22 Mac 2023, 10:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ketidaktentuan kejadian banjir yang berlaku kebelakangan ini menuntut masyarakat untuk mempersiapkan diri menghadapi bencana banjir yang akan berlaku pada masa hadapan. Situasi ini turut menggambarkan keperluan mendesak masyarakat itu sendiri untuk mengambil tindakan berani dan transformatif untuk mengurangkan impak kejadian banjir, sekali gus membina daya tahan mereka dalam menghadapi situasi banjir.

Kejadian banjir yang melanda bukan sahaja mendatangkan kerosakan harta benda dan nyawa, malah menyebabkan beberapa rumah hanyut dibawa arus. Hujan yang mencurah dengan luar biasa di sesuatu tempat kini mungkin akan menjadi fenomena biasa saban tahun. Kawasan yang dahulunya tidak pernah banjir kini juga terdedah kepada risiko banjir.

Bagi kawasan pembandaran, kejadian banjir kilat mungkin mengakibatkan impak yang lebih besar dan mencetuskan situasi yang agak huru-hara disebabkan kenaikan air di kawasan perniagaan, perumahan dan perindustrian yang berkepadatan tinggi. Namun begitu, bagi kawasan luar bandar atau bandar kecil yang terjejas dengan banjir, suasana dilihat lebih bersedia dan tenang ketika musibah banjir berlaku.

Keadaan ini mungkin disebabkan oleh kejadian banjir tersebut yang memang sudah dijangka akan berlaku pada setiap tahun lalu menyebabkan masyarakat lebih berdaya tahan dalam menghadapinya. Keadaan yang tidak menentu berikutan kesan perubahan iklim memerlukan tahap kesiapsiagaan dan daya tahan masyarakat lebih tinggi terhadap kejadian banjir.

Konsep “hidup bersama banjir” sepatutnya sudah menjadi sebahagian daripada mantera dalam pemikiran masyarakat yang sering terkesan dengan kejadian banjir. Selain strategi kawalan banjir, masyarakat di luar bandar yang kebiasaannya mempunyai halaman rumah boleh melaksanakan strategi meminimumkan impak banjir dengan langkah hidup bersama banjir. Menerusi pendekatan ini, banjir “dibenarkan” dalam keadaan tertentu pada sesuatu tempat dan pada masa sama, impak buruk banjir seperti kerosakan diminimumkan dengan tahap kesiapsiagaan lebih baik.

Antara pengurangan impak banjir termasuklah dengan membina rumah yang tinggi. Bahagian bawah rumah pula diminimumkan penggunaannya bagi membenarkan air membanjiri tanpa merosakkan harta benda.

Saya teringat akan sebuah organisasi kerajaan negeri yang menggunakan rumah kuarters banglo yang diubah suai sebagai pejabat. Rumah kuarters banglo tersebut mempunyai bahagian bawah rumah yang lebih rendah jika dibandingkan dengan bahagian atas rumah. Hanya bahagian atas rumah dijadikan pejabat dan bahagian bawah rumah dibiarkan kosong tanpa diubah suai.

Pejabat organisasi kerajaan negeri tersebut terletak di sebelah sungai. Pernah berlaku situasi hujan mencurah dengan agak luar biasa di kawasan tersebut sehingga paras air sungai meningkat naik lalu berlakunya banjir. Air sungai telah melimpah memasuki bahagian bawah pejabat tersebut hingga paras lutut. Oleh sebab bahagian bawah pejabat tersebut kosong, tiada sebarang kerosakan yang berlaku.

Selain itu, konsep rumah terapung juga boleh dilaksanakan dengan rumah diletakkan di atas tapak yang diperbuat daripada struktur pontun terapung. Amerika Syarikat, Jepun dan Belanda memperkenalkan rumah amfibia yang boleh bergerak naik hingga lima meter ketika banjir dan turun semula apabila air surut.

Rumah itu dipasang dalam dok dengan empat tiang yang menghalang rumah tersebut daripada terapung bersama-sama banjir. Tindakan tersebut juga memastikan rumah tersebut hanya bergerak ke atas dan ke bawah.

Baru-baru ini, seorang penduduk di Kampung Tebak, Kemaman, Terengganu telah melaksanakan inovasi terhadap rumahnya dengan menggunakan 69 tong plastik yang berfungsi sebagai pelampung bagi memastikan rumahnya terapung dan tidak ditenggelami air ketika banjir. Menariknya, rumah tersebut boleh terapung pada ketinggian lima meter.

Selain itu, sebuah firma pembinaan Jepun yang sememangnya sudah terkenal dengan idea rumah amfibia ini menggunakan istilah rumah kalis banjir yang ditawarkan kepada sesiapa yang berminat. Rumah ini sama seperti rumah amfibia.

Rumah ini dilengkapi dengan empat sistem pertahanan banjir. Pertama, semua lubang pengudaraan bahagian lantai ditutup apabila air mula naik sebelum memasuki ruang rumah. Kedua, injap yang menghalang air memasuki rumah menerusi paip kumbahan tandas, dapur dan bilik mandi hanya membenarkan air mengalir dengan sehala dan apabila banjir berlaku, injap ini akan ditutup secara automatik.

