13 Mac 2024, 13:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Xenoestrogen ialah satu daripada subkategori bagi bahan yang dikenali sebagai pengganggu endokrin atau endocrine disruptors dalam bahasa Inggeris, iaitu sejenis bahan yang mampu memberikan kesan kepada sistem endokrin badan. Xenoestrogen merupakan bahan kimia sintetik yang mirip kepada hormon estrogen semula jadi yang dihasilkan oleh badan. Disebabkan sifat tersebut, xenoestrogen berupaya mengganggu tindakan yang dihasilkan oleh hormon estrogen semula jadi.

 

Kesan Xenoestrogen terhadap Kesihatan

Terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa xenoestrogen berisiko menyebabkan kecacatan semasa fasa perkembangan janin dan mengganggu tumbesaran bayi yang akan lahir. Xenoestrogen juga didapati boleh mengganggu pembentukan organ sistem reproduktif semasa bayi masih di dalam kandungan.Selain itu, xenoestrogen juga dikaitkan sebagai satu daripada faktor risiko kepada beberapa jenis kanser, khususnya yang berkait rapat dengan hormon estrogen dan testosteron seperti kanser payudara, testis serta prostat.

Antara beberapa contoh xenoestrogen termasuklah paraben, benzofenon, ftalat dan triclosan. Bahan-bahan ini digunakan secara meluas sebagai pengawet, pewarna, penstabil dan bahan tambahan lain dalam pembuatan produk penjagaan diri dan alat solek, produk farmaseutikal, sabun pencuci, produk plastik serta racun makhluk perosak.

Memandangkan industri pembuatan produk penjagaan diri banyak menggunakan xenoestrogen, masyarakat harus diberikan penerangan tentang xenoestrogen yang terdapat dalam produk. Dengan cara ini, masyarakat dapat menggunakan maklumat tentang xenoestrogen ketika memilih produk yang ingin digunakan.

Penggunaan Xenoestrogen dalam Produk Penjagaan Diri

Bahan yang tergolong sebagai xenoestrogen seperti paraben, benzofenon, ftalat dan triclosan diketahui telah digunakan secara meluas dalam industri pengeluaran produk penjagaan diri. Bahkan, bahan ini turut dinyatakan pada label setiap produk tersebut. Persoalannya, sejauh manakah bahan ini berupaya meningkatkan risiko kesihatan kepada pengguna?

  • Paraben

Paraben berfungsi sebagai bahan pengawet yang membantu merencat pertumbuhan mikroorganisma dan seterusnya memanjangkan jangka hayat sesuatu produk. Paraben yang biasa digunakan termasuklah metilparaben, etilparaben dan propilparaben. Paraben didakwa dapat meningkatkan risiko kanser, terutamanya kanser payudara kerana bahan ini bersifat estrogenik.

Namun begitu, hingga kini, tiada kajian yang melibatkan manusia pada skala besar yang menunjukkan paraben dapat menghasilkan kesan tersebut kepada manusia. Beberapa kajian di dalam makmal yang melibatkan haiwan dan sel juga tidak menunjukkan keputusan yang konsisten. Oleh sebab itu, penggunaan paraben pada kepekatan yang dibenarkan telah dinilai sebagai selamat untuk digunakan dalam produk kosmetik.

  • Benzofenon

Benzofenon mempunyai sifat yang mampu menapis sinaran ultraungu (UV). Bahan ini sering digunakan untuk mengelakkan kehilangan haruman dan warna yang terdapat pada sabun dan minyak wangi akibat terdedah kepada sinaran UV. Benzofenon juga banyak digunakan sebagai lapisan pelindung pada pembungkusan kaca atau plastik yang jernih. Benzofenon dikatakan dapat mempengaruhi fungsi hormon estrogen semula jadi dan hormon tiroid.

Walau bagaimanapun, kajian menunjukkan bahawa benzophenone hanya mula memberikan kesan kepada sel yang diuji pada kepekatan yang sangat tinggi. Kajian melibatkan manusia untuk melihat kadar penyerapan benzofenon yang disapu pada kulit pula menunjukkan bahawa kepekatan benzofenon yang diserap masuk ke dalam darah adalah terlalu rendah dan tidak memberikan kesan kepada hormon tiroid di dalam badan.

  • Ftalat

Ftalat sering dijadikan pelarut dalam penghasilan minyak wangi, penyembur rambut, losen badan dan pengilat kuku kerana sifatnya yang larut minyak dan likat. Dua jenis ftalat yang biasa digunakan dalam produk kosmetik adalah dietil ftalat (DEP) dan dimetil ftalat (DMP). DEP dan DMP lazimnya digunakan pada tahap kepekatan yang rendah. Kedua-duanya selamat digunakan dalam produk kosmetik, termasuklah produk yang diformulasikan untuk bayi dan kanak-kanak.

Penggunaan ftalat dikaitkan dengan kesan mudarat kepada sistem reproduktif lelaki, termasuklah semasa fasa pembentukan organ reproduktif dan penghasilan hormon testosteron. Namun demikian, dakwaan ini tidak ditunjukkan secara konklusif oleh kajian saintifik. Sebagai contohnya, beberapa siri kajian epidemiologi yang melibatkan manusia menunjukkan bahawa kepekatan ftalat yang diperoleh daripada produk penjagaan diri adalah terlalu rendah untuk menyebabkan kesan negatif kepada sistem endokrin dan reproduktif.

  • Triclosan

Triclosan sering digunakan sebagai antimikrob dalam proses penghasilan sabun buku dan cecair, ubat kumur serta ubat gigi. Penggunaan triclosan didakwa berisiko menyebabkan gangguan kepada sistem endokrin yang meliputi fungsi hormon estrogen, testosteron dan tiroid. Walau bagaimanapun, kajian masih belum dapat menunjukkan kaitan antara triclosan yang terkandung dalam produk penjagaan diri dengan risiko kesihatan seperti yang diperkatakan.

Nasihat untuk Pengguna

Pengguna disarankan untuk memilih produk penjagaan diri yang bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Produk yang bernotifikasi menunjukkan bahawa syarikat yang memasarkan produk tersebut telah mengambil tanggungjawab untuk memastikan produk yang dipasarkan adalah selamat dan berkualiti. Hal ini termasuklah dalam memastikan kuantiti bahan daripada kumpulan xenoestrogen yang terkandung di dalam produk tersebut tidak melebihi paras yang dibenarkan.

Sehubungan dengan itu, orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi produk tersebut dengan melayari portal Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). Semakan status notifikasi produk boleh dilakukan menerusi fungsi Carian Produk yang terdapat dalam laman web NPRA. Sebagai alternatif, orang awam juga disarankan untuk memuat turun aplikasi telefon pintar NPRA Product Status melalui gedung Android Play Store, Apple Apps Store atau Huawei Apps Gallery.

Pengguna juga dinasihatkan agar sentiasa meneliti maklumat bahan yang terkandung dalam sesuatu produk penjagaan diri dan memilih produk yang bersesuaian dengan diri sendiri. Cara penggunaan produk yang dinyatakan pada label atau pek pembungkusan produk juga harus dibaca dengan teliti, difahami dan dipatuhi. Maklumat tersebut termasuklah dari segi cara penyimpanan dan tarikh luput produk.

Meskipun terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa penggunaan xenoestrogen dalam produk penjagaan diri berisiko mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan, namun kajian saintifik yang telah dilakukan setakat ini menunjukkan bahawa kandungan xenoestrogen yang rendah didapati tidak berupaya untuk menyebabkan kesan negatif tersebut. Pemilihan produk penjagaan diri yang bernotifikasi dan cara penggunaan yang betul dapat membantu pengguna mengekalkan risiko ini pada tahap yang rendah. Pada masa yang sama, para penyelidik disarankan untuk terus mengkaji tentang xenoestrogen dan kesannya kepada kesihatan manusia agar penggunaan produk yang mengandungi bahan ini kekal selamat.

 

Mohd Shahiri Abd Ghapar
Pegawai Farmasi,
Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi,
Program Perkhidmatan Farmasi,
Kementerian Kesihatan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.