Diterbitkan pada 25 Mac 2025, 13:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pada setiap 22 Mac, masyarakat dari seluruh pelosok dunia akan menyambut Hari Air Sedunia, sebuah inisiatif tahunan yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan air dalam kehidupan seharian manusia serta menekankan keperluan mendesak untuk melindungi, memulihara dan menguruskan sumber air secara mampan dan berterusan. Sambutan ini juga menjadi platform untuk mengetengahkan isu berkaitan dengan krisis air global, hak akses kepada air bersih serta keadilan dalam pengagihan sumber air.

Pada tahun 2025, PBB telah memilih tema “Glasier Penting: Melindungi Sumber Air Bekalan Kita” yang membawa mesej amat signifikan dalam konteks perubahan iklim dan kelestarian alam sekitar. Tema ini mendesak perhatian dunia terhadap peranan kritikal glasier sebagai takungan semula jadi air tawar yang menyumbang kepada keseimbangan sistem hidrologi dan ekologi global. Glasier bukan sahaja penting sebagai sumber utama air bagi jutaan penduduk di pelbagai benua, malah memainkan peranan dalam penstabilan suhu bumi, pengaliran sungai serta kitaran air yang menyokong kehidupan di muka bumi.

Kepentingan Glasier

Glasier ialah jisim ais semula jadi yang terbentuk hasil daripada penimbunan dan pemampatan salji secara berterusan selama beribu-ribu tahun. Glasier juga biasanya ditemukan di kawasan pergunungan tinggi dan zon kutub yang mempunyai suhu rendah sepanjang tahun.

Proses pembentukannya amat perlahan, namun mendapannya menghasilkan lapisan ais yang sangat tebal dan padat. Disebabkan oleh daya graviti, glasier akan bergerak perlahan menuruni cerun dan dalam pergerakannya itu, serpihan batu, tanah dan mineral yang membentuk landskap bumi turut dibawa bersama.

Apabila suhu persekitaran meningkat, glasier mula mencair dan menghasilkan aliran air yang penting dalam sistem hidrologi dunia. Air ini akan mengalir ke sungai, tasik dan kawasan tadahan yang menjadi sumber utama kepada keperluan manusia, pertanian, industri dan ekosistem semula jadi.

Orang ramai mungkin tidak menyedari bahawa lebih 68 peratus daripada jumlah air tawar dunia tersimpan dalam bentuk ais, salji dan sebahagian besarnya wujud dalam bentuk glasier. Oleh itu, glasier berfungsi sebagai “takungan gergasi” air tawar semula jadi yang sangat penting.

Ketika musim kering, cairan glasier membantu menstabilkan aliran sungai yang menjadi nadi kehidupan berjuta-juta penduduk dunia. Hal ini amat ketara bagi komuniti yang tinggal di kawasan hilir sungai besar seperti Sungai Ganges di India, Sungai Yangtze di China dan Sungai Mekong yang merentasi beberapa negara Asia Tenggara. Tanpa bekalan air berterusan daripada glasier, kegiatan harian dan ekonomi seperti pertanian, penternakan serta bekalan air minuman akan terjejas secara langsung.

Ancaman Pencairan Glasier

Namun begitu, cabaran besar yang sedang dihadapi kini ialah pencairan glasier yang terlalu cepat akibat pemanasan global. Suhu purata dunia yang semakin meningkat telah mempercepat kadar kehilangan ais.

Laporan daripada PBB menunjukkan bahawa glasier di seluruh dunia kini kehilangan beratus gigatan air pada setiap tahun. Angka ini amat membimbangkan dan menunjukkan kemerosotan sistem semula jadi yang dahulunya stabil.

Fenomena ini tidak berlaku secara terpencil. Keadaan ini berkait rapat dengan beberapa kesan besar terhadap alam sekitar dan kehidupan manusia. Antaranya termasuklah kenaikan paras laut yang mengancam kewujudan negara pulau dan kawasan pantai rendah.

Selain itu, apabila glasier kehilangan isi padu secara mendadak, kekurangan bekalan air semasa musim kemarau akan berlaku kerana glasier tidak lagi mampu membekalkan aliran air berterusan kepada sungai dan kawasan tadahan. Pencairan mendadak ini juga boleh menyebabkan bencana alam seperti banjir kilat akibat pelepasan besar-besaran air cair daripada glasier yang dikenali sebagai redakan glasier (glacier burst) serta meningkatkan risiko tanah runtuh dan ketidaktentuan bentuk muka bumi di kawasan pergunungan tinggi, sekali gus mengancam keselamatan komuniti berhampiran.

Peranan Warga Dunia

Malaysia tidak mempunyai glasier kerana negara ini terletak di kawasan tropika. Namun begitu, negara ini tetap terkesan oleh fenomena pencairan glasier global. Selain itu, cuaca ekstrem seperti kemarau berpanjangan dan hujan lebat luar biasa turut berlaku akibat ketidakseimbangan iklim global yang berkait rapat dengan perubahan di kawasan kutub dan pergunungan tinggi. Kesan ini boleh mengganggu pertanian dan bekalan air, terutamanya semasa musim kering apabila sumber air semakin terhad.

Walaupun Malaysia tidak mempunyai glasier, kita masih memikul tanggungjawab bersama untuk melindungi ekosistem global. Tindakan mesti dilaksanakan pada semua peringkat antarabangsa, nasional dan individu bagi mengurangkan kesan perubahan iklim dan menyelamatkan glasier sebagai sumber air utama.

Dalam era digital ini, platform media sosial juga boleh dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyebarkan maklumat dan mesej berkaitan pentingnya menjaga glasier dan sumber air dengan pendekatan yang kreatif, berimpak dan mudah difahami masyarakat umum. Pada peringkat global pula, kerjasama antara negara amat diperlukan, terutamanya bagi negara yang berkongsi sistem glasier seperti di kawasan pergunungan Himalaya, Andes dan Alps. Mereka perlu mengadakan perjanjian pengurusan bersama sumber air merentas sempadan kerana air ialah sumber kehidupan yang tidak mengenal sempadan politik. Pendekatan kolaboratif ini bukan sahaja penting bagi kelestarian alam sekitar, malah bagi menjamin keamanan dan kesejahteraan sejagat.

Secara tidak langsung, tema Hari Air Sedunia 2025 turut menyentuh aspek keamanan dan kestabilan dunia. Apabila sumber air menjadi semakin terhad, persaingan antara komuniti atau negara boleh tercetus. Oleh itu, pengurusan sumber air, termasuklah glasier secara adil dan lestari amat penting bagi mengelakkan konflik serta memperkukuh perpaduan global.

Hari Air Sedunia 2025 juga menyeru orang ramai untuk menyedari bahawa selain menjadi ais beku di pergunungan, glasier ialah nadi kehidupan berjuta-juta manusia. Pencairan glasier bukan sahaja mengancam bekalan air, malah kestabilan iklim dan keamanan sejagat. Sebagai rakyat Malaysia dan warga dunia, kita perlu memainkan peranan dalam usaha ini dengan mendidik diri dan generasi muda untuk mengurangkan jejak karbon serta menyokong dasar yang menjaga alam sekitar. Melalui usaha kesedaran, tindakan dan kerjasama yang berterusan, kita masih mampu menyelamatkan sumber air dunia, termasuklah yang tersembunyi dalam glasier demi masa hadapan yang lebih lestari untuk semua.

 

Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib
Pensyarah Kanan,
Jabatan Geografi dan Alam Sekitar,
Fakulti Sains Kemanusiaan,
Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi