Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBanjir merupakan antara bencana alam yang paling kerap berlaku di Malaysia, terutama pada musim tengkujuh yang melanda kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia dan beberapa bahagian lain di negara ini. Fenomena ini bukan sahaja mengakibatkan kerugian harta benda dan gangguan kepada aktiviti harian, malah mendatangkan kesan serius kepada golongan rentan seperti warga emas.
Kelemahan fizikal, kebergantungan kepada pihak lain serta kekangan dalam aspek mobiliti menjadikan mereka lebih terdedah kepada risiko kecederaan, penyakit dan trauma semasa menghadapi banjir. Oleh itu, kesiapsiagaan bencana yang efektif amat penting untuk melindungi warga emas daripada kesan buruk akibat banjir. Dalam konteks ini, pelbagai usaha perlu dilaksanakan oleh kerajaan, komuniti dan keluarga untuk memastikan keselamatan serta kesejahteraan warga emas semasa bencana berlaku.
Cabaran Warga Emas Semasa Banjir
Warga emas sering menghadapi pelbagai cabaran ketika berhadapan dengan banjir. Faktor usia yang lanjut menyebabkan mereka lebih terdedah kepada masalah kesihatan seperti penyakit kronik, termasuklah diabetes, hipertensi dan penyakit jantung serta keuzuran fizikal yang mengakibatkan keterbatasan pergerakan, kelemahan otot dan kesukaran untuk melakukan aktiviti harian. Selain itu, banyak warga emas tidak dapat bergerak dengan pantas apabila berlaku kecemasan, terutamanya jika mereka tinggal bersendirian atau di kawasan yang terpencil. Dalam kebanyakan situasi, kebergantungan kepada bantuan pihak lain menambahkan lagi cabaran untuk memastikan mereka dapat dipindahkan ke tempat yang selamat.
Dari aspek mental dan emosi pula, banjir boleh menyebabkan tekanan yang besar kepada warga emas. Mereka mungkin berasa takut, cemas atau kehilangan harapan akibat kehilangan tempat tinggal, harta benda atau kenangan yang bermakna. Tekanan ini boleh memberikan kesan negatif kepada kesejahteraan mereka. Selain itu, kekurangan infrastruktur yang mesra warga emas di pusat pemindahan sementara seperti tempat tidur yang tidak sesuai atau kekurangan kemudahan asas juga menjadi cabaran utama yang perlu diatasi.
Usaha Kerajaan dalam Kesiapsiagaan Menghadapi Banjir
Kerajaan Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif melalui agensi yang berkaitan bagi memastikan kesiapsiagaan dalam menghadapi banjir, terutamanya untuk melindungi golongan rentan seperti warga emas. Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia bertanggungjawab menyediakan sistem amaran awal bagi memberikan maklumat mengenai risiko banjir kepada masyarakat. Sistem ini membolehkan warga emas dan keluarga mereka membuat persediaan seperti memindahkan barang penting serta berpindah ke lokasi yang lebih selamat.
Selain itu, anggota beruniform turut memainkan peranan signifikan seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang terlibat dalam operasi menyelamat, terutamanya bagi warga emas yang menghadapi kesukaran bergerak. APM juga menyelaras pengangkutan dan menyediakan penempatan sementara bagi mangsa banjir.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula bertanggungjawab memastikan keselamatan kawasan terjejas dengan mengawal aliran trafik, menyelaraskan pemindahan mangsa ke pusat pemindahan serta menghalang aktiviti jenayah. Pada masa yang sama, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberikan fokus kepada penyelamatan di kawasan berisiko tinggi serta membantu membersihkan kawasan kediaman selepas banjir bagi memastikan persekitaran selamat untuk didiami semula. Pasukan RELA pula membantu menjaga keselamatan di pusat pemindahan, melancarkan operasi logistik dan mengagihkan makanan serta keperluan asas kepada mangsa banjir.
Di samping itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memainkan peranan utama dalam menjaga kebajikan warga emas sepanjang tempoh bencana. JKM menyediakan bantuan segera berupa makanan, pakaian dan peralatan asas di pusat pemindahan. Bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal, JKM memastikan perlindungan serta bantuan yang diperlukan untuk meneruskan kehidupan selepas banjir.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan perhatian terhadap keperluan kesihatan warga emas sebelum, semasa dan selepas banjir. Pasukan perubatan KKM memberikan rawatan kecemasan, memantau penyebaran penyakit serta memastikan bekalan ubat-ubatan bagi pesakit kronik mencukupi. Langkah ini penting bagi mengelakkan komplikasi kesihatan yang boleh menjejaskan keadaan mereka di pusat pemindahan atau kawasan terjejas. Kerjasama erat dan usaha daripada pelbagai agensi ini memastikan keperluan keselamatan, kesihatan dan kebajikan warga emas diberi perhatian sepenuhnya.
Peranan Komuniti dalam Menyokong Warga Emas
Komuniti memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga emas sepanjang bencana banjir. Langkah awal yang boleh diambil oleh komuniti adalah dengan menubuhkan kumpulan sokongan untuk mengenal pasti warga emas yang tinggal bersendirian atau memerlukan bantuan khas. Maklumat yang dikumpulkan ini penting bagi memastikan tiada warga emas terlepas pandang dalam situasi kecemasan.
Di samping itu, komuniti boleh menganjurkan bengkel atau sesi latihan simulasi yang memfokuskan kepada persiapan menghadapi banjir. Latihan seperti pemindahan kecemasan dan penggunaan alat keselamatan dapat membantu warga emas memahami tindakan yang sesuai untuk melindungi diri mereka.
