18 April 2024, 17:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Peningkatan serangan jantung dan kematian mengejut di Malaysia berpunca daripada sikap segelintir rakyat di negara ini yang tidak mengamalkan senaman, pemakanan dan gaya hidup yang sihat.

Sehubungan dengan itu, Radio Televisyen Malaysia menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia telah mengundang dua orang ahli panel, iaitu Pakar Perunding Kardiologi, Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi MARA Puncak Alam, YBrs. Profesor Dr. Sazzli Shahlan Kasim dan Pakar Perubatan Dalaman dan Klinikal Kardiologi, Jabatan Kardiologi, Pusat Jantung Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, YBrs. Dr. Mohammad Ihab Ismail bagi mengulas isu tersebut.

Pakar Perunding Kardiologi, Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi MARA Puncak Alam, YBrs. Profesor Dr. Sazzli Shahlan Kasim dan Pakar Perubatan Dalaman dan Klinikal Kardiologi, Jabatan Kardiologi, Pusat Jantung Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, YBrs. Dr. Mohammad Ihab Ismail dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia bagi mengupas isu serangan jantung dan kematian mengejut.

Menurut YBrs. Dr. Mohammad Ihab Ismail, berdasarkan kajian yang dijalankan, kematian mengejut di Malaysia berlaku disebabkan oleh penyakit jantung yang kebanyakannya terjadi dalam kalangan golongan muda.

Simptom kematian mengejut seperti sesak nafas, sakit dada dan kesukaran bernafas boleh berlaku dalam tempoh satu jam selepas serangan jantung .

Beliau juga menyatakan bahawa serangan jantung dan kematian mengejut merupakan isu kesihatan yang perlu diberikan perhatian kerana kebanyakan rakyat di negara ini meninggal dunia secara mengejut ketika bersukan atau berada dalam keadaan sihat.

Ujar beliau, doktor pakar jantung dapat menganalisis jantung pesakit dengan cepat untuk mengesan penyakit ini, sama ada jantungnya lemah atau rosak yang akan mengakibatkan jantung pesakit lemah, sekali gus menyebabkan pesakit tidak mampu untuk memberikan sumbangan dari segi tenaga kerja.

Semasa sesi temu bual itu juga, YBrs. Profesor Dr. Sazzli Sahlan Kasim memaklumkan bahawa simptom penyakit jantung boleh dirawat dengan lebih cepat sebelum penyakit jantung menjadi lebih berbahaya seperti mengakibatkan pesakit stres, semput, letih, sakit dada dan pitam.

Pesakit yang menghidap penyakit jantung perlu mendapatkan rawatan lanjut bersama-sama doktor pakar jantung di hospital dengan membuat saringan awal untuk mengesan simptom awal penyakit jantung.

Jelas beliau, simptom seperti stres, kebimbangan dan kegelisahan yang terlampau dan tidur yang tidak mencukupi merupakan antara faktor yang meningkatkan risiko penyakit jantung terus berlaku, terutamanya dalam kalangan golongan wanita.

Beliau juga menasihati semua pesakit jantung di Malaysia agar melakukan pemeriksaan kesihatan dan memantau fungsi jantung yang menjadi mahkota badan.

Pada masa yang sama, beliau turut menegaskan bahawa rakyat Malaysia hendaklah mengawal pemakanan, menjaga kesihatan dan mengekalkan gaya hidup yang sihat serta lebih bersikap progresif dan prihatin terhadap isu ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.