26 Mac 2024, 13:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Hasil pemantauan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hingga 25 Mac 2024 mendapati bahawa sebanyak 28 kes penyakit berkaitan dengan haba telah dilaporkan.

KKM dalam kenyataannya berkata, cuaca panas yang berpanjangan berupaya memudaratkan kesihatan dan menyebabkan seseorang itu mengalami kekejangan haba, kelesuan haba dan strok haba.

“Sebanyak 19 kes kelesuan haba dan sembilan kes strok haba telah dilaporkan, manakala tiada kes kekejangan haba direkodkan,” kata KKM dalam kenyataan itu.

Kesemua penyakit berkenaan dilaporkan dari Kedah (lapan kes), Perak (tujuh kes), Selangor (tiga kes), Negeri Sembilan (tiga kes), Sabah (tiga kes), Perlis (dua kes), Johor (satu kes) dan Pahang (satu kes) yang melibatkan sebanyak 23 orang pesakit berumur antara 20 tahun hingga 59 tahun serta lima orang remaja yang berumur antara 13 tahun hingga 19 tahun.

KKM menyatakan bahawa kes kematian akibat strok haba melibatkan seorang lelaki yang berusia 22 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh, Pahang pada 31 Januari 2024 dan meninggal dunia pada 2 Februari lalu.

Katanya, seorang lagi pesakit lelaki berumur 24 tahun yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Port Dickson akibat strok haba dilaporkan masih tidak stabil.

Kes strok haba melibatkan seorang lelaki berumur 22 tahun yang dirawat di ICU Hospital Sultanah Maliha, Langkawi pula telah dipindahkan ke wad biasa dan dilaporkan stabil, manakala 25 kes lain telah mendapatkan rawatan dan sembuh.

KKM juga memaklumkan bahawa Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) turut menjangkakan kebanyakan tempat di Semenanjung Malaysia dan Sabah masih mengalami cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius hingga April ini.

Merujuk status cuaca yang dikeluarkan oleh MET Malaysia, KKM menjelaskan bahawa Perlis telah mengalami gelombang haba, iaitu suhu maksimum hariannya melebihi 37 darjah Celsius hingga 40 darjah Celsius sejak 19 Mac lalu.

Selain itu, sebahagian besar negeri yang mengalami cuaca panas tahap satu, iaitu suhu maksimum hariannya melebihi 35 darjah Celsius hingga 37 darjah Celsius termasuklah Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Kota Setar, Kuala Muda, Pendang, Sik, Baling, Kulim); Perak (Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar); Kelantan (Jeli, Kuala Krai, Gua Musang); Pahang (Jerantut, Bentong, Raub, Maran, Bera, Temerloh); Melaka (Tampin, Alor Gajah, Melaka Tengah, Jasin); Negeri Sembilan (Kuala Pilah, Rembau, Tampin, Jelebu, Seremban, Jempol); Johor (Tangkak, Muar, Johor Bahru, Kulai, Kluang, Segamat); Kuala Lumpur; Putrajaya dan Sepang.

Semua pihak dinasihatkan agar memastikan tahap hidrasi yang mencukupi dan mengurangkan aktiviti fizikal lasak serta aktiviti di luar rumah ketika cuaca panas pada masa ini.

Untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan dengan status cuaca panas, orang awam boleh melayari laman sesawang Met Malaysia dan langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca panas di laman sesawang KKM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.