6 Januari 2024, 21:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Malaysia ialah negara yang menghargai pengetahuan dan penyelidikan. Ketersediaan dan sumbangan pemegang doktor falsafah atau Doctor of Philosophy (PhD) memainkan peranan utama dalam membentuk landskap akademik dan ekonomi negara. Dengan keperluan yang semakin meningkat untuk PhD yang berkelayakan, pemegang PhD di Malaysia bukan sahaja meneroka ilmu pengetahuan, malah menjadi pemimpin perubahan dan pembangunan negara.

Memulakan pengajian pascasiswazah sering dikaitkan dengan perjalanan intelektual yang mencabar. Keadaan ini ibarat mengemudi gelombang di lautan ilmu yang masih belum diterokai.

Walau bagaimanapun, pengalaman menarik bagi beberapa orang pelajar pascasiswazah baru-baru ini mengambil satu pendekatan yang unik. Kursus Mini Roket Inner Circle Meeting telah diadakan pada 8 Disember hingga 10 Disember 2023, anjuran pengasas 2M World Sdn. Bhd., Dr. Mohd Khairul Nizam Zainan Nazri telah memberikan peluang kepada pelajar pascasiswazah untuk meneroka ilmu dan kehidupan dari pandang sudut yang berbeza dan bukan konvensional.

Peserta Kursus Mini Roket Inner Circle Meeting sebelum menaiki luncur jet.

Satu daripada aktiviti yang diadakan dalam kursus tersebut ialah memandu luncur jet atau lebih dikenali sebagai jet ski dan refleksi terhadap pengalaman tersebut. Sebanyak 25 buah luncur jet berada di atas lautan dalam tiga kumpulan berbeza. Pelajar pascasiswazah yang terlibat dalam program ini adalah seramai 40 orang dari pelbagai universiti, bidang dan latar belakang berumur antara 27 tahun hingga 62 tahun.

Peserta Kursus Mini Roket Inner Circle Meeting dari pelbagai universiti.

Memandu luncur jet kelihatan seperti aktiviti santai dan jauh daripada selok-belok penyelidikan akademik. Walau bagaimanapun, memahami pemanduan luncur jet secara mendalam mendedahkan pelbagai prinsip saintifik yang terlibat dalam pemanduan luncur jet.

Sistem cecair mekanik dinamik, sistem perejangan (propulsion) dan kerumitan dalam mengemudi melalui gelombang dan ombak menyumbang kepada pengalaman yang sangat berbeza di atas air. Apabila enjin dihidupkan, penukaran bahan api menjadi tenaga kinetik boleh dikaitkan dengan tenaga intelektual yang dikeluarkan dalam melengkapkan kajian pascasiswazah sehingga menjadikannya berimpak kepada komuniti.

Memandu luncur jet adalah seperti perjalanan pascasiswazah yang menuntut gabungan kemahiran, tumpuan dan kemampuan untuk membina strategi serta menyesuaikan diri. Ketakutan awal untuk menghadapi air lautan yang terbuka luas mencerminkan ketidakpastian yang wujud dalam memulakan perjalanan pengajian pascasiswazah.

Walau bagaimanapun, apabila seseorang semakin menyesuaikan diri dengan kelancaran luncur jet, rasa keyakinan dan penguasaan mula hadir. Perjalanan ini selaras dengan perkembangan kepakaran diri secara beransur-ansur dan daya tahan yang semakin meningkat yang menentukan kejayaan dalam menghasilkan kajian pascasiswazah.

Memandu luncur jet juga menanamkan kesedaran yang lebih dalam terhadap suasana sekeliling di sepanjang laluan dari pulau ke pulau. Ada keperluan untuk perhatikan pemandu luncur jet yang lain supaya tidak berlanggar, sehinggakan perlu membuat laluan sendiri selagi tidak terbabas daripada penunjuk asal, iaitu pemandu utama kumpulan luncur jet tersebut.

Keadaan ini adalah sama seperti keperluan seseorang itu untuk memahami kajian literasi akademik sedia ada agar tidak bertembung kajiannya dan menjadikannya lebih jelas terhadap laluan kajian yang memebawa kepada objektif utama kajian serta hasil yang berimpak.

Dengan gabungan pelbagai bidang dan disiplin pascasiswazah dalam kursus ini, hal ini memberikan ruang kepada persekitaran pembelajaran kerjasama yang memperkaya pengalaman, memupuk hubungan antara disiplin dan pandangan berbeza, namun mempunyai kebersamaan. Keasyikan untuk menakluki ombak bersama-sama mewujudkan ikatan antara para peserta yang melampaui batas akademik.

Dalam hal ini, perjalanan pascasiswazah boleh dikatkan dengan perjalanan yang usahanya bukanlah bersendirian, namun merupakan usaha kolektif. Melibatkan diri dengan rakan kajian dari pelbagai bidang memperluas perspektif sera memperkenalkan metodologi dan idea baharu. Latar belakang peserta yang berbeza juga mencerminkan kepelbagaian pemikiran dan kepakaran dalam komuniti akademik yang dinamik.

Memandu luncur jet tidak terlepas daripada cabaran, sama seperti dalam pengajian pascasiswazah. Ketakutan untuk menghidupkan enjin luncur jet dalam keadaan cuaca yang panas serta gelombang yang tidak dijangka boleh mengganggu kemajuan yang lancar. Namun demikian, ketekunan yang tinggi, keyakinan pada diri, kemampuan menyesuaikan diri dan kemahiran berfikir secara strategik yang diasah melalui perjalanan pengajian pascasiswazah mampu mengatasi rintangan ini.

Selain itu, sama seperti kegembiraan menakluk gelombang yang mencabar, keadaan itu mendorong seseorang untuk ke hadapan demi kejayaan dalam penemuan hasil penyelidikan. Kedua-dua pengalaman ini memerlukan ketekunan dan keinginan untuk menghadapi dan mengatasi sesuatu halangan.

Mengimbangi luncur jet juga memerlukan gabungan kemahiran, koordinasi dan keseimbangan yang mendalam. Begitu juga dengan perjalanan pengajian pascasiswazah yang memerlukan keseimbangan antara penyelidikan, kehidupan peribadi dengan kesihatan diri. Daripada kursus ini, jelas difahami akan keperluan untuk sentiasa bersiap sedia dan menikmati gelombang ilmu yang luas terbentang seperti lautan terbuka yang penuh dengan pengajaran.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.