26 April 2024, 13:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bengkel Fisioterapi Muskuloskeletal: Meneroka Teknik Mobilisasi Sendi Terkini dan Mengintegrasi Teknik Perubatan Tradisional Cina Akupunktur anjuran Program Fisioterapi dan Klinik Fisioterapi Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diadakan untuk memperkenalkan teknik lanjutan dan alternatif gabungan dalam bidang muskuloskeletal kepada pelajar, khususnya teknik mobilisasi sendi dan akupunktur.

Bengkel tersebut juga bermatlamat untuk mengubah persepsi pelajar terhadap bidang fisioterapi yang tidak hanya terhad kepada rawatan konvensional, malah terbuka untuk gabungan perawatan alternatif.

Kedua-dua teknik tersebut telah terbukti memberikan kesan positif dalam merawat masalah berkaitan dengan muskuloskeletal berdasarkan kajian berasaskan bukti yang semakin mendapat perhatian dan mula dipraktikkan secara meluas oleh ahli fisioterapi profesional.

Selain itu, bengkel ini juga disusun sebagai platform untuk meningkatkan nilai kebolehpasaran, terutamanya bagi graduan UKM selepas menamatkan pengajian dengan memberikan bentuk kemahiran tambahan yang bernilai dalam pengetahuan dan kemahiran.

Bengkel tersebut diketuai oleh YBrs. Dr. Mohd Azzuan Ahmad, selaku pensyarah Program Fisioterapi, UKM dan dibantu oleh ahli jawatankuasa yang terdiri daripada para klinisian dari program yang sama.

Pada sesi pagi, bengkel berkenaan merangkumi perkongsian teori dan amali bagi teknik rawatan mobilisasi sendi oleh alumni UKM dan pengasas Your Physio Rehab Specialist, Encik Lee Choon Yik.

Sesi perkongsian teori dan amali oleh Encik Lee Choon Yik dari Your Physio Rehab Specialist.

YBhg. Dato Dr. Tan Chee Hou dan Puan Lee Chai Li yang merupakan pengasas serta pengasas bersama bagi Grand Care Rehab Physiotherapy and Acupuncture Centre pula berkongsikan teori dan demonstrasi bagi rawatan akupunktur dan penggunaan alatan inovasi, iaitu AcuGragh untuk mengenal pasti titik meridian pada sesi petang.

Sesi perkongsian teori dan demonstrasi akupuntur oleh Puan Lee Chai Li dari Grand Care Rehab Physiotherapy and Acupuncture Centre.

Secara keseluruhannya, bengkel yang disertai oleh 66 orang peserta yang terdiri daripada pelajar prasiswazah tahun tiga dan tahun empat dari UKM dan Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak ini berjaya dilaksanakan dengan baik dan mendapat maklum balas yang positif daripada para peserta.

Sesi penyampaian cenderamata kepada para penceramah.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.