19 Mac 2024, 14:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Trend tular pengambilan kurma bersama-sama mentega pada bulan Ramadan untuk berbuka puasa atau semasa sahur mendapat perhatian orang ramai sejak kebelakangan ini. Kurma kaya dengan nutrien penting seperti serat, vitamin dan mineral, memberikan sumber tenaga yang cepat selepas seharian berpuasa.

Kurma juga mengandungi gula semula jadi yang membantu menambah simpanan glikogen dan mengawal paras gula dalam darah. Selain itu, kurma diketahui dapat membantu penghadaman dan memberikan rasa kenyang. Kelebihan ini menjadikannya pilihan yang ideal sebagai hidangan sahur untuk memberikan tenaga sepanjang hari berpuasa.

Walaupun kurma menawarkan banyak manfaat kesihatan, penambahan mentega menimbulkan kebimbangan, terutamanya mengenai penggunaan yang berlebihan dan potensi kesan negatifnya terhadap kesihatan.

Tidak dinafikan bahawa pengambilan kurma bersama-sama mentega boleh membuka selera, meningkatkan rasa makanan dan memberikan rasa kenyang. Namun demikian, mentega mengandungi lemak tepu yang tinggi yang apabila diambil secara berlebihan, boleh meningkatkan risiko kenaikan berat badan, paras kolesterol dalam darah, penyakit jantung dan masalah kesihatan yang lain. Oleh sebab itu, penting untuk bersederhana apabila memasukkan mentega ke dalam diet, terutamanya semasa berpuasa dalam bulan Ramadan, apabila seseorang itu mungkin lebih cenderung untuk menikmati makanan yang tinggi kalori.

Selain itu, terdapat juga persoalan tentang adakah dengan menggandingkan kurma bersama-sama mentega tulen (pure butter) merupakan pilihan yang lebih baik berbanding dengan marjerin ataupun lemak sapu (fat spread) yang lain? Seseorang itu juga harus peka dan tahu membezakan antara mentega tulen, marjerin dengan sapuan lemak. Hal ini dikatakan demikian kerana ketiga-tiganya menawarkan profil pemakanan dan potensi implikasi kesihatan yang berbeza.

Mentega tulen diperbuat daripada krim atau lemak susu dan tidak menjalani proses penghidrogenan. Mentega juga mempunyai kandungan lemak tepu yang tinggi kerana terhasil daripada lemak susu. Walaupun lemak tepu dikaitkan dengan peningkatan paras kolesterol dan risiko penyakit jantung apabila diambil secara berlebihan, mentega tulen juga mengandungi nutrien yang bermanfaat seperti vitamin A, vitamin D, vitamin E dan vitamin K2.

Lemak sapu dan marjerin berkongsi beberapa persamaan, namun mempunyai perbezaan jika dibandingkan dengan mentega tulen. Marjerin dan lemak sapu ialah sapuan yang digunakan sebagai alternatif kepada mentega yang menawarkan tekstur berkrim yang sesuai untuk disapu pada roti atau digunakan ketika memasak dan membakar. Kedua-duanya biasanya diperbuat daripada minyak sayuran seperti minyak kacang soya, minyak sawit atau minyak bunga matahari yang menjalani proses penghidrogenan untuk memejalkannya. Proses penghidrogenan turut membantu dalam memanjangkan jangka hayat produk ini.

Berbanding dengan marjerin, lemak sapu mengandungi peratusan kandungan air yang lebih tinggi. Kelebihan ini menjadikannya lebih lembut dan lebih mudah disapu walaupun baru dikeluarkan daripada peti sejuk. Sementara itu, marjerin cenderung lebih pejal dan mempunyai tekstur seperti mentega.

Perlu diketahui bahawa proses penghidrogenan dalam penghasilan marjerin dan lemak sapu menyebabkan pembentukan lemak trans. Lemak trans dikaitkan dengan kesan kesihatan yang buruk, terutamanya peningkatan risiko penyakit kardiovaskular. Bahkan, lemak trans dianggap lebih memudaratkan kesihatan berbanding dengan lemak tepu.

Lemak trans bukan sahaja meningkatkan tahap kolesterol “jahat” atau lipoprotein ketumpatan rendah (LDL), malah menurunkan tahap kolesterol “baik” lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL) dan meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular dengan lebih ketara berbanding dengan lemak tepu. Dari segi komposisi, lemak sapu pada kebiasaannya mempunyai kandungan lemak dan kalori yang lebih rendah berbanding dengan marjerin memandangkan komposisi utama marjerin ialah minyak sayuran.

Sebagai perbandingan, walaupun mentega tulen mengandungi tahap lemak tepu yang lebih tinggi, mentega tulen mungkin boleh menjadi pilihan yang lebih baik bagi sesetengah individu apabila diambil secara sederhana sebagai sebahagian daripada diet seimbang. Mentega tulen boleh menyumbang kepada rasa kenyang, meningkatkan rasa makanan dan menjadi sumber vitamin larut lemak.

Tiada satu pun daripada ketiga-tiga jenis sapuan ini menawarkan pilihan yang seratus peratus sihat sepenuhnya. Maka itu, individu perlu bijak memilih pilihan sapuan yang paling sesuai dengan keperluan kesihatan mereka.

Perlu diingatkan juga bahawa, sama ada mentega tulen, marjerin ataupun lemak sapu, pengambilan yang berlebihan tetap akan menyumbang kepada pengambilan lemak dan kalori yang ketara. Berbanding dengan karbohidrat dan protein, lemak membekalkan jumlah kalori yang paling tinggi. Bagi setiap satu gram lemak, kalori yang dihasilkan adalah sebanyak sembilan kalori. Sebagai pertukaran umum, setiap satu sudu teh sumber lemak seperti minyak atau sapuan lemak membekalkan sebanyak 45 kalori.

Oleh hal yang demikian, kepentingan mengamalkan kesederhanaan dan mengambil makanan seimbang dalam bulan mulia ini patut ditekankan. Walaupun kurma dengan mentega boleh dinikmati sebagai sebahagian daripada diet seimbang, memasukkan pelbagai makanan daripada semua kumpulan makanan adalah penting untuk memastikan pengambilan nutrien yang mencukupi. Tambahan pula, menggabungkan protein tanpa lemak, bijirin penuh, buah-buahan dan sayur-sayuran ke dalam makanan boleh membantu mengekalkan tahap tenaga, menyokong kesihatan secara keseluruhan dan mencegah pengambilan makanan yang padat kalori secara keterlaluan.

Sebagai kesimpulannya, walaupun kombinasi kurma dan mentega boleh menawarkan cara yang lazat dan memuaskan untuk berbuka puasa atau mengisi masa sahur, kesederhanaan dan keseimbangan adalah penting untuk diutamakan dalam pilihan diet.

Jika anda ingin mencuba kombinasi kurma dan mentega, hadkan pengambilannya dan tidak perlu untuk mengambil makanan ini setiap hari. Dengan membuat keputusan yang bijak dan memberikan tumpuan kepada makanan yang kaya dengan nutrien, khasiat yang diperlukan boleh diperoleh untuk pengekalan kesihatan yang optimum sepanjang bulan Ramadan.

Dr. Nurul Huda Razalli,
Pensyarah Kanan,
Program Dietetik,
Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE),
Fakulti Sains Kesihatan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.