4 Oktober 2023, 15:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kualiti udara dalam negara didapati merosot sejak kebelakangan ini dengan peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tidak sihat, terutamanya di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia. Hal ini sekali gus mengakibatkan situasi jerebu yang semakin memburuk di beberapa negeri yang berpunca daripada asap tebal ekoran kebakaran hutan besar di Indonesia.

Jerebu merupakan fenomena pengurangan jarak penglihatan di udara yang berpunca daripada serakan cahaya boleh nampak oleh zarahan terampai, gas atau wap air di atmosfera. Keadaan ini menyebabkan suasana kabur yang menyukarkan pandangan penglihatan pada jarak tertentu.

Berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura pada 1 Oktober 2023, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 merekodkan sebanyak 121 titik panas yang dikesan di Sumatera, manakala 122 titik panas lagi di sekitar Kalimantan.

Terdahulu, media tempatan Indonesia melaporkan bahawa kebakaran tanah dan hutan kembali dengan ketara di Sumatera Selatan serta sembilan wilayah lain di Indonesia pada tahun ini setelah tidak berlakunya kebakaran besar direkodkan dalam tempoh empat tahun lalu.

Sehingga hari ini. pihak berkuasa Indonesia masih belum mengeluarkan data terkini, namun Sumatera Selatan dilaporkan mempunyai lebih banyak kawasan panas berbanding dengan wilayah lain sepanjang September 2023.

Menurut Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, sebanyak 3788 titik panas telah dikenal pasti dari awal tahun hingga 5 September 2023, yakni peningkatan sebanyak empat kali ganda berbanding dengan tahun lalu dalam tempoh sama. Masalah kebakaran hutan di Sumatera Selatan seakan-akan tidak berkesudahan hingga mencetuskan jerebu merentas sempadan ke negara ini.

Kebakaran di kawasan berkenaan yang bermula sejak Ogos lalu mungkin berlarutan hingga November kerana tanah di kawasan tersebut kebanyakannya terdiri daripada tanah gambut yang amat sukar untuk dipadamkan.

Tanah gambut mempunyai lapisan tumbuh-tumbuhan separa reput dan bahan organik yang jauh di bawah permukaan. Lapisan ini boleh terus membara selama berbulan-bulan jika tidak dipadamkan dengan betul.

Akses ke kawasan terpencil tersebut menyukarkan lagi proses pemantauan dan aktiviti pemadaman kebakaran oleh pihak berkuasa. Hal ini diburukkan lagi dengan kekurangan sumber air di kawasan tersebut.

Sehubungan dengan itu, bagi mengawal situasi semasa, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke beberapa kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa. Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan juga telah diaktifkan bagi menyelaras pelbagai tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara. Selain itu, Prosedur Standard Operasi Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut telah diaktifkan kepada semua pejabat JAS Negeri dan agensi negeri.

Pencegahan kebakaran tanah gambut amat penting bagi mengelakkan kejadian sama seperti yang berlaku di kawasan tanah gambut di Beris Lalang, Bachok, Kelantan yang terbakar pada Mac lalu. Kejadian yang dikesan pada 27 Mac itu yang pada mulanya hanya membabitkan tanah gambut seluas lima hektar telah merebak hingga 50 hektar dan memasuki kampung berhampiran.

Bagi melembapkan tanah, sekali gus mengelak kebakaran daripada terus merebak, pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia terpaksa melakukan operasi mengepam telaga tiub di kawasan berkenaan. Selepas 20 hari kejadian, keadaan di lokasi masih berasap dan belum padam sepenuhnya.

Di samping itu, JAS turut mempertingkatkan kekerapan kawasan rondaan dan pemantauan udara melalui dron di kawasan berisiko mudah atau sering terbakar selain kawasan tanah gambut seperti tapak pelupusan sampah, hutan, ladang, kawasan pertanian dan industri. Inisiatif itu turut melibatkan pemerkasaan pemantauan komuniti melalui Program Pasukan Pemantau Pencemaran (3P) bagi membantu memantau kes pembakaran terbuka selain mempertingkatkan program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam sebagai tindakan pencegahan.

Kesedaran awam merupakan antara faktor penting dalam usaha pengawalan jerebu. Semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau secara rapi kawasan tanah mereka yang mudah dan sering terbakar.

