Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPembekalan ubat-ubatan kepada pesakit di kaunter farmasi di kemudahan kesihatan lazimnya akan disertakan dengan label ubat yang dilekatkan pada sampul atau pek pembungkusan ubat-ubatan tersebut. Perkara yang sama turut berlaku semasa pesakit mendapatkan ubat-ubatan di farmasi.
Tujuan utama label ubat ini disertakan adalah untuk menjadi rujukan kepada pesakit. Terdapat beberapa maklumat penting yang dinyatakan pada label ubat yang dapat membantu pesakit mengambil ubat-ubatan dengan cara yang betul.
Maklumat Penting pada Label Ubat
Secara umumnya, maklumat yang dinyatakan pada label yang dilekatkan pada sampul ubat-ubatan merangkumi beberapa maklumat asas tentang ubat tersebut. Antaranya termasuklah nama generik dan kekuatan ubat, arahan pengambilan, nama dan alamat premis yang membekalkan, tarikh ubat dibekalkan serta nama dan nombor rujukan pesakit.
Nama ubat yang lazimnya dinyatakan pada label ubat ialah nama generik. Nama generik ialah nama bahan aktif dan diberikan kepada sesuatu ubat sewaktu ubat tersebut pertama kali ditemukan.
Nama generik adalah berbeza daripada nama dagangan ubat. Hal ini dikatakan demikian kerana nama dagangan adalah tertakluk kepada syarikat pengeluar. Sebagai contohnya, nama generik ubat ialah parasetamol, manakala PanadolⓇ, Uphamol, Fepril dan Paracil pula adalah antara beberapa nama dagangan bagi ubat tersebut.
Kekuatan ubat pula menunjukkan kandungan bahan aktif yang terdapat dalam setiap jenis ubat. Sesuatu jenis ubat yang sama mungkin dirumuskan dalam beberapa kekuatan.
Misalnya, tablet parasetamol boleh didapati dalam kekuatan 120 miligram, 500 miligram dan 650 miligram. Kekuatan yang berbeza menentukan jumlah ubat yang perlu diambil oleh pesakit pada setiap waktu pengambilan.
Sebagai contohnya, jika seseorang pesakit mengalami demam dan perlu mengambil ubat parasetamol dengan dos 1000 miligram, maka pesakit tersebut harus mengambil 2 biji tablet paracetamol yang mempunyai kekuatan 500 miligram.
Selain nama ubat, nama dan alamat premis yang membekalkan ubat tersebut juga harus dinyatakan pada label ubat. Maklumat ini penting untuk memastikan ubat yang ingin digunakan oleh pesakit diperoleh daripada sumber yang sah.
Selain itu, sekiranya terdapat situasi tertentu yang memerlukan ubat ditarik balik atau dikembalikan kepada pihak yang membekalkan, maklumat nama dan alamat premis dapat memudahkan pesakit mengambil tindakan yang diperlukan.
Nama lengkap pesakit perlu dinyatakan pada label agar pemilik sebenar ubat tersebut dapat dikenal pasti dengan mudah. Nombor rujukan pesakit juga adalah penting untuk memastikan ubat tersebut dibekalkan kepada pesakit yang tepat, terutamanya apabila terdapat beberapa orang pesakit dengan nama yang hampir sama. Kesilapan pembekalan ubat dapat dielakkan jika kedua-dua maklumat ini diberi perhatian.
Tarikh pembekalan juga penting untuk dinyatakan pada label ubat. Hal ini penting kerana tarikh ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa ubat yang dibekalkan itu merupakan rawatan pesakit yang terkini.
Maklumat ini membantu pesakit untuk mengambil ubat dengan cara yang betul. Dos ubat yang perlu diambil pada setiap waktu pengambilan, kekerapan dan cara pengambilan ubat harus dinyatakan pada label.
Selain itu, arahan pengambilan tertentu seperti ambil ubat sebelum atau selepas makan, hanya ambil ubat jika perlu, ambil ubat pada waktu yang khusus, contohnya sama ada pagi atau malam dan beberapa waktu lain juga perlu dinyatakan pada label bagi memudahkan pesakit.
Label bagi ubat yang tergolong dalam kategori ubat terkawal perlu disertakan dengan frasa “UBAT TERKAWAL” atau “CONTROLLED MEDICINES”. Frasa ini menunjukkan bahawa ubat tersebut hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau ahli farmasi. Ubat-ubatan untuk kegunaan luaran pula perlu disertakan dengan frasa “UNTUK KEGUNAAN LUARAN” pada labelnya.
Maklumat Lain pada Pek Pembungkusan atau Botol Ubat
Tidak semua ubat-ubatan dibekalkan di dalam sampul ubat. Terdapat juga ubat yang dibekalkan dalam pek pembungkusan atau botol asal.
Antara maklumat yang boleh ditemukan pada pek pembungkusan atau botol ubat termasuklah nama dan kekuatan bahan aktif, jenama, arahan pengambilan, nombor pendaftaran, cara penyimpanan, nombor kelompok, tarikh pengilangan, tarikh luput serta nama dan alamat syarikat pengeluar.
Nasihat untuk Pesakit dan Orang Awam
Pesakit sangat digalakkan untuk meneliti label yang terdapat pada sampul ubat atau maklumat pada pek pembungkusan atau botol ubat. Amalan ini harus sentiasa dilakukan, terutamanya pada setiap waktu pengambilan ubat. Dengan cara ini, pesakit dapat mengelakkan kekeliruan dan kesilapan pengambilan ubat.
Maklumat yang dinyatakan pada label harus dimanfaatkan sepenuhnya. Nama dan nombor rujukan pesakit dapat memastikan pesakit hanya mengambil ubat yang dibekalkan untuk dirinya sendiri. Nama dan kekuatan ubat pula membantu pesakit mengenal pasti ubat yang hendak diambil.
Pesakit haruslah sentiasa mematuhi arahan pengambilan seperti dos, kekerapan dan masa pengambilan yang dinyatakan pada label. Pesakit juga hendaklah mengikuti arahan pengambilan khas yang tertera pada label, sekiranya ada. Langkah ini penting untuk memastikan ubat yang diambil dapat memberikan kesan yang optimum. Di samping itu, kesan sampingan yang tidak diingini daripada pengambilan ubat tersebut dapat diminimumkan.
Bukan itu sahaja, pesakit juga dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan tarikh luput ubat yang ingin digunakan. Dengan menyemak tarikh luput pada label, pek pembungkusan atau botol ubat, pesakit dapat mengelakkan diri daripada terambil ubat yang telah luput.
Konsep 5B
Membaca label sebelum pengambilan ubat-ubatan harus sentiasa diamalkan untuk mengelakkan kesilapan pengubatan. Dengan membaca dan memahami semua maklumat yang terkandung pada label ubat, pesakit dapat memastikan setiap elemen dalam Konsep 5B, iaitu pengguna ubat yang betul, ubat yang betul, dos ubat yang betul, cara pengambilan ubat yang betul dan masa pengambilan ubat yang betul, dapat dipatuhi.
Di samping itu, beberapa maklumat dan arahan pengambilan tambahan yang turut disertakan pada label dapat membantu mengelakkan kesilapan yang berisiko menyebabkan kesan yang tidak diingini kepada pesakit.
Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).
Puan Nurul Nasrah Mohd Ariffin,
Pegawai Farmasi,
Klinik Kesihatan Padang Rengas.