Ketiga, rumah ini menggunakan kaca, sama ada di pintu atau tingkap yang mempunyai binaan berlapis bagi menahan tekanan air yang tinggi. Peringkat pertahanan yang keempat pula melibatkan rumah yang akan diikat dengan empat batang besi tebal yang ditanam dalam tanah yang berperanan seperti sauh untuk mengelakkan rumah ini dihanyutkan dari tapak.

Apabila banjir, rumah ini akan bergerak ke atas mengikut ketinggian paras air. Semua sistem elektrik, saluran air bersih, kumbahan dan penyaman udara juga diletakkan pada kedudukan yang lebih tinggi dan dicantumkan terus kepada rumah supaya tidak terkesan atau rosak ketika banjir.

Dengan dasar Malaysia yang masih memandang ke Timur, teknologi ini mungkin boleh digunakan untuk orang ramai yang tinggal di tempat yang berisiko dengan kejadian banjir. Sebelum ini, sudah ada cadangan untuk membina rumah mangsa kejadian banjir yang mudah terjejas, namun hal tersebut perlu mengambil kira semua aspek secara menyeluruh.

Saya melihat konsep rumah kalis banjir ini boleh diadaptasikan di negara ini memandangkan Malaysia mengalami taburan hujan yang tinggi di beberapa negeri pada setiap hujung tahun. Usaha ini juga mampu mengurangkan perbelanjaan besar akibat pelbagai kerosakan yang disebabkan oleh banjir.

Walau bagaimanapun, pembinaan rumah amfibia atau rumah kalis air memerlukan kos yang tinggi. Oleh hal yang demikian, kerajaan boleh menyediakan peruntukkan khas, terutamanya kepada mereka yang kerap berdepan dengan situasi ini.

Selain itu, pengaliran dan pelencongan air limpahan banjir ke tempat kurang berisiko seperti padang permainan, kawasan lapang, kurang kepadatan, tanah terbiar dan tidak berpenduduk boleh juga diusahakan. Sekiranya saliran perparitan dan sungai sudah tidak mencukupi, tempat kurang berisiko ini boleh dibanjiri dahulu dengan kawalan keselamatan yang lebih baik, sementara menunggu air surut.

Begitu juga dengan tempat pertanian dan perladangan yang berisiko mengalami banjir. Pengaliran dan pelencongan air limpahan banjir dari tempat tanaman dapat mengelakkan tanaman daripada rosak dan mengalami kerugian yang besar.

Di samping itu, rumah rakit juga boleh dihasilkan sebagai satu daripada inisiatif apabila berlakunya kejadian banjir. Sebagai contohnya, penduduk di Kampung Batu Kapur, Temerloh, Pahang menghasilkan rumah rakit bagi menempatkan barang berharga sekiranya berlaku banjir besar. Tindakan ini merupakan langkah yang baik memandangkan penduduk di sana berkemungkinan sudah lali dengan banjir yang berlaku pada setiap tahun.

Kejadian banjir sudah semakin pasti menjadi acara tahunan di beberapa tempat. Curahan hujan yang sangat banyak di Johor baru-baru ini ialah contoh fenomena agak luar biasa yang semakin kerap berlaku.

Di samping usaha kerajaan melaksanakan projek tebatan banjir yang lebih mapan dan efektif, masyarakat yang saban tahun terkesan kini semakin bijak dan lebih bersiap siaga dalam menghadapi banjir. Usaha bersepadu semua pihak boleh ditingkatkan lagi dalam pelaksanaan strategi hidup bersama banjir agar impak banjir tidak terlalu dirasai dari segi material dan emosi.

Masyarakat juga perlu berani mengambil langkah dengan lebih agresif. Gaya hidup masyarakat juga harus berubah selari dengan impak yang dihasilkan akibat perubahan iklim. Ketidaktentuan kejadian banjir yang berlaku sejak sedekad lalu amat membimbangkan dan menagih penyelesaian tuntas, terutamanya daripada masyarakat yang terkesan itu sendiri.

Seluruh dunia kini berdepan situasi cuaca melampau yang tidak dijangka. Kebimbangan yang timbul tentang keperluan masyarakat yang selalu terkesan dengan banjir adalah dengan memberikan fokus terhadap langkah adaptasi, pembinaan daya ketahanan terhadap perubahan iklim dan peningkatan usaha siap siaga untuk menghadapi kejadian banjir.

Yang lebih penting, masyarakat perlu peka dan cakna dengan sebarang maklumat berkaitan status banjir di tempat terjejas untuk bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Pastinya kelesuan dan kepenatan serta trauma dialami menjadi pengalaman sukar dilupakan. Oleh sebab itu, daya tahan masyarakat amat penting bagi memastikan semua mangsa banjir terus cekal dan tabah dengan ujian menimpa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.