Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Indeks pencemaran udara (IPU) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur didapati meningkat hampir setiap tahun. Kepatogenan bahan pencemar di udara dipengaruhi oleh faktor seperti saiz, komposisi, sifat kelarutan dan kebolehan bahan menghasilkan spesies oksigen reaktif (ROS). Fungsi paru-paru akan mengalami halangan dan gangguan pernafasan apabila bahan ini terperangkap di hidung dan termendap di bahagian bawah sistem pernafasan.

Polis trafik menjaga lalu lintas.

Seiring dengan pembangunan negara yang semakin pesat, jumlah kenderaan yang digunakan di jalan raya juga meningkat. Polis trafik merupakan antara golongan yang paling terdedah kepada kandungan pencemaran yang tinggi kerana satu daripada tanggungjawab mereka adalah untuk menjaga lalu lintas pada waktu puncak. Mereka juga meluangkan hampir 90 peratus masa bekerja di atas jalan raya.

Menurut pemerhatian, polis trafik yang bertugas di Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee dibahagikan kepada dua sesi, iaitu sesi pagi dan sesi petang. Polis trafik yang bertugas pada sesi pagi mula bertugas pada pukul 6.00 pagi hingga pukul 2.00 petang dan hanya berehat pada pukul 9.30 pagi hingga 10.30 pagi. Sementara itu, polis trafik yang bertugas pada sesi petang mula melaksanakan tugas pada pukul 2.00 petang hingga pukul 9.00 malam.

Kajian menunjukkan fungsi pulmonari polis trafik adalah rendah dan majoritinya mengalami tahap tekanan yang tinggi akibat terdedah kepada pelbagai bahan pencemar semasa menjalankan tugas. Pendedahan kepada bahan pencemar yang dilepaskan oleh kenderaan seperti jirim zarah terampai, karbon monoksida, hidrokarbon dan plumbum menjadi satu daripada risiko yang berkaitan dengan menjalankan tugas dalam jangka masa panjang di atas jalan raya.

Sementara itu, penyakit seperti asma, penyakit pulmonari obstruktif kronik, aterosklerosis, kanser paru-paru, dan penyakit kardiovaskular adalah antara kesan pencemaran udara terhadap kesihatan. Selain itu, hampir 50% daripada polis trafik mempunyai masalah berat badan berlebihan dengan indeks jisim tubuh melebihi nilai 25.0. Majoriti daripada mereka juga mempunyai masalah hipertensi.

Oleh sebab itu, ujian fungsi paru-paru dan pengesanan kandungan asid δ-aminolevulinik (ALA) terhadap polis trafik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang terdedah kepada pencemaran udara telah dilakukan. Tindakan ini adalah untuk membantu mencari penanda biologi bagi pencemaran udara di kawasan tersebut.

Indeks kualiti udara Malaysia adalah berlandaskan sistem piawai pencemaran yang ditetapkan oleh United States Environmental Protection Agency. Bahan pencemar yang dilepaskan ke udara adalah hasil daripada kenderaan bermotor, stesen jana kuasa, aktiviti perkilangan dan pembakaran secara terbuka.

Jadual 1 Garis Panduan Kualiti Udara untuk Bahan Pencemar Udara Terpilih.

 

Jadual 2 Garis Panduan IPU.

Data yang dikumpulkan melibatkan pegawai polis trafik yang bertugas mengawal lalu lintas di sekitar kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kumpulan kawalan yang juga dari kalangan pegawai polis tetapi tidak terlibat dalam pengawalan lalu lintas. Borang soal selidik diedarkan kepada responden dan pemeriksaan kesihatan yang melibatkan pensampelan urin dilakukan untuk mengenal pasti paras asid ALA.

Selain itu, ujian fungsi paru-paru, iaitu ujian spirometri dengan menggunakan alat spirometer digunakan untuk mengukur tahap paru-paru seseorang. Seterusnya, pensampelan udara persendirian dikendalikan dengan meletakkan alat tersebut pada polis trafik dan dibiarkan selama lapan jam pada waktu bekerja untuk mengesan paras jisim zarah terampai PM10 dalam udara. Parameter yang digunakan untuk ujian spirometri ialah forced expiratory volume in one second (FEV1), forced vital capacity (FVC) dan peratus FEV1/FVC.

Spirometer.

Menurut Institut Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), status paru-paru boleh dinilai melalui bacaan FEV1, FVC dan peratus FEV1/FVC. FEV1 ditakrifkan sebagai isi padu udara maksimum yang boleh dihembus pada satu saat yang pertama, manakala FVC ialah isi padu udara yang maksimum yang boleh dihembus dengan menggunakan usaha ekspiratori paksaan.

Sekiranya peratus FEV1/FVC adalah melebihi 80 peratus, hal tersebut menunjukkan fungsi paru-paru adalah dalam keadaan normal. Walau bagaimanapun, sekiranya kurang dari 70 peratus, individu tersebut mungkin menghidap penyakit obstruktif respiratori. Penyakit obstruktif respiratori berlaku apabila terdapat pengurangan isi padu maksimum yang dikeluarkan daripada paru-paru.

Rajah 1 Graf isi padu FEV1, FVC dan FEV1/FVC bagi fungsi paru-paru normal dan obstruktif.

