5 Mei 2023, 10:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Memandu ketika cuti bermusim seperti musim perayaan melibatkan pelbagai emosi, misalnya keterujaan dan kegembiraan untuk tiba ke destinasi percutian atau bertemu dan berkumpul dengan ahli keluarga. Namun begitu, situasi ini juga boleh mengakibatkan tekanan, terutamanya apabila melibatkan kesesakan lalu lintas.

Kesesakan lalu lintas yang panjang ialah perkara biasa semasa cuti perayaan. Kesesakan lalu lintas juga boleh menjadi pengalaman yang mengecewakan bagi mana-mana pemandu kerana menyebabkan kelewatan, bahkan turut membahayakan diri jika tidak berhati-hati ketika memandu.

Oleh sebab itu, pemandu harus menyedari tentang potensi bahaya dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan mereka. Adalah penting bagi pemandu untuk sentiasa berwaspada dan mengekalkan tabiat pemanduan yang baik bagi meminimumkan risiko kemalangan.

Selain itu, pemandu juga harus berhati-hati dengan tingkah laku sendiri dan memastikan bahawa mereka tidak menjadi masalah kepada pengguna jalan raya yang lain dengan memandu secara agresif atau melulu.

Pada masa yang sama, pemandu juga perlu bertenang dan mengambil langkah berjaga-jaga yang diperlukan apabila terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Perkara yang paling penting untuk dilakukan ialah kekal selamat semasa memandu. Pemandu perlu mengetahui keadaan sekeliling dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan yang baik.

Di samping itu, pemandu juga perlu mengekalkan jarak yang selamat dengan kenderaan lain di jalan raya. Hal ini akan membantu mengurangkan risiko kemalangan atau perlanggaran semasa berada dalam kesesakan lalu lintas.

Pemandu juga harus mengetahui sebarang potensi bahaya atau halangan yang mungkin berlaku semasa terperangkap dalam lalu lintas seperti pembinaan jalan, serpihan atau objek lain yang menghalang jalan. Pemandu juga boleh bergerak di sekitar halangan ini atau mencari laluan alternatif.

Bersikap proaktif dan bertindak dengan bijak boleh membantu mengurangkan tekanan kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain serta berada dalam keadaan yang lebih selamat semasa terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Panduan Menangani Kesesakan Lalu Lintas

Perlahankan kenderaan

Apabila terdapat lebih banyak kenderaan daripada biasa di jalan raya, kenderaan akan bergerak dengan perlahan. Walaupun kita berkeinginan untuk memandu dengan lebih laju bagi mengelakkan kelewatan, namun tindakan ini boleh menyebabkan kemalangan. Teruskan perjalanan dengan berhati-hati kerana halangan boleh datang dari semua arah. Peka dengan situasi sekeliling bagi memastikan keselamatan diri masing-masing.

Pastikan tali pinggang keledar dipasang dengan betul walaupun terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang bergerak perlahan. Sekiranya berlaku kemalangan, tali pinggang keledar tersebut boleh membantu melindungi diri daripada mengalami kecederaan yang serius.

Elakkan menyelit di antara kenderaan lain

Elakkan menyelit masuk dan keluar di celah kenderaan lain, iaitu menukar lorong dengan pantas untuk mendahului deretan lalu lintas kerana situasi ini adalah sangat berbahaya. Pemandu lain tidak dapat meramalkan perkara yang kita akan lakukan, malah berkemungkinan juga mereka menukar lorong semasa kita menghampiri kenderaan mereka. Oleh itu, langkah yang paling selamat semasa terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ialah kekal di satu lorong melainkan perlu bergerak keluar daripada laluan.

Gunakan lampu isyarat kereta

Kadangkala, banyak pemandu yang tidak menggunakan isyarat di jalan raya. Apabila terdapat banyak pemandu lain di sekeliling, pemandu bertanggungjawab untuk memberitahu pengguna jalan raya lain perkara yang akan kita lakukan. Walaupun kita tidak sepatutnya keluar dan masuk lorong, tetapi kadang-kadang kita perlu melakukannya demi kelancaran perjalanan.

Memaklumkan perkara yang akan kita lakukan kepada orang ramai melalui isyarat seperti menggunakan lampu isyarat kereta bukan sahaja suatu tindakan yang selamat, malah memudahkan diri sendiri apabila ada pemandu lain yang membenarkan kita untuk memotong di hadapan kenderaan mereka.

Rancang perjalanan

Perancangan yang betul boleh mengelakkan pemandu daripada terpaksa berhadapan dengan kesesakan lalu lintas yang teruk. Antara perkara yang membawa kepada kesesakan lalu lintas termasuklah:

  1. Cuaca – Cuaca buruk seperti hujan lebat, ribut dan kabus.
  2. Pembinaan jalan raya – Kenal pasti kawasan pembinaan jalan raya supaya kita boleh mengelakkannya dan memastikan perjalanan lebih singkat dan menyeronokkan.
  3. Acara – Perayaan, perarakan, cuti panjang dan sebagainya boleh menyebabkan lalu lintas lebih sesak daripada biasa.
  4. Masa puncak – Rancang perjalanan di luar waktu puncak sama ada pada waktu pagi ataupun petang bagi membolehkan perjalanan ulang-alik yang lebih tenang.

