22 April 2024, 17:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) komited dalam menangani isu pencemaran plastik di persekitaran akuatik, sekali gus berusaha mencapai sasaran pengurangan pengeluaran plastik global sebanyak 60 peratus menjelang tahun 2040.

DOF melalui Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) sebelum ini telah membangunkan kajian pencemaran mikroplastik dan makroplastik di persekitaran akuatik Semenanjung Malaysia, khususnya di bahagian barat laut dan pantai timur, Labuan serta dalam tisu ikan komersial dan kerang-kerangan.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, YBhg. Dato’ Adnan Hussain dalam satu kenyataan, hasil kajian yang dilaksanakan mendapati bahawa jenis plastik seperti rayon, polietilena dan polipropilena digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian, terutamanya dalam industri pakaian, pembungkusan makanan dan industri lain.

Tambah beliau, bahan kimia seperti bisfenol A dan ftalat yang digunakan dalam penghasilan plastik boleh dirembes dan berakumulasi dalam persekitaran serta sumber makanan, sekali gus mencetuskan kebimbangan dari segi kesan jangka masa panjang terhadap kesihatan.

Ujar beliau, masalah kesihatan seperti ketidakseimbangan hormon dan masalah reproduksi yang ada hubung kait antara bahan kimia tersebut banyak dilaporkan.

Pertumbuhan dan kualiti ikan juga terjejas seperti mengalami tekanan oksidatif, keradangan, imunotoksik, genotoksik, kerosakan asid deoksiribonukleik serta mengubah mikrobiota usus akibat pendedahan berterusan mikroplastik pada kepekatan yang tinggi kepada ikan.

Selain itu, kepadatan mikroplastik yang tinggi di pantai penetasan penyu bukan sahaja meningkatkan suhu pasir, malah mengancam perkembangan penetasan penyu.

Tegas beliau, kerjasama daripada semua pihak termasuklah kerajaan, perniagaan, komuniti hinggalah kepada setiap individu sangat diperlukan dengan mengambil langkah bersepadu bagi mengurangkan pencemaran dan penggunaan plastik, meningkatkan kecekapan sistem pengurusan sisa serta menggalakkan penggunaan bahan alternatif lain.

DOF menyeru agar semua pihak bersama-sama melindungi bumi daripada kesengsaraan pencemaran plastik dengan membuat pilihan yang tepat dalam kehidupan seharian kerana kesedaran inilah yang akan menyumbang kepada masa hadapan yang lebih sihat bagi generasi akan datang.

Untuk makluman, tarikh 22 April telah diisytiharkan sebagai Hari Bumi Sedunia pada setiap tahun sebagai peringatan akan tanggungjawab untuk menjaga planet bumi bagi kemampanan generasi akan datang dan tema yang dipilih untuk tahun ini ialah “Planet vs Plastics”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.