Pemilik tanah juga diminta mengambil langkah untuk mencegah pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka, sama ada untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.

Orang awam juga dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan membiarkan tanah atau premis dimasuki atau diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau secara tidak sengaja.

Di samping itu, orang awam diharapkan tidak melakukan pembakaran terbuka atau membuang puntung rokok yang tidak dipadam merata-rata bagi mengelakkan sebarang kejadian kebakaran tidak diingini dan mengakibatkan keadaan jerebu di negara ini menjadi lebih buruk.

Kes kebakaran di kawasan belukar atau lalang masih menjadi penyumbang utama, diikuti dengan kes di tapak pelupusan sampah. Tindakan Penguatkuasaan JAS seperti notis arahan, kertas siasatan dan kompaun di bawah Kesalahan Seksyen 29A boleh dilakukan melibatkan kes pembakaran terbuka.

Golongan petani pula diingatkan untuk tidak melakukan pembakaran terbuka, lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca panas ketika ini. Tindakan seumpama itu sangat berisiko untuk menyebabkan kebakaran besar berlaku.

Kaedah tradisional tersebut masih dipraktikkan golongan petani bagi memudahkan kerja pembersihan ladang atau kawasan pertanian, selain menjimatkan kos. Meskipun tahu kesan pembakaran terbuka dalam keadaan cuaca panas, namun masih terdapat segelintir petani yang mengambil kesempatan pada waktu cuaca panas ini untuk melakukan kerja sedemikian.

Mereka tidak menyangka bahawa pembakaran terbuka boleh mengakibatkan kejadikan kebakaran yang lebih besar sekiranya api yang ditinggalkan tidak padam sepenuhnya.

Api yang tidak padam dengan sepenuhnya tidak kelihatan pada mata kasae kerana berada di bahagian bawah tanah. Api tersebut boleh kembali terbakar dan merebak menjadi api yang besar dalam sekelip mata, lalu memasuki hutan berhampiran yang dipenuhi dengan daun kering atau kayu kering.

Pada tahun lepas, sebanyak 9596 kes pembakaran terbuka dicatatkan di seluruh negara. Pada tahun ini pula, sebanyak 4106 laporan kes pembakaran terbuka diterima setakat 11 Mei 2023 di seluruh negara. Namun demikian, semakan rekod aduan sejak 28 September hingga hari ini menunjukkan bahawa tiada aduan pembakaran terbuka dari sumber tempatan selain tiada titik panas dikesan di dalam negara.

Pada tahun 1997 dan tahun 1998, kebakaran hutan luas di sebuah negara Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) telah menyebabkan kejadian jerebu merentas sempadan yang menyeluruh di rantau ASEAN. Kejadian ini telah memberikan kesan kepada industri pelancongan, kesihatan dan alam sekitar dengan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak USD sembilan bilion.

Akibatnya, Pelan Tindakan Jerebu Serantau yang dinamakan Sistem Risiko Bahaya Kebakaran (FDRS) telah dibangunkan dan diaktifkan. FDRS merupakan sistem yang memantau risiko kebakaran hutan dan membekalkan maklumat tersebut dalam pengurusan kebakaran. Sistem itu, telah diguna pakai oleh semua negara ASEAN sejak tahun 2003.

Semua negara ASEAN terus diseru untuk menggunakan sistem terbabit bagi membolehkan langkah pencegahan serta persediaan rapi dilaksanakan bagi mencegah jerebu merentas sempadan. Malaysia turut membangunkan FDRS melalui MetMalaysia.

Namun begitu, Akta Jerebu Rentas Sempadan dilihat dapat memperkemaskan lagi FDRS dengan mewujudkan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan dan penambahbaikan pengurusan pembakaran dalam kalangan negara ASEAN. Negara ASEAN boleh mengadaptasi akta ini dan menyesuaikannya dalam konteks negara masing-masing.

Peruntukan dalam akta ini dapat memberikan kuasa kepada mahkamah dalam negara terbabit untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu, entiti atau syarikat yang menyebabkan kebakaran lalu mengundang masalah jerebu di negara masing-masing sehingga merentasi sempadan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.