Namun begitu, kesesakan lalu lintas ada kalanya boleh berlaku tanpa dijangka. Oleh itu, pengetahuan tentang laluan alternatif ke destinasi yang ingin dituju adalah sangat membantu.

Pastikan juga kenderaan berada dalam keadaan yang baik sebelum memulakan perjalanan jauh. Periksa fungsi brek, tayar dan paras bendalir. Sekiranya berlaku kerosakan, pemandu lebih mudah untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Hindari gangguan pemanduan

Walaupun kelihatan remeh, peringatan tentang kesalahan menghantar mesej semasa memandu perlu diingatkan berulang kali. Pemandu hendaklah sentiasa fokus di jalan raya pada setiap masa, terutamanya ketika berada dalam kesesakan lalu lintas.

Keadaan kenderaan yang bergerak lebih perlahan tidak menjadikan pemanduan itu kurang berbahaya. Bergerak dengan perlahan dan berhenti sepenuhnya merupakan satu perubahan besar dalam pemanduan.

Tindakan menghantar mesej semasa memandu akan mengalihkan pandangan kita daripada jalan selama lima saat. Dengan adanya kenderaan lain yang banyak di jalan raya, masa yang sedikit ini sudah mencukupi untuk menyebabkan kemalangan besar.

Elakkan menghantar mesej, menyemak e-mel atau menukar siaran radio apabila berada dalam kesesakan lalu lintas. Jika pemandu perlu menghantar mesej atau membuat panggilan segera, mereka perlu keluar daripada barisan lalu lintas yang sesak itu terlebih dahulu.

Mengetahui jarak yang sesuai

Pemandu disyorkan untuk mengekalkan masa antara tiga saat hingga lima saat dengan pemandu kenderaan di hadapan. Cara yang baik untuk mengukur jarak ini adalah dengan menggunakan objek yang stabil.

Pemandu perlu mula mengira apabila kereta di hadapannya melepasi tiang lampu. Jika telah melepasi tiang lampu yang sama selepas kiraan tiga, pemandu berada dalam zon yang selamat.

Pemandu juga perlu peka dengan lampu brek kenderaan di hadapan. Jika kenderaan di hadapan kenderaan pemandu mula perlahan, jarak yang sama harus dikekalkan.

Memandu secara proaktif

Sentiasa menjangkakan perkara yang tidak dijangkakan berlaku supaya kita lebih bersedia. Hanya kerana kita mengamalkan pemanduan selamat tidak bermakna semua orang di sekeliling kita juga begitu.

Kadangkala, pemandu lain memandu dalam keadaan berbahaya atau mungkin mereka melakukan kesilapan semasa pemanduan. Walau apa-apa pun situasi, pemandu harus sentiasa peka dan bersedia untuk mengelak kenderaan lain, terutamanya ketika berada dalam kesesakan lalu lintas.

Bersabar

Memandu dalam keadaan emosi yang marah boleh membawa kepada pemanduan yang agresif dan tidak bertanggungjawab serta menyebabkan semua orang di jalan raya dalam bahaya.

Antara petua untuk memastikan diri kita lebih tenang termasuklah mendengar muzik yang disukai, mainkan buku audio, mendengar audio siar yang menenangkan dan menarik nafas dalam-dalam. Kesedaran tentang jalan raya adalah milik bersama dan kesesakan lalu lintas yang berlaku berkemungkinan untuk kebaikan pada masa hadapan dapat membantu pemandu kekal tenang semasa berada di atas jalan raya.

Jalan terus

Keadaan lalu lintas yang padat ialah perkara biasa berlaku akibat kemalangan atau kecemasan. Jika hal ini berlaku, jangan biarkan perkara itu mengubah fokus pemanduan. Arahkan pandangan kepada pemandu lain di sekeliling dan jalan raya. Elakkan diri daripada melihat atau merakamkan kemalangan yang terjadi.

Berehat jika perlu

Sekiranya pemandu mula berasa cemas, marah atau tidak sabar, ambillah sedikit masa untuk berehat. Keluar daripada barisan kenderaan ke bahu jalan dan regangkan kaki serta menarik nafas dalam-dalam. Masa antara satu minit atau dua minit tambahan ini dapat membantu mengekalkan kepekaan dan kewajaran pertimbangan dalam membuat sesuatu keputusan.

Sementara itu, pemandu juga perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kecemasan seperti menyimpan kit kecemasan di dalam kenderaan seperti peti pertolongan cemas, air, makanan tidak mudah rosak dan lampu suluh. Sekiranya pemandu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas untuk tempoh yang panjang, bekalan kecemasan ini dapat membantu mengurangkan tekanan.

Memandu dalam kesesakan lalu lintas yang panjang boleh menjadi suatu tekanan dan berbahaya. Walau bagaimanapun, dengan pengetahuan yang betul, pemandu boleh kekal selamat dan memastikan tingkah laku mereka tidak membahayakan diri sendiri ataupun orang lain. Pemandu perlu diingatkan bahawa keselamatan di jalan raya bermula dengan sikap pemandu itu sendiri.

Sebagai kesimpulannya, pemandu haruslah cakna akan tindakan mereka dan akibatnya terhadap pengguna jalan raya yang lain. Panduan yang diberikan adalah untuk memastikan bahawa langkah berjaga-jaga yang diperlukan untuk pemanduan yang selamat semasa kesesakan lalu lintas.

Dr. Suzielah Rahmad ialah penyelidik bebas dan Profesor Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff ialah pensyarah daripada Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.