Data yang diperoleh mendapati taburan nilai FEV1 dan FVC, peratusan adalah lebih tinggi dalam kumpulan polis trafik berbanding dengan kumpulan kawalan. Sementara itu, nilai FEV1/FVC untuk kumpulan kawalan adalah lebih tinggi berbanding dengan kumpulan polis trafik. Hal ini terjadi kerana majoriti kumpulan kawalan terdiri daripada golongan wanita, manakala kumpulan polis trafik majoritinya golongan lelaki.

Tambahan pula, data menunjukkan parameter FEV1 dan FVC, peratusan adalah lebih tinggi dalam kalangan lelaki berbanding wanita dalam kumpulan polis trafik dan kumpulan kawalan. Hal ini dikatakan demikian kerana otot pernafasan lelaki adalah lebih kuat berbanding dengan wanita yang membolehkan mereka untuk menghasilkan nilai FEV1 dan FVC yang tinggi. Namun demikian, nilai peratus FEV1/FVC adalah lebih tinggi dalam kalangan wanita berbanding dengan lelaki bagi kedua-dua kumpulan polis trafik dan kumpulan kawalan.

Di samping itu, kajian ini juga mendapati bagi nilai FEV1 dan FVC, peratusan adalah lebih tinggi dalam kalangan bukan perokok berbanding dengan kumpulan perokok. Hal ini dikatakan demikian kerana aktiviti merokok berupaya untuk merosotkan otot pernafasan seseorang daripada kesan tindak balas bahan radikal bebas pada sistem vaskular dan menyebabkan fungsi pulmonari mereka menurun.

Hemoglobin adalah kompleks kromoprotein yang terdiri daripada empat kumpulan heme dan empat rantaian globin polipeptida dalam sel darah merah. Menurut kajian, proses sintesis hemoglobin melibatkan gabungan prekusor suksinil koenzim A dan glisin untuk membentuk asid ALA dengan kehadiran ALA sintetase. Dua molekul ALA akan membentuk satu molekul porfobilinogen (PBG) dengan kehadiran enzim ALA-dehidratase (ALA-D).

Ujian pengesanan kandungan asid ALA juga dilakukan untuk mengesan sekiranya individu mengalami masalah kekurangan sel darah merah yang sihat apabila tapak jalan sintesis heme individu tersebut terganggu. Rencatan oleh plumbum terhadap enzim ALA-D menyebabkan asid ALA tidak dapat ditukarkan kepada PBG dan seterusnya mengganggu penghasilan heme dalam sel darah merah.

Rajah 2 Status ALA dalam urin mengikut kumpulan.

Pengukuran nilai ALA dalam urin digunakan sebagai indikator untuk mengesan tahap ketoksikan plumbum dalam kalangan dua kumpulan, iaitu kumpulan kawalan dan polis trafik. Hasil kajian mendapati bahawa kandungan ALA dalam kedua-dua kumpulan berada dalam lingkungan yang dianggap selamat.

Namun demikian, hanya sebahagian responden yang memperlihatkan nilai ALA dalam julat yang biasanya dikaitkan dengan gejala seperti anemia, keletihan dan loya. Walau bagaimanapun, tanda ini tidak dapat dikenal pasti atau dikaji dengan lebih lanjut kerana responden tersebut tidak dapat dihubungi semula.

Rajah 3 menggambarkan penyebaran data tentang zarah berukuran terampai (PM10) yang menunjukkan bahawa polis trafik terdedah kepada paras yang dianggap selamat, iaitu di bawah 150 µg/m3 selama lapan jam waktu bekerja. Faktor seperti kawasan yang sedang pesat membangun, cuaca dan suhu persekitaran turut memainkan peranan dalam menentukan kandungan PM10 dalam udara kerana pergerakan angin dapat mempengaruhi zarah PM10 dengan mudah.

Kajian juga menunjukkan adanya hubungan negatif yang signifikan antara kandungan PM10 dengan nilai FEV1 dan FVC. Hasil ini sejajar dengan temuan kajian oleh Abbey et al. (1998) yang menunjukkan penurunan nilai FEV1 dan FVC seiring dengan peningkatan kandungan PM10 dalam udara.

 

Rajah 3 Taburan kandungan PM10 dalam udara sepanjang lapan jam.

Kesimpulannya, hasil penyelidikan menunjukkan bahawa sebanyak 60 peratus daripada polis trafik yang terlibat dalam kajian ini memperlihatkan tahap ALA yang optimum. Sementara itu, kepekatan PM10 yang dikaji berada dalam lingkungan yang selamat. Kepekatan PM10 yang tinggi dalam udara juga dikaitkan dengan penurunan fungsi paru-paru seseorang.

Pada masa yang sama, kajian ini mendapati bahawa walaupun polis trafik bertugas di kawasan pusat bandar, mereka masih mempunyai fungsi paru-paru dan tahap ALA yang normal. Walau bagaimanapun, pemakaian kelengkapan perlindungan diri seperti penutup hidung dan mulut disarankan dalam kalangan polis trafik agar dapat meminimumkan pendedahan kepada bahan pencemar udara semasa bertugas.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.