Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMalaysia ialah sebuah negara yang terletak di zon tropika dan sememangnya terdedah kepada pelbagai cabaran akibat bencana alam. Menurut data yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, bencana alam yang paling kerap melanda negara ini ialah banjir, tanah runtuh, ribut dan kemarau yang kebanyakannya berpunca daripada perubahan cuaca ekstrem. Kesan perubahan iklim global kini semakin ketara dengan peningkatan suhu dan corak hujan yang tidak menentu, lantas memberikan impak yang besar kepada kehidupan masyarakat secara keseluruhannya.
Perlu difahami bahawa bencana alam bukanlah sekadar suatu peristiwa yang datang dan berlalu begitu sahaja. Bencana memberikan kesan yang mendalam dan berpanjangan terhadap pelbagai aspek kehidupan. Antara impak yang paling ketara termasuklah kehilangan tempat tinggal, kerosakan infrastruktur, kehilangan sumber pendapatan serta ancaman terhadap keselamatan dan kesihatan awam. Lebih membimbangkan, kesan psikologi yang dialami akibat kehilangan harta benda dan ahli keluarga tersayang turut meninggalkan trauma berkepanjangan dalam kalangan mangsa bencana.
Sejak kebelakangan ini, semakin kerap berita tentang kediaman yang ditenggelami air, jalan raya yang runtuh dan komuniti yang terputus hubungan akibat bencana alam dihidangkan dalam pelbagai bentuk media di negara ini? Persoalannya, sejauh manakah rakyat di negara ini benar-benar mengambil serius akan fenomena ini? Adakah sekadar menjadi pemerhati pasif yang menonton berita dan bersimpati tanpa mengambil langkah proaktif untuk melindungi diri dan keluarga? Adakah mangsa bencana terlalu bergantung pada pihak berkuasa untuk menyelesaikan segala permasalahan tanpa usaha persediaan daripada diri sendiri?
Punca dan Implikasi Bencana
Menurut laporan penilaian perubahan iklim yang diterbitkan oleh Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC), sebuah organisasi yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO), fenomena cuaca ekstrem semakin meningkat dengan ketara. Negara sedang membangun didapati lebih terdedah terhadap impak negatif perubahan ini berbanding dengan negara maju.
Pemanasan global yang berpunca daripada peningkatan gas rumah hijau telah mengakibatkan fenomena cuaca yang semakin ekstrem. Kenaikan suhu global secara berterusan bukan sahaja mengubah pola hujan, malah turut meningkatkan kekerapan dan intensiti hujan ekstrem. Keadaan ini menyebabkan musim tengkujuh yang membawa hujan yang lebih lebat, lantas mengakibatkan banjir yang lebih teruk. Musim kering pula menjadi semakin kering dan seterusnya mencetuskan kemarau yang berpanjangan.
Sebagai sebuah negara yang terletak di garisan khatulistiwa, Malaysia tidak terkecuali daripada menghadapi kesan perubahan iklim global ini. Banjir monsun dan kilat kini semakin kerap berlaku, terutamanya di kawasan bandar yang berhadapan dengan masalah sistem saliran yang tidak mencukupi untuk menampung jumlah hujan lebat. Keadaan ini diburukkan lagi dengan kurangnya pembersihan dan penyelenggaraan yang menyebabkan saliran sering tersumbat dengan sampah sarap.
Kawasan berbukit pula semakin terdedah kepada risiko tanah runtuh akibat penebangan hutan yang tidak terkawal serta pembangunan di kawasan cerun yang tidak memenuhi piawaian keselamatan. Selain itu, peningkatan suhu turut memberikan kesan yang signifikan kepada ekosistem, termasuklah sumber air dan sektor pertanian yang semakin sukar menyesuaikan diri dengan perubahan cuaca yang drastik.
Mengapakah isu ini begitu penting dan tidak boleh dipandang remeh? Hal ini dikatakan demikian kerana bencana alam bukanlah fenomena yang berlaku secara tiba-tiba. Kejadian bencana boleh memberikan implikasi yang besar dan berpanjangan terhadap kehidupan seharian masyarakat. Kehilangan tempat tinggal akibat banjir, kerosakan harta benda dan sumber pendapatan yang terjejas boleh menyebabkan masalah sosial dan ekonomi yang serius.
Selain itu, ancaman terhadap keselamatan dan kesihatan awam juga semakin meningkat dengan risiko penyakit bawaan air selepas banjir, peningkatan kes strok haba akibat suhu tinggi dan kesan psikologi seperti tekanan dan trauma yang dialami oleh mangsa bencana. Oleh itu, memahami dan mengakui realiti perubahan iklim serta mengambil langkah berjaga-jaga adalah perkara yang amat penting bagi memastikan kelangsungan hidup yang lebih selamat dan sejahtera untuk generasi masa kini dan akan datang.
Adakah Kita Bersedia Menghadapi Bencana?
Realitinya, banyak dalam kalangan masyarakat Malaysia masih kurang kesedaran tentang kepentingan persediaan menghadapi bencana. Jika ditanya, “Apakah langkah yang anda akan ambil jika kawasan rumah anda tiba-tiba dinaiki air?”, kebanyakan daripada kita mungkin menjawab secara ringkas, “Saya akan lari ke tempat selamat.”
Namun begitu, persoalan yang lebih mendalam perlu dipertimbangkan seperti adakah mangsa bencana mengetahui lokasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang terdekat? Bagaimanakah mangsa boleh bertindak dengan cepat dan efisien dalam situasi kecemasan? Adakah mangsa memahami protokol yang perlu dipatuhi sebelum, semasa dan selepas sesuatu bencana berlaku? Yang terakhir, adakah mangsa hanya akan panik tanpa hala tuju yang jelas apabila berhadapan dengan situasi tersebut?
Kesedaran mengenai kepentingan persediaan menghadapi bencana masih berada pada tahap yang rendah dalam kalangan masyarakat di negara ini. Banyak yang menganggap bencana alam sebagai sesuatu yang jarang-jarang berlaku dan hanya menimpa orang lain, bukan diri sendiri.
Walau bagaimanapun, kajian saintifik telah membuktikan bahawa tiada lokasi yang benar-benar bebas daripada risiko bencana. Banjir kilat boleh berlaku dalam sekelip mata, tanah runtuh boleh meranapkan kediaman dalam beberapa saat sahaja dan ribut yang tidak dijangka boleh menyebabkan kemusnahan yang dahsyat. Oleh itu, adalah amat penting untuk setiap individu memahami dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Di negara maju seperti Jepun, persediaan untuk menghadapi bencana sudah menjadi budaya yang dipupuk sejak kecil. Kanak-kanak dilatih untuk bertindak balas dengan pantas ketika berlaku gempa bumi atau tsunami. Mereka diajar dengan teliti cara untuk berlindung dengan betul, lokasi mereka harus pergi untuk mendapatkan perlindungan dan kaedah untuk menolong orang lain dalam situasi kecemasan. Selain itu, masyarakat di Jepun turut aktif melibatkan diri dalam latihan simulasi bencana secara berkala, sekali gus menjadikan mereka lebih bersedia dan cekap ketika berhadapan dengan krisis sebenar.
Malangnya, di Malaysia, budaya kesiapsiagaan bencana masih belum cukup kukuh. Sebagai contoh, orang ramai sering menganggap bunyi siren amaran kebakaran hanyalah disebabkan oleh masalah teknikal atau penyelenggaraan rutin, lalu tiada tindakan diambil. Masyarakat juga masih terlalu bergantung pada pihak berkuasa dan bantuan luar apabila bencana melanda. Kebiasaannya, tindakan hanya diambil selepas bencana berlaku, sedangkan langkah pencegahan dan persediaan awal boleh mengurangkan impak negatif dengan ketara dan mempercepat proses pemulihan selepas bencana
Oleh itu, sudah tiba masanya untuk orang ramai mengubah mentaliti dan mengambil pendekatan yang lebih proaktif dalam menghadapi cabaran bencana alam. Kesedaran yang tinggi, pengetahuan yang mencukupi dan tindakan persediaan yang diambil lebih awal boleh menjadi perbezaan yang signifikan antara keselamatan dengan kehilangan nyawa.
Peranan Komuniti dalam Menghadapi Bencana
Berdasarkan kajian yang dilakukan dalam beberapa komuniti yang sering terkesan oleh bencana di Malaysia, faktor sosial seperti norma masyarakat dan kesedaran kolektif memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan tahap persediaan sesebuah kawasan. Di kawasan yang mempunyai komuniti yang aktif melibatkan diri dalam program keselamatan dan kesedaran bencana, tahap kesiapsiagaan mereka didapati jauh lebih baik berbanding dengan kawasan yang hanya bergantung pada bantuan kerajaan semata-mata.
Sebagai contohnya, di beberapa kampung di pantai timur yang sering dilanda banjir, penduduk tempatan telah mengambil inisiatif untuk membentuk kumpulan sokongan yang berfungsi secara efektif. Selain bertanggungjawab dalam memberkan amaran awal kepada penduduk, kumpulan ini turut menguruskan proses pemindahan dan penyelamatan dengan cekap dan teratur. Mereka telah menjalankan pemantauan secara sistematik dengan mengenal pasti rumah yang berada pada tahap risiko tinggi, menyediakan laluan keluar yang lebih selamat untuk penduduk dan sentiasa mengumpulkan sumber asas yang diperlukan seperti makanan serta bekalan air bersih sebelum bencana melanda.
Persediaan Menghadapi Bencana
Bencana bukanlah sesuatu yang boleh dikawal sepenuhnya, namun orang ramai boleh mengurangkan impaknya dengan membuat persediaan yang rapi dan terancang. Langkah pertama yang perlu diambil ialah mengenali risiko di kawasan tempat tinggal secara menyeluruh. Komuniti setempat harus memahami sejarah bencana di kawasan tersebut dan mengetahui lokasi pusat pemindahan terdekat agar tindakan dapat diambil dengan lebih pantas dan teratur sekiranya berlaku bencana. Maklumat sebegini boleh diperoleh daripada pihak berkuasa tempatan atau melalui penduduk yang telah lama menetap di kawasan berkenaan.
Selain itu, menyediakan pelan kecemasan untuk keluarga adalah langkah penting yang tidak boleh diabaikan. Setiap ahli keluarga perlu mengetahui laluan keluar yang paling selamat dan tempat yang mereka harus berkumpul jika berlaku kecemasan. Pelan ini boleh membantu mengelakkan kekeliruan dan memastikan keselamatan semua ahli keluarga terjamin ketika situasi kritikal.
Persediaan awal amat penting dalam menghadapi sebarang kemungkinan, terutamanya bencana luar jangka. Satu daripada langkah utama ialah menyimpan keperluan asas dengan mencukupi. Namun begitu, sejauh manakah rakyat Malaysia benar-benar bersedia? Berapa ramaikah yang memiliki kit kecemasan, sama ada di rumah atau di dalam kenderaan?
Kit kecemasan yang komprehensif seharusnya mengandungi makanan tahan lama, air minuman yang mencukupi, ubat-ubatan asas, lampu suluh dengan bateri tambahan serta dokumen penting yang disimpan di dalam bekas kalis air. Persediaan ini dapat memastikan mangsa yang terkesan dengan bencana mempunyai bekalan yang mencukupi untuk bertahan sementara menunggu bantuan tiba sekiranya berlaku kecemasan yang berpanjangan.
Selain persediaan pada peringkat individu dan keluarga, pelibatan dalam program kesedaran bencana pada peringkat komuniti juga amat digalakkan. Menyertai latihan kecemasan yang dianjurkan oleh pihak berkuasa atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat membekalkan orang ramai dengan kemahiran penting untuk bertindak pantas dan tepat dalam situasi kritikal. Latihan sebegini bukan sahaja memberikan manfaat kepada diri sendiri, malah membolehkan mangsa bencana membantu orang lain sewaktu kecemasan berlaku.
Teknologi turut memainkan peranan besar dalam meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana. Dengan memuat turun aplikasi amaran bencana dan mengikuti saluran rasmi seperti Jabatan Meteorologi Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di media sosial, orang ramai boleh memperoleh maklumat terkini dengan lebih cepat dan tepat. Akses kepada maklumat yang sahih pada masa yang kritikal membolehkan mangsa bencana mengambil langkah lebih awal bagi mengurangkan risiko terhadap diri dan keluarga.
Peranan Kerajaan dan Institusi dalam Pengurusan Bencana
Walaupun persediaan individu dan komuniti sangat penting, kerajaan memainkan peranan utama dalam memastikan negara ini lebih bersedia menghadapi bencana. Selain memberikan bantuan selepas bencana berlaku, kerajaan perlu memastikan langkah pencegahan dan persediaan yang efektif dilaksanakan bagi mengurangkan risiko yang dihadapi oleh rakyat. Hal ini termasuklah merangka dasar yang lebih holistik dalam perancangan bandar yang lestari, menambah baik sistem saliran dan tebatan banjir serta memantau kawasan berisiko tinggi bagi mengelakkan kejadian seperti tanah runtuh dan hakisan pantai yang semakin kerap berlaku.
Selain itu, kerajaan juga perlu memberikan penekanan kepada pemuliharaan kawasan tadahan air, hutan simpan dan kawasan hijau sebagai langkah mitigasi terhadap perubahan iklim yang semakin memberikan kesan besar kepada negara. Pembangunan yang pesat harus diseimbangkan dengan keperluan alam sekitar bagi memastikan kestabilan ekosistem serta mengurangkan impak bencana yang semakin meningkat. Pada masa yang sama, kerajaan harus memastikan pelaburan dalam infrastruktur rentan bencana diperluaskan, termasuklah membina bangunan yang lebih kukuh, membangunkan sistem perparitan yang lebih efisien dan memperkukuh jaringan komunikasi serta tenaga bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan asas semasa krisis.
Program pendidikan bencana juga perlu diperluaskan dan dijadikan sebagai sebahagian daripada kurikulum sekolah, terutamanya dalam mata pelajaran Geografi agar generasi muda lebih peka terhadap ancaman bencana alam. Pendidikan awal mengenai bencana boleh membantu masyarakat memahami tindakan yang perlu diambil sebelum, semasa dan selepas sesuatu bencana berlaku, sekali gus mengurangkan kesan buruk terhadap kehidupan mereka. Latihan kecemasan yang berterusan dan kempen kesedaran juga perlu diperbanyakkan bagi memastikan semua lapisan masyarakat mempunyai pengetahuan yang mencukupi dalam menghadapi bencana.
Kerjasama antara kerajaan, NGO dan masyarakat merupakan kunci utama dalam membina daya tahan terhadap bencana. Contohnya, Persatuan Geografi Malaysia (GeogMalaysia) dan Persatuan Pemantauan Air Pulau Pinang atau Water Watch Penang (WWP) telah mengadakan pelbagai program kesedaran dan cintai alam. Kerajaan juga perlu mewujudkan platform kolaborasi yang lebih berkesan dengan NGO serta pihak swasta dalam usaha meningkatkan keberkesanan respons bencana.
Langkah seperti membina sistem amaran awal yang lebih cekap, memperkukuh latihan dan simulasi bencana secara berkala, serta memperluaskan program bantuan kecemasan harus dipercepatkan. Selain itu, insentif kepada individu dan syarikat yang mengambil langkah mitigasi seperti insurans bencana, pembinaan rumah tahan banjir serta pemasangan sistem amaran awal juga boleh dipertimbangkan sebagai langkah untuk meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat secara menyeluruh.
Akhir sekali, peranan kerajaan bukan sahaja untuk bertindak balas selepas sesuatu bencana berlaku tetapi juga memastikan rakyat lebih bersedia dan mampu bertindak secara proaktif dalam menghadapi sebarang kemungkinan. Dengan usaha yang bersepadu antara kerajaan, institusi berkaitan dengan masyarakat, Malaysia boleh menjadi sebuah negara yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi cabaran bencana pada masa hadapan.
Membangunkan Daya Tahan Menghadapi Bencana
Bencana bukanlah sesuatu yang boleh dielakkan sepenuhnya, namun orang ramai boleh meningkatkan keupayaan untuk menghadapinya dengan lebih berkesan. Kesedaran dan tindakan awal memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko serta memastikan keselamatan diri, keluarga dan komuniti. Jangan hanya bergantung pada pihak berkuasa untuk bertindak. Setiap individu perlu mengambil inisiatif dalam membangunkan daya tahan diri.
Komuniti setempat merupakan barisan hadapan yang paling awal dan paling hampir untuk bertindak apabila bencana berlaku. Oleh itu, pendekatan berasaskan komuniti dalam pengurusan bencana amat penting kerana usaha ini menggalakkan peranan aktif penduduk dalam mengenal pasti risiko, membuat persediaan serta melaksanakan tindakan awal yang dapat menyelamatkan nyawa dan harta benda.
Orang ramai perlu menyedari bahawa persediaan bukanlah sesuatu yang boleh ditangguhkan. Apabila bencana melanda, setiap saat amat berharga dan boleh menjadi penentu antara hidup dan mati. Maka itu, membudayakan kesiapsiagaan dalam kalangan komuniti merupakan langkah terbaik ke arah mengubah komuniti yang rentan menjadi komuniti yang lebih berdaya tahan.
Langkah pencegahan seperti mengenali kawasan berisiko, menyimpan keperluan asas serta memahami tindakan kecemasan perlu dijadikan amalan dalam kehidupan seharian. Kesedaran mengenai kepentingan kesiapsiagaan perlu diterapkan dalam keluarga, komuniti dan institusi pendidikan agar menjadi budaya yang diamalkan oleh semua lapisan masyarakat. Selain itu, sokongan dan kerjasama antara masyarakat, badan bukan kerajaan serta pihak berkuasa juga harus diperkukuhkan supaya setiap lapisan masyarakat lebih bersedia dan cekap dalam menghadapi sebarang bentuk bencana.
Orang ramai boleh melihat kaedah negara yang mempunyai budaya kesiapsiagaan yang tinggi mampu mengurangkan kesan buruk bencana dengan lebih efektif. Malaysia juga perlu bergerak ke arah yang sama dengan memperkukuh perancangan bencana, meningkatkan pelaburan dalam infrastruktur rentan bencana serta memperluaskan program kesedaran pada semua peringkat masyarakat.
Dengan adanya usaha yang berterusan, orang ramai bukan sahaja dapat melindungi diri sendiri, malah menyelamatkan lebih banyak nyawa dan harta benda daripada kemusnahan yang tidak sepatutnya berlaku. Jangan tunggu sehingga air naik ke paras pinggang baru mahu mencari jalan keluar. Jangan tunggu sehingga tanah runtuh baru mahu bertindak. Persediaan pada hari ini adalah jaminan keselamatan untuk masa hadapan. Pilih untuk bersedia, bukan untuk menyesal.
Penghargaan
Penulis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia atas sokongan yang diberikan melalui pembiayaan Skim Geran Penyelidikan Transdisiplinari (TRGS), Kod Projek: TRGS/1/2022/USM/02/3/2.
Penulis
Siti Rahyla Rahmat
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan,
Universiti Sains Malaysia.
Nik Norliati Fitri Md Nor
Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh,
Universiti Sains Malaysia.
Tan Mou Leong
Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan,
Universiti Sains Malaysia,
Presiden, Persatuan Geografi Malaysia (GeogMalaysia).