Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBanjir merupakan satu daripada fenomena alam yang memberikan impak besar kepada kehidupan manusia, terutamanya di kawasan yang sering terdedah kepada masalah ini. Pada setiap tahun, kesan bencana banjir bukan sahaja menyebabkan kerosakan harta benda, bahkan mengakibatkan kehilangan nyawa.
Banjir yang melibatkan sembilan buah negeri, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor pada penghujung tahun 2024 kian memburuk. Dianggarkan puluhan ribu mangsa yang terkesan secara langsung akibat fenomena alam ini.
Punca Banjir yang Berulang
Satu daripada punca utama banjir ialah perubahan iklim. Kenaikan suhu global yang menyebabkan perubahan pola cuaca mengakibatkan hujan lebat yang tidak menentu.
Suhu yang lebih tinggi juga meningkatkan lembapan di atmosfera, seterusnya meningkatkan lagi kejadian hujan lebat. Menurut bacaan taburan hujan harian yang diperoleh daripada laman web rasmi Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, stesen hujan di beberapa kawasan di Kelantan mencatatkan curahan hujan harian melebihi 1000 milimeter (mm) dari 26 November 2024 hingga 2 Disember 2024.
Jika pada kebiasaannya jumlah hujan bulanan adalah sekitar 100 mm, curahan hujan sebanyak ini dalam tempoh seminggu jelas menyebabkan kejadian banjir yang besar. Curahan hujan yang banyak dalam waktu singkat telah menyebabkan limpahan air sungai, seterusnya mengakibatkan banjir di beberapa lokasi. Perubahan cuaca ekstrem yang semakin kerap juga memberikan kesan yang mendalam.
Dalam konteks monsun, Malaysia mengalami dua musim monsun utama, iaitu monsun timur laut dan monsun barat daya yang memberikan pengaruh kepada jumlah hujan. Semasa musim monsun timur laut yang berlangsung dari November hingga Mac, kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia sering kali menerima hujan lebat yang berterusan dan boleh menyebabkan banjir besar. Hujan monsun yang melimpah dalam tempoh yang singkat juga menyebabkan sungai melimpah dan mengakibatkan banjir di kawasan tertentu.
Fenomena seperti El Niño dan La Niña pula mempengaruhi pola hujan dan kejadian ini semakin kerap berlaku. Kawasan yang sebelum ini tidak terjejas kini menghadapi risiko banjir yang lebih tinggi, lalu memaksa masyarakat untuk beradaptasi dengan keadaan baharu.
Sebagai contoh, kawasan perumahan di Arena Kepayang Putra, Fair Park Ipoh, telah dilanda banjir kilat pada 1 Disember 2024. Kejadian banjir ini disifatkan penduduk sebagai luar jangkaan kerana kejadian itu berlaku buat pertama kalinya di kawasan perumahan tersebut dalam tempoh 30 tahun.
Kesan Banjir
Kesan banjir tidak hanya terhad kepada kerosakan fizikal tetapi juga merangkumi aspek sosial dan ekonomi. Keluarga kehilangan tempat tinggal, perniagaan terpaksa ditutup dan ada kalanya, infrastruktur asas seperti jalan dan jambatan mengalami kerosakan yang teruk.
Selain kerosakan harta benda, banjir juga boleh menyebabkan penularan penyakit. Air yang tercemar boleh membawa bakteria dan virus, lalu menjadikan masyarakat terdedah kepada jangkitan.
Tidak hanya itu, kesihatan mental masyarakat juga terjejas akibat trauma dan kehilangan yang mereka alami. Kebimbangan dan tekanan boleh meningkat selepas kejadian banjir. Tanpa sokongan yang mencukupi, individu dan keluarga mungkin sukar untuk pulih. Beban psikologi ini boleh memberikan kesan dalam tempoh yang lama walaupun setelah keadaan kembali normal.
Masyarakat yang terjejas oleh banjir sering kali mempunyai pengalaman pahit yang akan dikenang sepanjang hayat. Mereka mungkin telah melalui beberapa kejadian banjir dan pengalaman ini mendorong mereka untuk beradaptasi dan mencari cara untuk melindungi diri dan ahli keluarga mereka pada masa hadapan. Masyarakat sekeliling juga boleh memainkan peranan dalam membantu permasalahan ini seperti melibatkan diri dalam aktiviti kemanusiaan dan bantuan kepada mereka yang terjejas selepas bencana.
Kepentingan Persediaan
Persediaan merupakan kunci dalam menghadapi bencana banjir. Hal ini termasuklah langkah seperti membentuk kumpulan sukarelawan, menyediakan pelan pemindahan dan meningkatkan kesedaran mengenai cara bertindak dalam situasi kecemasan.
Masyarakat juga harus berpeluang mengambil bahagian dalam latihan berkaitan dengan bencana untuk memastikan mereka bersedia apabila banjir melanda. Pendidikan awam mengenai kepentingan menyimpan bekalan penting seperti makanan, air dan kemudahan perubatan juga dapat membantu masyarakat untuk lebih bersiap sedia.
Pelibatan orang muda dalam program kesedaran banjir juga dilihat mampu membantu masyarakat dalam menghadapi bencana banjir. Mereka boleh menjadi duta perubahan dalam masyarakat, menyebarkan maklumat kepada rakan dan keluarga serta menyertai aktiviti pembersihan setelah banjir untuk membersihkan kawasan yang terjejas. Melalui inisiatif ini, mereka mampu membangunkan rasa tanggungjawab sosial dan menjaga alam sekitar.
Sistem peringatan awal menjadi alat penting yang boleh membantu menyelamatkan nyawa. Di Malaysia, Jabatan Meteorologi dan Jabatan Pengairan dan Saliran memainkan peranan yang penting dalam pengurusan banjir. Melalui ramalan cuaca yang tepat, penilaian risiko, pengurusan sumber air dan pelaksanaan pelan tindakan, masyarakat akan lebih bersedia dan dapat mengatasi cabaran yang timbul akibat banjir. Kerjasama antara kedua-dua jabatan ini juga dapat meminimumkan kesan bencana banjir ke atas masyarakat.
Pengemaskinian maklumat terkini mengenai cuaca dilihat amat membantu masyarakat dalam mengambil tindakan segera sebelum keadaan menjadi kritikal. Peningkatan penyelidikan dan teknologi dalam membangunkan sistem ramalan yang lebih tepat juga dapat membantu masyarakat lebih bersedia untuk menghadapi banjir yang akan datang.
Pada masa yang sama, kerjasama antara agensi kerajaan, pakar meteorologi dan organisasi bukan kerajaan dalam menyediakan maklumat yang tepat dan responsif adalah penting. Sebagai contoh, penggunaan aplikasi seperti MyCuaca dan Public Infobanjir menjadi pendekatan yang sesuai dan amat berkesan dalam situasi ini.
Sistem amaran yang baik juga memerlukan latihan dan penyebaran maklumat agar penduduk mengetahui kaedah untuk bertindak apabila mereka menerima amaran. Masyarakat juga perlu diberikan pendedahan tentang cara untuk memahami amaran dan mengatur pelan pemindahan mereka sendiri. Melibatkan semua lapisan masyarakat dalam proses ini juga akan meningkatkan keberkesanan sistem peringatan yang dibangunkan.
Kesedaran dan Didikan Awam
Program pendidikan yang menyasarkan komuniti setempat perlu diadakan bagi menjelaskan punca banjir, cara pengurusan risiko dan cara untuk bertindak dalam situasi kecemasan. Pengetahuan ini merupakan pelaburan berharga untuk masa hadapan bagi komuniti yang berisiko menghadapi banjir.
Sekolah juga boleh memainkan peranan penting dalam mendidik generasi muda tentang isu ini. Pendidikan mengenai bencana dalam kurikulum pembelajaran membolehkan pelajar dapat memahami lebih baik tentang kesan perubahan iklim dan langkah penting yang boleh diambil untuk melindungi diri dan masyarakat. Pemahaman yang mendalam mengenai hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kesedaran dan membina kerjasama antara penduduk.
Kesimpulannya, banjir ialah fenomena yang tidak boleh diabaikan dan pasti akan kembali lagi. Masyarakat perlu bersedia untuk menghadapi kemungkinan ini dengan langkah persediaan yang betul. Tindakan seperti memahami punca dan kesan banjir, mempunyai kesedaran, mempunyai pelan tindakan dan menggunakan teknologi dengan bijak akan membolehkan impak banjir dikurangkan dan diri serta komuniti dapat dilindungi.
Persediaan untuk banjir bukanlah tanggungjawab satu pihak semata-mata, malah memerlukan kerjasama dari semua lapisan masyarakat. Usaha kolektif ini juga akan membina masyarakat yang lebih berdaya tahan dan meningkatkan tahap kesediaan komuniti dalam menghadapi bencana banjir.
Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib,
Pensyarah Kanan,
Jabatan Geografi dan Alam Sekitar,
Fakulti Sains Kemanusiaan,
Universiti Pendidikan Sultan Idris.