Ketika banjir melanda, komuniti dapat memainkan peranan aktif dengan menyelaraskan pasukan sukarelawan untuk membantu memindahkan warga emas ke pusat pemindahan dengan selamat. Bantuan ini amat penting, terutamanya bagi mereka yang mempunyai keterbatasan pergerakan atau masalah kesihatan.
Di pusat pemindahan, komuniti boleh menyediakan sokongan khas kepada warga emas dengan memastikan mereka mendapat makanan yang sesuai dengan diet, akses kepada ubat-ubatan dan tempat tidur yang selesa. Interaksi sosial dan sokongan emosi daripada ahli komuniti juga amat diperlukan untuk mengurangkan tekanan yang mungkin dihadapi oleh warga emas.
Sukarelawan juga boleh menjadi teman berbual dan memberikan motivasi agar mereka tidak merasa kesunyian atau terpinggir. Tindakan ini bukan sahaja membantu kesejahteraan mental warga emas tetapi juga membina hubungan erat dalam komuniti.
Selepas banjir, komuniti dapat terlibat dalam usaha pemulihan melalui aktiviti gotong-royong membersihkan rumah warga emas dan kawasan sekeliling yang terjejas. Usaha ini bukan sahaja meringankan beban fizikal warga emas, malah memberikan sokongan moral yang sangat diperlukan selepas menghadapi bencana.
Komuniti juga boleh membantu warga emas dalam proses mendapatkan bantuan kewangan atau peralatan pemulihan melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan NGO. Sokongan ini penting untuk memastikan mereka dapat memulihkan kehidupan dengan cepat dan selesa.
Selain itu, sesi kaunseling pascabencana boleh dianjurkan bagi membantu warga emas pulih dari segi emosi dan mental. Dalam setiap fasa ini, peranan komuniti adalah amat signifikan kerana mencerminkan semangat kesatuan dan rasa tanggungjawab bersama terhadap golongan rentan seperti warga emas dalam menjamin kesejahteraan mereka ketika menghadapi cabaran banjir.
Peranan Keluarga dalam Menjamin Keselamatan Warga Emas
Sebagai individu yang paling dekat dengan warga emas, ahli keluarga memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga emas semasa menghadapi bencana banjir. Ahli keluarga bertanggungjawab untuk memahami keperluan khusus dan memberikan sokongan fizikal, emosi dan logistik kepada golongan ini.
Pertama, ahli keluarga perlu memastikan warga emas mendapat maklumat tepat dan terkini mengenai situasi banjir. Mereka boleh membantu menyampaikan amaran awal serta memberikan panduan langkah yang perlu diambil untuk bersiap sedia.
Contohnya, memastikan warga emas mengetahui lokasi pusat pemindahan terdekat dan keperluan yang perlu dibawa. Kedua, persiapan logistik amat penting. Ahli keluarga perlu menyediakan beg kecemasan untuk warga emas yang mengandungi barangan keperluan asas seperti ubat-ubatan, pakaian bersih, makanan segera, dokumen penting dan barang peribadi. Persediaan ini memastikan warga emas dapat dipindahkan dengan segera tanpa sebarang kesukaran.
Ketiga, dari aspek kesihatan, ahli keluarga perlu memantau tahap kesihatan warga emas sebelum dan selepas pemindahan. Warga emas yang menghidap penyakit kronik memerlukan perhatian khusus untuk memastikan bekalan ubat-ubatan mencukupi dan rawatan berkala diteruskan. Sekiranya warga emas memerlukan bantuan perubatan, ahli keluarga perlu segera mendapatkan sokongan daripada pihak berkuasa atau pasukan perubatan yang bertugas.
Selain itu, sokongan emosi juga tidak kurang pentingnya. Situasi banjir boleh menyebabkan tekanan dan kebimbangan kepada warga emas. Ahli keluarga perlu menunjukkan keprihatinan dengan memberikan sokongan moral, mendengar keluhan mereka dan memastikan mereka merasa dilindungi. Kehadiran ahli keluarga di sisi mereka boleh mengurangkan rasa takut atau kesunyian yang dialami. Ahli keluarga merupakan tonggak penting dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga emas semasa situasi banjir.
Kesimpulannya, banjir adalah cabaran besar yang perlu dihadapi oleh rakyat Malaysia, terutamanya bagi golongan warga emas yang lebih terdedah kepada risiko dan kesan buruk bencana ini. Melalui kesiapsiagaan yang tersusun dan sokongan bersepadu daripada pelbagai pihak, keselamatan serta kesejahteraan warga emas lebih terjamin. Langkah proaktif seperti penyediaan kemudahan mesra warga emas, latihan kesedaran dan pengukuhan rangkaian sokongan komuniti juga menjadi kunci utama untuk melindungi golongan ini.
Selain itu, usaha berterusan dalam meningkatkan infrastruktur dan memperbaik sistem pengurusan bencana mampu memberikan perlindungan yang lebih efektif. Kerjasama antara kerajaan dan komuniti dengan keluarga menjadi asas penting dalam memastikan warga emas tidak terpinggir ketika berhadapan dengan bencana. Sikap prihatin, komitmen tinggi dan rasa tanggungjawab bersama akan memastikan golongan ini dapat menghadapi situasi mencabar dengan lebih yakin, sekali gus mencerminkan semangat kemanusiaan dan perpaduan yang menjadi asas kepada masyarakat yang progresif dan inklusif.
Dr. Nik Norliati Fitri Md Nor ialah Pensyarah Kanan di Bahagian Geografi, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia.