Diterbitkan pada 16 Oktober 2025, 16:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, rakyat Malaysia sering dikejutkan oleh pelbagai insiden bencana alam seperti gegaran gempa lemah di Segamat, runtuhan cerun di Batang Kali, banjir besar yang melumpuhkan Lembah Klang dan yang terbaharu, ribuat kuat di Sijangkang. Rentetan daripada bencana ini juga membuatkan masyarakat tertanya-tanya, adakah negara benar-benar bersedia menghadapi ancaman alam yang semakin tidak dapat dijangka?

Tahap kesiapsiagaan sesebuah negara bergantung pada kecekapan sistem amaran awal yang berperanan sebagai benteng pertama sebelum bencana berlaku. Sistem ini menyediakan ruang masa yang amat kritikal untuk masyarakat bersiap sedia, berpindah dan mengambil langkah keselamatan bagi melindungi nyawa serta harta benda.

Walaupun manusia tidak mampu menghalang kejadian seperti gempa bumi, hujan lebat atau tanah runtuh, kemampuan untuk membaca isyarat awal dan bertindak secara bijak dapat mengurangkan impaknya. Oleh itu, pembangunan sistem amaran awal yang menyeluruh perlu dilihat sebagai keperluan nasional yang mendesak dan bukan sebagai pilihan tambahan dalam pengurusan bencana.

Konsep dan Komponen Sistem Amaran Awal

Sistem amaran awal merujuk gabungan teknologi, data saintifik dan mekanisme komunikasi yang berfungsi memberikan amaran kepada masyarakat mengenai risiko bencana yang berpotensi berlaku. Tujuan utamanya adalah untuk menyediakan jendela masa, walaupun singkat, untuk membolehkan orang ramai dan pihak berkuasa mengambil langkah pencegahan serta tindak balas yang tersusun sebelum impak bencana menjadi lebih teruk.

Pada peringkat global, sistem amaran awal lazimnya dibangunkan berasaskan empat komponen utama yang saling melengkapi antara satu sama lain. Komponen pertama ialah pengesanan dan pemantauan yang melibatkan proses pengumpulan data secara berterusan melalui rangkaian penderia, stesen cuaca, seismograf, radar dan satelit bagi mengesan petunjuk awal terhadap kejadian berisiko. Seterusnya, analisis dan penilaian risiko dijalankan bagi mentafsirkan data yang diperoleh dengan menggunakan pendekatan saintifik serta model ramalan untuk menilai tahap ancaman, kebarangkalian kejadian dan potensi impak terhadap kawasan yang terlibat.

Komponen ketiga ialah pengeluaran dan penyebaran amaran yang berfungsi untuk menyampaikan maklumat berbentuk amaran secara jelas, tepat dan berasaskan bukti saintifik kepada agensi berkaitan dengannya serta masyarakat umum pada masa yang kritikal. Akhir sekali, tindak balas masyarakat yang menjadi penentu utama kepada keberkesanan keseluruhan sistem apabila amaran yang diterima difahami, dipercayai dan diterjemahkan kepada tindakan pantas oleh komuniti serta pihak berkuasa tempatan.

Pengalaman Antarabangsa

Beberapa negara telah menunjukkan keberkesanan sistem amaran awal pelbagai bencana atau multi-hazard early warning system (MHEWS) sebagai langkah proaktif dalam melindungi masyarakat. Jepun misalnya, terkenal dengan sistem amaran gempa bumi dan tsunami yang antara paling canggih di dunia. Melalui ribuan penderia seismik, siren pantai, siaran televisyen dan mesej automatik ke telefon pintar, amaran dapat disebarkan dalam tempoh beberapa saat sahaja. Meskipun singkat, tempoh tersebut mencukupi untuk menghentikan operasi kereta api laju, menutup sistem industri dan memberi peluang kepada orang ramai untuk mencari perlindungan.

Di Asia Tenggara, Filipina turut membangunkan sistem amaran awal pelbagai bencana yang menggabungkan data banjir, taufan dan tanah runtuh melalui agensi PAGASA serta rangkaian sukarelawan komuniti. Keberkesanan sistem tersebut banyak bergantung pada penyertaan masyarakat untuk memahami mesej amaran dan bertindak segera sebaik sahaja menerima maklumat.

Komponen Sistem Amaran Awal Mengikut Jenis Bencana

Amaran awal seismik

Di Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui agensi pelaksananya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengendalikan rangkaian stesen seismik yang berfungsi mengesan gegaran bumi. Walaupun kejadian gempa tempatan sukar diramalkan kerana berlaku secara mendadak, sistem ini masih berupaya memberi amaran terhadap gempa berskala besar yang berpunca dari luar negara, khususnya dari kawasan seismik aktif seperti Sumatera. Tragedi tsunami pada tahun 2004 menjadi titik tolak kepada penubuhan Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) yang kini mampu memberikan notis awal beberapa minit kepada kawasan pantai bagi membolehkan tindakan pemindahan segera dilaksanakan.

Amaran awal cerun dan tanah runtuh

Kejadian tanah runtuh lazimnya berpunca daripada hujan berpanjangan yang meningkatkan kandungan kelembapan tanah sehingga mengurangkan kekuatan ricih serta menjejaskan kestabilan cerun. Bagi mengawal risiko ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah membangunkan sistem pemantauan cerun bersepadu menggunakan pelbagai instrumen moden seperti penderia hujan, inklinometer untuk merekod anjakan tanah, piezometer bagi memantau tekanan liang air serta radar satelit yang mampu mengesan pergerakan tanah pada skala lebih luas.

