24 April 2024, 14:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bandar Sunway – Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) sekali lagi memenangi Anugerah Hospital Terbaik (Malaysia) dalam Healthcare Asia Awards 2024.

SMC berjaya meraih pencapaian yang berprestij ini untuk tahun ketiga berturut-turut berdasarkan komitmennya yang tinggi terhadap inovasi, menetapkan piawaian baharu dalam penjagaan kesihatan dan memberikan sumbangan besar kepada masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif SMC, YBrs. Dr. Seow Vei Ken menzahirkan penghargaan kepada semua warga kerja SMC atas sumbangan kolektif yang diberikan dalam mencapai kejayaan tersebut.

Semangat kami dalam penjagaan pesakit sentiasa mendorong kami untuk mencapai kecemerlangan dan pengiktirafan ini sekali lagi membuktikan tahap dedikasi kami yang tinggi. Pengiktirafan selama tiga tahun berturut-turut daripada agensi yang terkemuka bukan sekadar satu pencapaian, malah mencerminkan komitmen kami untuk memberikan penjagaan kesihatan terbaik.

“Memenangi anugerah ini bukan hanya merujuk satu pencapaian, malah menjadi batu loncatan untuk mendorong kami agar terus mencapai tahap yang lebih tinggi dalam memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan terbaik kepada orang ramai. Pencapaian ini menyerikan lagi tahun 2024, terutamanya bagi kami yang menyambut ulang tahun ke-25 pada tahun ini,” katanya lagi.

Baru-baru ini, SMC juga telah tersenarai antara 250 hospital terkemuka dunia dalam ranking Hospital Terbaik Dunia Newsweek 2024.

SMC juga menerima akreditasi daripada Australian Council on Healthcare Standards dan Malaysian Society for Quality in Health.

SMC ditubuhkan pada tahun 1999 dan merupakan hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia yang mempunyai sebanyak 724 buah katil berlesen dan mempunyai lebih daripada 60 orang pakar.

SMC mempunyai sebanyak 28 pusat kecemerlangan serta pasukan yang terdiri daripada pelbagai disiplin yang disokong oleh lebih 3500 golongan profesional penjagaan kesihatan dan hospitaliti yang berdedikasi dalam menyediakan rawatan khusus berdasarkan pendekatan secara holistik.

SMC juga buat julung-julung kalinya memenangi anugerah Inisiatif Promosi Kesihatan Terbaik (Health Promotion Initiative of the Year) berdasarkan pendekatan pemasaran holistik 360 darjah dalam mempromosikan penjagaan kesihatan di Malaysia.

Healthcare Asia Awards merupakan program pengiktirafan khas untuk hospital cemerlang di seluruh Asia yang mentakrifkan semula standard kecemerlangan dalam industri penjagaan kesihatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.