekitar 10 peratus, hal tersebut boleh menyebabkan maut.

Rawatan bagi kecederaan yang disebabkan oleh fosforus putih sangat berbeza berbanding dengan rawatan kecederaan lain. Dalam proses rawatan akibat fosforus putih, luka perlu dicuci pada setiap hari dan tisu mati perlu dibuang.

Seandainya badan masih mempunyai serpihan fosforus putih, larutan bergaram perlu sentiasa disiram ketika mengeluarkan serpihan ini. Jika tidak dilakukan sedemikian, tindak balas fosforus putih dengan udara akan menyebabkan kebakaran dan seterusnya merosakkan tisu badan.

Oleh hal yang demikian, dengan segala kerosakan dan bahaya yang disebabkan oleh fosforus putih ini, sudah tiba masanya bahan ini diharamkan penggunaannya dalam ketenteraan. Bahan alternatif yang kurang merosakkan seperti peluru asap 155 milimeter boleh digunakan sebagai adang-adang asap dalam pertempuran.

Selain itu, bagi tujuan memberikan isyarat, teknologi berasaskan frekuensi radio boleh digunakan dan tidak perlu bergantung pada senjata pembakaran. Bom tangan asap juga boleh dibuat tanpa menambahkan fosforus putih di dalamnya tetapi menggunakan bahan pewarna tidak toksik bagi mengaburi pandangan musuh.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.