24 April 2024, 17:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pusat Penyelidikan Mineral (PPM), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah memenangi satu pingat emas dan satu anugerah khas daripada Taiwan Invention Association (TIA) melalui projek inovasi Rejuvenating Global Wealth via Remineralisation dalam pertandingan 49th Geneva International Exhibition of Inventions yang berlangsung dari 17 April 2024 hingga 21 April 2024 di Palexpo, Geneva, Switzerland.

Menurut JMG dalam satu kenyataan, projek tersebut merupakan kajian kepada kalsium karbonat termendak (PCC) yang dihasilkan dengan mengitar semula sisa kapur karbida dari industri gas asetilena.

Melalui pemineralan semula ini, PCC digunakan sebagai bahan pengisi lestari dalam pelbagai produk komersial dan industri lain seperti cat, kertas, plastik, bahan salutan dan sebagainya.

JMG juga menyatakan bahawa sisa buangan industri telah ditambah nilai kepada mineral boleh guna semula melalui inovasi dan memastikan kelestarian alam terus terpelihara.

Dalam kenyataan yang sama, produk tersebut akan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan akan dikomersialkan melalui perkongsian pintar serta kerjasama dua hala antara JMG dengan Kerajaan Negeri Perak.

Jelas JMG, projek tersebut turut diiktiraf sebagai pemenang Anugerah Inovasi Menteri Besar Perak bersempena dengan Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak 2023 kerana memperlihatkan potensinya untuk terus meningkatkan kelestarian bumi hijau seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri Perak ke arah Perak Sejahtera 2030.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada pasukan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Mineral berikutan kejayaan tersebut.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui JMG akan sentiasa menghasilkan inovasi baharu dan berteknologi tinggi bagi pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat serta mencipta kekayaan baharu negara melalui bidang mineral dan geosains.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.