18 April 2024, 17:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pagoh – Bengkel Teknologi Geospatial menggunakan ArcGIS Pro yang dianjurkan oleh Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kampus Pagoh bertujuan memberikan pendedahan kepada pensyarah dalam bidang pelancongan dan bahasa menggunakan teknologi geospatial terkini, sekali gus membuka peluang baharu untuk penyelidikan dan pengajaran.

Bengkel yang diadakan selama dua hari bermula 17 April 2024 hingga 18 April 2024 itu menyediakan platform kepada tenaga pengajar untuk mempelajari cara membuat peta, melakukan analisis ruangan (spatial) dan menguruskan data dengan menggunakan ArcGIS Pro.

”ArcGIS Pro berperanan dalam mengembangkan dan menerapkan solusi geospatial yang inovatif serta meliputi penawaran seperti realiti maya tiga dimensi (3D) dan analitik geovisual untuk data pada masa sebenar,” kata Encik Wan Saifullah Wan Hanafi dari ALAMI Technologies Sdn. Bhd. selaku tenaga pengajar bengkel berkenaan.

Menurut beliau, ArcGIS Pro merupakan sebuah aplikasi sistem maklumat geografi (GIS) terkemuka yang menawarkan keupayaan canggih untuk visualisasi data, analisis dan penyelenggaraan dalam bentuk dua dimensi dan 3D.

Ujar beliau,

Dengan menguasai pengetahuan dan kemahiran tersebut, tenaga pengajar dapat didedahkan dengan kaedah baharu dalam melakukan penyelidikan dan teknik pengajaran yang bervariasi.

Tambah beliau, ArcGIS Pro juga digunakan untuk memetakan tempat tarikan pelancong, menganalisis corak pelawat, merancang strategi pelancongan lestari dan sebagainya yang boleh dimanfaatkan oleh tenaga pengajar akademik.

Perisian ini juga boleh disepadukan ke dalam kurikulum dan memberikan pengalaman praktikal kepada pelajar dalam menggunakan teknologi geospatial

Sementara itu, pensyarah bahasa Melayu, YBrs. Dr. Adriana Santa menyatakan bahawa teknologi ArcGIS Pro juga boleh digunakan bagi pemetaan dialek bahasa yang digunakan di setiap kawasan.

Jelas beliau,

Bidang geolinguistik merupakan satu daripada bidang bahasa Melayu yang mendapat manfaat daripada penggunaan ArcGIS Pro dalam proses analisis dan laporan data kajian.

Proses pemetaan menjadi lebih mudah dengan adanya teknologi ArcGIS Pro.

Beliau berkata, bengkel seumpama ini memberikan peluang kepada pensyarah pelancongan dan bahasa untuk memperbaharui kemahiran dan keupayaan mereka dalam menggunakan teknologi terkini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.