2 April 2024, 14:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bubur lambuk yang menjadi hidangan istimewa dalam bulan Ramadan di negara ini mempunyai persamaan dengan hidangan di selatan India yang dikenali sebagai nombu kanji. Perbezaan antaa kedua-dua hidangan ini terletak pada penggunaan jenis beras.

Beras yang digunakan di India ialah Seeraga Samba. Selain digunakan untuk masakan nombu kanji, beras ini sangat popular digunakan dalam penyediaan nasi beriani.

Menurut sumber dari laman web Slow Food Foundation for Biodiversity, beras ini mengambil namanya daripada perkataan seeragam yang bermaksud biji jintan manis kerana persamaan bentuknya dengan biji rempah tersebut yang kecil dan bujur.  Samba pula merujuk musim padi ini ditanam, iaitu pada Ogos hingga Januari. Padi jenis ini ditanam lebih kurang 125 hari hingga 130 hari. Tempoh penanaman ini juga lebih lama daripada jenis padi lain.

Beras Seeraga Samba dikatakan tergolong dalam kategori beras yang paling mahal, namun mempunyai saiz yang paling kecil, iaitu kira-kira satu per tiga saiz sebutir beras basmati. Keunikan beras ini terletak pada rasanya yang tersendiri yang ditakrifkan sebagai berkanji.

Beras ini berwarna putih dan beraroma serta mempunyai butiran yang sangat halus. Walaupun kecil, fizikalnya jauh lebih keras daripada jenis beras yang lain. Apabila dimasak pula, beras ini mempunyai tekstur yang kurang lembut dan gebu.

Tumbuhan bijirin ini membesar hingga mencapai ketinggian kira-kira 90 sentimeter dan hanya tumbuh di tanah yang subur tanpa baja kimia. Daripada satu generasi kepada generasi berikutnya, teknik yang sama diturunkan secara tradisi seperti membuang rumpai secara manual yang dilakukan oleh wanita tempatan. Beras jenis ini bagaimanapun semakin terancam oleh tanaman industri yang lebih mudah ditanam kerana boleh dihasilkan dengan menggunakan jentera moden.

Padi Seeraga Samba ditanam secara meluas di Tamil Nadu, India. Walau bagaimanapun, penanamannya adalah terhad di beberapa kampung tertentu seperti di Vellapallam dan Keevalurtaluks yang berada di daerah Nagapattinam, Uppiliyapuram di daerah Tiruchirappalli, dan sebahagian daripada daerah Thanjavur di tengah-tengah Tamil Nadu. Saiznya yang kecil, beraroma dan mudah dihadam menyebabkan penggunaannya mendapat liputan yang meluas dalam industri kepenggunaan isi rumah dan perhotelan.

Namun demikian, disebabkan padi baka ini diusahakan secara tradisi, maka terdapat gerak kerja yang dilakukan untuk mewujudkan denominasi geografi bagi melindungi kegiatan yang berhubung dengan pertanian dan perusahaan beras ini. Oleh sebab itu, baka padi Seeraga Samba menjadi baka padi pertama di Tamil Nadu yang mendapat perlindungan awam.

Sebenarnya, Tamil Nadu merupakan satu daripada beberapa wilayah di India yang terlibat dengan penanaman padi secara aktif dan berskala besar. Wilayah lain yang mengusahakan penanaman padi ialah West Bengal, Uttar Pradesh, Punjab, Odisha, Andhra Pradesh, Telangana, Chhattisgarh, Bihar, Assam dan Madhya Pradesh. Di kawasan ini, padi ditanam di atas tanah berkeluasan 45 juta hektar dengan pengeluaran hasil tanaman sebanyak 125 juta tan setahun.

Tamil Nadu bagaimanapun menjadi tumpuan kerana komuniti di wilayah tersebut bukan sahaja dianggap paling banyak menanam padi jenis tradisional berbanding dengan wilayah lain, bahkan kadar penggunaan beras tradisional paling tinggi berbanding dengan tempat lain. Kos pengeluaran beras juga lebih rendah di wilayah ini berbanding dengan beras jenis baharu yang berkos tinggi kerana menggunakan peralatan berteknologi moden.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Nandhini et al. yang bertajuk “Metabolomic Analysis for Disclosing Nutritional and Therapeutic Prospective of Traditional Rice Cultivars of Cauvery Deltaic Region, India” yang diterbitkan menerusi jurnal Frontiers in Nutrition pada 28 September 2023, Tamil Nadu bukan sahaja menjadi pengeluar kepada perusahaan penanaman baka padi Seeraga Samba, malah menjadi rumah kepada lebih 400 jenis baka padi yang diusahakan secara tradisional dan khusus. Selain Seeraga Samba, antara baka padi yang lain yang terkenal termasuklah Kichili Samba, Poongar, Thooyamalli, Chinnar, Karunguruvai, Milagu Samba, Kaiviral Samba, Mappillai Samba, Karuppu Kavuni, Kattuyanam dan Kuzhiyadichan.

Yang menariknya, hampir kesemua baka padi tersebut bukan sahaja terkenal untuk tujuan penyediaan hidangan yang menyelerakan, malah turut popular dalam bidang kesihatan. Penggunaannya dikatakan berfaedah dalam mendatangkan kesan diuretik bagi mengurangkan tekanan darah tinggi dan bersifat antiradang sebagaimana penelitian Umadevi et al. dalam kajian bertajuk “Rice Traditional Medicinal Plant in India” yang diterbitkan dalam Journal of Pharmacognosy and Phytochemistry pada tahun 2012.

Dikatakan juga bahawa beras yang terhasil daripada baka padi tersebut mempunyai potensi antioksidan yang boleh merawat penyakit dan memperbaik pelbagai perubahan fisiologi dalam badan manusia seperti yang tercatat dalam tulisan Kowsalya et al. bertajuk “Traditional Rice Varieties: A Comprehensive Review on Its Nutritional, Medicinal, Therapeutic and Health Benefit Potential” yang terbit dalam Journal of Food Composition and Analysis keluaran Disember 2022.

Baka padi Mappillai Samba sering digunakan untuk tujuan meningkatkan kesuburan. Padi baka Karunguruvai pula digunakan untuk menyembuhkan beberapa jenis penyakit seperti jangkitan kencing, sakit sendi kaki gajah, cacar air dan penyakit kulit.

Masyarakat di India yang terkenal dengan kepercayaan mereka terhadap risalah perubatan tradisi seperti Ayurveda menyakini bahawa beras yang digunakan sebagai sumber utama makanan dapay meningkatkan bendalir dalam badan yang disebut sebagai Vata, Pitta dan Kapha yang seterusnya akan membina keseimbangan badan. Mereka juga percaya bahawa penggunaan beras yang betul boleh meningkatkan elemen tertentu dalam badan, mencergaskan tubuh, memberikan tenaga serta menguatkan badan dengan menghapuskan bahan toksik.

Dari sudut saintifik, bijirin beras ini telah mendapat banyak perhatian daripada pakar pemakanan dan perunding kesihatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Hal ini terjadi kerana kepentingannya yang besar dalam aktiviti biologi, memiliki nilai pemakanan serta memberikan kesan yang sangat besar terhadap kesihatan manusia. Oleh sebab kebolehcernaannya yang sangat baik, di samping mempunyai kualiti pemakanan dan kesihatan yang lebih tinggi dan aktiviti biologi yang berpotensi, maka tidak hairanlah apabila kumpulan beras ini dikategorikan sebagai ratu bijirin sebagaimana yang dilaporkan oleh Verma dan Srivastav dalam makalah bertajuk “Proximate Composition, Mineral Content and Fatty Acids Analyses of Aromatic and Non-Aromatic Indian Rice” yang diterbitkan dalam Rice Science keluaran Januari 2017.

Beras yang dihasilkan oleh baka padi Seeraga Samba mempunyai beberapa kelebihan seperti yang berikut:

  1. Mengandungi sumber selenium yang sangat berfaedah untuk mengurangkan risiko kanser usus.
  2. Mengandungi fitonutrien yang mempunyai peranan untuk mencegah kanser payudara di samping dapat menguatkan sistem kardiovaskular.
  3. Minyak yang terdapat dalam beras Seeraga Samba membantu menurunkan lipid berbahaya dalam badan.
  4. Kandungan serat yang terdapat dalam beras Seeraga Samba membantu menurunkan lipoprotein ketumpatan rendah yang sering dipanggil kolesterol jahat dan meningkatkan lipoprotein ketumpatan tinggi yang disebut sebagai kolesterol baik.
  5. Kandungan serat yang kaya dalam beras tradisional ini membantu mengurangkan rasa lapar, mengurangkan obesiti dan memudahkan penghadaman. Beras ini juga dikatakan membantu masalah sembelit dan menyingkirkan radikal bebas dari usus.

Dari segi pemasaran, beras putih yang bebas gluten ini merupakan produk bermusim yang hanya tersedia hingga Ogos. Selepas itu, pengguna terpaksa menunggu hingga Januari untuk mendapatkannya semula. Beras ini tergolong dalam kumpulan beras berkualiti tinggi dan dengan mudah dapat bersaing dengan beras jenis basmati.

Disebabkan beras ini merupakan produk bermusim dan berkualiti tinggi, maka harganya agak tinggi berbanding dengan beras jenis lain. Faktor lain yang menyumbang kepada harganya yang mahal adalah disebabkan oleh kegiatan penanamannya memerlukan banyak penjagaan yang rapi.

Di Malaysia, beras ini boleh diperoleh secara dalam talian dengan mudah di mana-mana laman web dengan harga RM7.60 hingga RM53.20 sekilogram. Misalnya,  di laman web Shopee, beras ini dijual oleh sebuah entiti di bawah syarikat Wisebridge Sdn. Bhd., Agra Foods dan boleh dibeli dengan harga RM14.00 sekilogram.

Contoh produk Seeraga Samba yang boleh dibeli secara dalam talian.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.