Data beresolusi tinggi daripada sistem ini membolehkan potensi kegagalan cerun dikenal pasti melalui analisis masa nyata dan penetapan ambang amaran awal. Walau bagaimanapun, tragedi Batang Kali pada tahun 2022 membuktikan bahawa sistem sedia ada masih perlu diperkemas, khususnya dari segi liputan kawasan, integrasi data antara agensi serta keberkesanan penyampaian amaran kepada masyarakat setempat agar mesej yang disampaikan benar-benar difahami dan diambil tindakan segera.

Amaran awal banjir dan cuaca ekstrem

Bagi bencana banjir, sistem amaran awal di Malaysia beroperasi melalui integrasi data daripada stesen pemantauan aras air sungai, ramalan cuaca berasaskan radar serta aplikasi mudah alih seperti MyCuaca. Di kawasan berisiko tinggi, amaran turut disampaikan melalui siren kecemasan dan khidmat pesanan ringkas bagi memastikan maklumat sampai dengan segera kepada penduduk setempat.

Namun begitu, banjir besar yang melanda Shah Alam pada tahun 2021 memperlihat bahawa cabaran utama bukan hanya terletak pada kecanggihan teknologi amaran, malah pada keberkesanan penyampaian maklumat kepada masyarakat. Beberapa laporan media ketika itu menunjukkan masih banyak penduduk yang tidak menerima, tidak memahami atau tidak menyedari amaran yang telah dikeluarkan, sekali gus menjejaskan usaha pemindahan awal dan pengurusan bencana secara menyeluruh.

Kepentingan Integrasi Data dan Agensi

Keberkesanan sistem amaran awal bergantung pada maklumat daripada pelbagai sumber dapat digabungkan secara menyeluruh dan bersepadu. Di Malaysia, agensi seperti MetMalaysia yang mengendalikan ramalan cuaca dan seismik, JMG yang memantau faktor geologi dan cerun, JKR yang bertanggungjawab terhadap infrastruktur serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang menyelaras tindak balas kecemasan, masing-masing memiliki kepakaran dan data yang amat bernilai. Namun begitu, tanpa integrasi yang kukuh, maklumat ini berisiko terperangkap dalam silo agensi, sekali gus menimbulkan kelewatan, pertindihan atau kekeliruan dalam penyampaian amaran kepada masyarakat yang memerlukan tindakan segera.

Pengurusan bencana yang berkesan menuntut ekosistem maklumat yang terbuka dan saling berhubung antara agensi. Integrasi data masa nyata melalui pangkalan maklumat bersama, platform pemetaan risiko serta saluran komunikasi bersepadu dapat meningkatkan keupayaan amaran dan tindak balas awal. Pendekatan ini juga memastikan setiap amaran yang dikeluarkan disokong oleh bukti saintifik dan tafsiran yang seragam antara agensi.

Dimensi Sosial, Komuniti dan Teknologi Baharu

Keberkesanan sistem amaran awal tidak hanya bergantung pada teknologi yang canggih, malah turut dipengaruhi oleh tahap keterlibatan masyarakat. Di kebanyakan negara, komuniti tempatan berperanan sebagai barisan hadapan dalam menyebarkan maklumat serta melaksanakan tindakan segera apabila bencana berlaku. Peranan sukarelawan, ketua kampung dan jaringan komuniti amat penting sebagai penghubung antara agensi kerajaan dan penduduk setempat, khususnya apabila sistem komunikasi moden terganggu akibat bencana.

Pada masa yang sama, kemajuan teknologi membuka peluang baharu untuk meningkatkan keupayaan sistem amaran awal di Malaysia. Peranti berasaskan Internet benda yang bersaiz kecil dan berkos rendah boleh dipasang di kawasan pedalaman bagi memantau paras air, pergerakan tanah atau kestabilan cerun secara masa nyata.

Data yang dikumpulkan melalui sistem ini boleh dihubungkan terus kepada pusat kawalan untuk memberi amaran segera sekiranya berlaku perubahan luar jangka. Gabungan komuniti yang berdaya siaga dengan penggunaan teknologi pintar berpotensi menjadikan sistem amaran awal negara lebih inklusif, tepat dan berkesan dalam melindungi nyawa serta harta benda.

Menuju Budaya Pencegahan

Sistem amaran awal tidak terbatas kepada rangkaian penderia, siren atau mesej amaran di telefon pintar. Sistem tersebut merupakan ekosistem kesiapsiagaan yang menggabungkan sains, teknologi, agensi kerajaan dan tindakan masyarakat.

Malaysia tidak terkecuali daripada ancaman bencana seperti gegaran bumi, runtuhan cerun dan banjir besar. Namun demikian, dengan sistem amaran awal yang mantap, masa yang singkat antara amaran dengan kejadian boleh menjadi garis pemisah antara keselamatan dengan kemusnahan.

Dalam konteks ini, masyarakat perlu bergerak daripada budaya reaktif kepada budaya pencegahan. Amaran hanya memberikan makna apabila diterjemahkan kepada tindakan segera dan teratur oleh semua pihak, bermula daripada pembuat dasar hinggalah kepada komuniti akar umbi.

Prinsip komunikasi risiko bencana antarabangsa menegaskan bahawa keberkesanan sesuatu amaran tidak hanya diukur pada kecepatan maklumat disampaikan, tetapi pada sejauh mana mesej tersebut diterima, difahami dan diambil tindakan oleh masyarakat. Amaran yang disampaikan tanpa kefahaman hanyalah maklumat kosong yang hilang dalam kebisingan. Apabila amaran diabaikan atau gagal diterjemahkan kepada tindakan, hal itu menandakan kelemahan sistem secara keseluruhan — daripada penyedia maklumat hingga kepada penerima di lapangan.

 

Dr. Suzielah Rahmad,
Jurutera Perunding Bebas.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi