Diterbitkan pada 8 Jun 2025, 00:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Akhir-akhir ini, isu anjing liar semakin kerap dilaporkan dalam akhbar dan media massa. Sebenarnya, isu ini telah lama berlarutan sehingga kelihatan seolah-olah tiada penyelesaian yang tuntas untuk menanganinya.

Hubungan antara anjing dengan manusia yang wujud atas dasar saling kebergantungan menjadikan kedua-duanya saling memerlukan demi kelangsungan hidup. Jika tidak kerana hubungan tersebut, kemungkinan besar spesies anjing yang dikategorikan sebagai Canis lupus familiaris sudah pupus seperti dinosaur.

Oleh itu, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memperbaik hubungan antara anjing dengan pemiliknya demi kesejahteraan komuniti. Namun demikian, insiden yang berpunca daripada kegagalan memahami perangai dan tingkah laku anjing, termasuklah dalam kalangan haiwan peliharaan masih terus berlaku. Contohnya, kejadian tragis yang berlaku di Queens, New York, Amerika Syarikat apabila seorang bayi perempuan berusia sebulan maut selepas diserang dan diterkam oleh anjing peliharaan keluarganya ketika sedang tidur bersama-sama ibu dan bapa tirinya.

Dalam konteks tempatan pula, pelbagai insiden yang melibatkan anjing liar telah tular menerusi media sosial. Satu daripada kes tersebut melibatkan seorang pelajar tingkatan lima yang cedera selepas terjatuh ketika dikejar oleh tiga ekor anjing liar semasa menunggu perkhidmatan e-panggilan di Rasah Jaya. Mangsa memaklumkan bahawa beliau tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan reaksi agresif daripada anjing tersebut.

Selain itu, terdapat satu rakaman video yang menunjukkan seorang remaja menunggang basikal melalui sekumpulan anjing liar di jalan raya yang sesak. Tiba-tiba, seekor daripada anjing tersebut mula mengejar remaja berkenaan, lalu menyebabkan beliau panik dan hilang kawalan terhadap basikalnya. Situasi bertambah cemas apabila kawanan anjing yang lain turut mengejarnya dan hampir mengakibatkan kemalangan jalan raya.

Risiko Kesihatan Awam

Di Sarawak, sebanyak 63 301 kes gigitan anjing telah dilaporkan dalam tempoh lapan tahun kebelakangan ini. Keadaan menjadi lebih menyedihkan apabila kebanyakan mangsa gigitan anjing liar di negeri tersebut disahkan positif rabies. Sekiranya mangsa tidak segera mendapatkan rawatan khusus di hospital, virus berkenaan boleh menyerang otak, lalu menjadikan keadaan tidak lagi dapat dipulihkan dan menyebabkan penderitaan yang amat menyakitkan.

Kes seperti ini hanyalah sebahagian kecil daripada insiden serangan dan gigitan anjing terbiar yang kini semakin sukar dikawal. Akibat situasi yang semakin meruncing, pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru misalnya, telah bekerjasama dengan Social Hero Foundation dan Vet Partners Malaysia untuk melaksanakan program kembiri anjing liar. Langkah ini menjadi bukti kepada betapa seriusnya ancaman yang ditimbulkan oleh anjing terbiar terhadap kesejahteraan masyarakat dan keselamatan manusia secara umum. Dalam hal ini juga, persoalan yang timbul ialah mengapakah meskipun pelbagai usaha telah dijalankan, kes serangan anjing liar masih berterusan di pelbagai lokasi di dalam dan di luar negara?

Menurut aduan penduduk setempat, antara punca utama bagi masalah tersebut termasuklah kewujudan anjing peliharaan yang dibuang atau dibiarkan berkeliaran, khususnya anjing yang sebelum ini digunakan untuk menjaga kebun. Pemilik ladang lazimnya mengambil anjing sebagai alternatif kepada pengawal keselamatan bagi menjimatkan kos operasi. Apabila ladang tidak lagi diusahakan, anjing tersebut dibiarkan terbiar tanpa penjagaan.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila kawasan terbabit dijadikan tempat melonggokkan makanan oleh individu tertentu untuk anjing-anjing tersebut. Sesetengah insan yang berhati mulia menyediakan makanan khas kepada anjing terbiar di sekitar kejiranan kerana beranggapan bahawa tindakan tersebut mencerminkan rasa kasih terhadap haiwan. Namun begitu, tabiat ini secara tidak langsung menggalakkan pembiakan anjing liar yang tidak terkawal dan akhirnya menimbulkan ancaman kepada keselamatan penduduk.

Menurut pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pula, walaupun tangkapan dibuat setelah aduan diterima oleh pihak berkuasa tempatan, tindakan yang diambil masih terbatas. Pada kebiasaannya, pihak berkuasa hanya berjaya menangkap satu atau dua ekor anjing liar sebelum kes ditutup. Baki anjing liar yang terlepas terus menjadi punca kepada serangan yang berlaku seterusnya.

Keadaan ini disokong pula oleh sifat semula jadi anjing yang cenderung hidup dalam kelompok yang besar. Kehadiran kawanan anjing liar dalam jumlah yang banyak menimbulkan risiko keselamatan kepada golongan yang lebih terdedah seperti kanak-kanak, penunggang basikal dan motosikal serta remaja yang berjalan kaki ke sekolah. Situasi menjadi lebih menyayat hati apabila warga emas yang tidak berdaya menyelamatkan diri turut menjadi korban akibat serangan anjing liar.

Gejala anjing liar juga bukanlah isu terhad kepada negara ini semata-mata. Banyak negara di seluruh dunia turut berdepan dengan masalah yang serupa. Namun begitu, yang membezakannya ialah pendekatan komuniti dan tindakan pihak berkuasa dalam mengendalikannya. Terdapat komuniti yang berjaya menghapuskan sepenuhnya populasi anjing liar, manakala ada pula yang gagal sehingga isu ini dijadikan modal politik yang akhirnya membawa kepada ketegangan kaum.

Anjing dan Manusia: Simbiosis yang Kompleks

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa hubungan antara manusia dengan anjing mempunyai sejarah yang panjang. Sejak dahulu lagi, anjing dikenali sebagai sahabat, pembantu, pengawal dan pemburu yang setia kepada manusia. Satu daripada kisah yang mengesahkan perkara ini ialah peristiwa 11 September 2001.

Pada tarikh itu, seekor anjing bernama Roselle berada di tingkat 78 Menara Utara World Trade Center bersama-sama pemiliknya, Michael Hingson, seorang lelaki buta. Apabila pesawat merempuh menara tersebut, Roselle dengan tenang membimbing Hingson menuruni 1463 anak tangga dalam keadaan penuh kekacauan, asap dan serpihan bangunan. Roselle berjaya membawa Hingson keluar beberapa minit sebelum menara runtuh.

Selain itu, kisah anjing pembantu bernama Jedi turut memperlihatkan keistimewaan luar biasa anjing terhadap manusia. Jedi dilatih untuk mengesan perubahan paras gula dalam darah pemiliknya, Luke, seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang menghidap diabetes jenis satu. Pada setiap malam, Jedi akan tidur di sebelah Luke. Jika paras gula menjadi terlalu rendah, Jedi akan menyedarkan ibu Luke dan membantu mengambil ubat yang diperlukan. Jedi juga telah menyelamatkan nyawa Luke beberapa kali apabila berjaya mengesan perubahan yang kritikal sebelum menjadi berbahaya.

Kisahbenar seperti ini menjadi bukti kukuh bahawa anjing mampu menjadi penyelamat nyawa manusia. Sekiranya manusia benar-benar memahami tingkah laku serta keistimewaan anjing, potensi haiwan ini boleh dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Dalam jangka masa panjang, pendekatan ini juga mampu mengurangkan sebahagian isu berkaitan dengan anjing liar yang membahayakan keselamatan awam.

Oleh hal yang demikian, dalam usaha menangani isu sejagat ini, amat penting bagi pihak yang terlibat untuk terlebih dahulu memahami tingkah laku anjing. Pendekatan damai juga lebih wajar diambil jika usaha itu dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak yang terlibat.

Anjing yang berada dalam ketakutan cenderung untuk bertindak agresif sebagai mekanisme pertahanan diri. Anjing mungkin melihat pejalan kaki, terutamanya yang bergerak pantas seperti penunggang basikal atau kanak-kanak sebagai ancaman kerana tingkah laku yang sukar dijangka, bising dan cergas.

Sebagai contoh, anjing yang tidak pernah disosialisasikan dengan baik mungkin takut kepada orang asing, bunyi basikal atau jeritan kanak-kanak. Dalam keadaan tersebut, tindak balas seperti menyalak atau menggigit adalah untuk menghalau apa-apa sahaja yang dianggap sebagai ancaman.

Selain itu, anjing juga mempunyai naluri semula jadi untuk melindungi wilayah yang dianggap miliknya, sama ada rumah, halaman, mahupun kawasan yang sering dikunjungi. Kehadiran manusia berhampiran dengan kawasan ini boleh ditafsirkan sebagai pencerobohan.

Dalam kebanyakan kes, manusia secara tidak sedar menghantar isyarat yang mengelirukan kepada anjing. Sebagai contoh, tatapan mata yang terlalu lama boleh dianggap sebagai cabaran. Kanak-kanak pula sering bergerak secara rawak, menjerit atau cuba memeluk anjing secara tiba-tiba yang mungkin boleh dianggap sebagai gangguan atau ancaman.

Setelah memahami personaliti dan naluri anjing, maka bolehlah dirangka penyelesaian yang lebih menyeluruh dan adil. Seperti peribahasa “tak kenal maka tak cinta”, pemahaman yang menyeluruh mengenai anjing akan membuka ruang kepada toleransi dan tindakan berhemah.

Kuasa Komuniti dan Polisi Tempatan

Dalam hal ini, pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mempunyai bidang kuasa terhadap anjing liar perlu memulakan usaha dengan mengumpulkan komuniti dan pemegang taruh yang berkepentingan dalam masyarakat. Menuding jari untuk menyalahkan individu atau pihak tertentu adalah tindakan yang mudah, namun tidak membina. Jika inisiatif ini disalurkan kepada perbincangan secara serius dan bersungguh-sungguh, pastinya pelbagai pihak dapat mencapai penyelesaian yang lebih berkesan secara berperingkat.

Antara langkah proaktif yang boleh diambil oleh PBT termasuklah dengan meletakkan papan tanda amaran di setiap kawasan komuniti berkenaan dengan bahaya serangan anjing liar. Poster pemberitahuan tersebut wajar disertakan makluman kadar denda berdasarkan akta atau undang-undang kecil yang diguna pakai oleh PBT.

Pada masa yang sama, masyarakat perlu diberikan maklumat yang jelas tentang definisi anjing liar atau anjing terbiar. Secara umumnya, istilah ini merujuk semua jenis anjing berlesen atau tidak yang berkeliaran di tempat awam tanpa pengawasan. Menurut pesanan yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Lenggong, anjing peliharaan juga boleh diklasifikasikan sebagai anjing terbiar sekiranya dibiarkan merayau bebas tanpa pemantauan.

Operasi tangkapan anjing liar oleh pihak berkuasa tempatan dijalankan secara berhati-hati bagi mengelakkan risiko kepada penduduk dan haiwan terbabit.

Dalam satu mesyuarat Dewan Negeri Selangor, pernah dikemukakan pertanyaan mengenai kesediaan kerajaan negeri menyediakan pelan komprehensif bagi menangani isu anjing liar yang semakin membimbangkan. Jawapan yang diberikan menunjukkan usaha sedang dijalankan, namun timbul persoalan tentang keberkesanan pelaksanaan serta cabaran yang perlu dihadapi oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, melalui tatacara operasi piawai yang digariskan dalam Operasi Penangkapan dan Pelupusan Anjing Terbiar di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan, pelbagai kaedah digunakan seperti umpan dan perangkap, sumpitan pelali, penjerut serta penggunaan jaring untuk menangkap anjing liar.

Usaha ini turut diperkukuh dengan pelantikan kontraktor yang berkelayakan bagi menangkap anjing berkeliaran. Beberapa PBT juga melaksanakan penguatkuasaan pelesenan anjing serta memperkenalkan program pemandulan sebagai sebahagian daripada sistem pelesenan.

Pada setiap bulan, sebanyak 180 hingga 250 tangkapan anjing liar berjaya dilakukan menerusi pelbagai kaedah. Kos keseluruhan untuk melaksanakan operasi ini melibatkan perbelanjaan mencecah ratusan ribu ringgit dan dalam sesetengah kes, mungkin menelan jutaan ringgit. Namun begitu, masalah anjing liar masih belum dapat diatasi sepenuhnya.

Hakikatnya, cabaran paling besar dalam hal ini bukanlah pada aspek teknikal penangkapan, sebaliknya pada usaha untuk memberikan pendidikan dan kesedaran kepada komuniti mengenai bahaya anjing liar dari segi keselamatan dan kesihatan awam.

Negara ini boleh mencontohi pendekatan negara maju seperti Belanda yang melaksanakan sistem pendaftaran mikrocip. Sistem ini membolehkan haiwan yang berkeliaran dikenal pasti dan dikembalikan kepada pemiliknya sekiranya haiwan itu hilang atau dibuang.

Tanggungjawab pemilik haiwan peliharaan, khususnya anjing juga harus diperjelas. Pemilik perlu menyediakan makanan, tempat tinggal, rawatan, mengawal pergerakan haiwan mereka di tempat awam serta memandulkannya sekiranya tidak berniat untuk pembiakan.

Satu daripada langkah yang paling berkesan, walaupun memerlukan komitmen yang tinggi, adalah dengan melibatkan komuniti dan NGO secara aktif. Dengan semangat kesukarelawanan yang tulen, gabungan individu, pusat perlindungan haiwan dan orang awam yang dipandu arah oleh PBT boleh berbincang dan mencari penyelesaian bersama. Jika negara seperti Belanda telah membuktikan bahawa penghapusan anjing liar dapat dilaksanakan tanpa pelupusan besar-besaran, maka negara ini juga sewajarnya mencuba dan merealisasikan kejayaan tersebut melalui pendekatan yang lebih berperikemanusiaan.

Pendidikan dan Kesedaran Masyarakat

Pendidikan merupakan senjata utama dalam menangani pelbagai permasalahan yang wujud di dunia ini. Mendidik anak-anak agar membuang sampah ke dalam tong yang tertutup dan menyediakan tong sampah yang tidak mudah diselongkar anjing merupakan antara langkah asas yang boleh membantu mengurangkan populasi anjing liar secara tidak langsung.

Pelaksanaan program berasaskan ilmu yang merangkumi semua peringkat, daripada pendidikan rendah hinggalah ke seminar yang melibatkan ahli akademik wajar diberikan sokongan penuh. Program ini bertujuan mendidik masyarakat tentang punca sebenar kewujudan anjing liar serta meningkatkan kefahaman terhadap budaya pemeliharaan dan pemilikan anjing dalam kalangan pelbagai komuniti.

Sementara itu, memberikan penjelasan yang tepat kepada masyarakat bukan Melayu Islam tentang hukum fiqh berkaitan dengan anjing dari perspektif yang lebih menyeluruh dapat mengelakkan kekeliruan dan salah faham. Pendekatan ini lebih berkesan berbanding dengan tindakan menyalahkan mana-mana pihak. Pada masa yang sama, masyarakat bukan Melayu harus difahamkan tentang kesensitifan keagamaan jiran yang beragama Islam serta kepentingan mengawal anjing peliharaan agar tidak mencemari kawasan awam.

Sebagai rumusan, menyelesaikan isu anjing terbiar sebenarnya lebih mudah daripada menangani isu sosial dalam masyarakat majmuk yang berbeza agama, kaum dan kepercayaan seperti di negara ini. Memberikan kefahaman yang tepat kepada semua lapisan rakyat tentang cara memahami dan berinteraksi dengan anjing pula merupakan tugas yang jauh lebih mencabar berbanding dengan menangkap anjing liar itu sendiri.

Oleh itu, dalam mendepani cabaran ini, pendekatan yang berlandaskan empati dan rasa hormat sejagat perlu menjadi asas tindakan bersama. Kesedaran yang paling utama ialah kepentingan saling menghormati hak sesama manusia, hak makhluk lain yang turut hidup di bumi ini serta keperluan untuk mengurus hubungan ini dengan cara yang lebih mesra alam.

Haiwan juga berhak menikmati keamanan dan kehidupan yang harmoni. Maka itu, usaha murni ini perlu diteruskan tanpa gentar atau terpengaruh oleh suara yang sinis seperti maksud pepatah, “biarkan anjing menyalak, kafilah terus berlalu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi