Diterbitkan pada 20 April 2024, 17:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Program Paraplegia Fitness Integrated Training (PARAFiT) anjuran Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas (ICaRehab), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertujuan meningkatkan kecergasan dan interaksi sosial dalam kalangan pesakit yang mengalami kecederaan saraf tunjang melalui aktiviti fizikal.

Program yang bertemakan “Kayak-kayak Raya” itu diadakan di Anjung Floria, Putrajaya dengan kerjasama Malaysian Spinal Cord Injury Advocacy Association (MASAA) dan Persatuan Orang Kurang Upaya Putrajaya (PROcJAYA).

PARAFiT merupakan program yang direka khas oleh YBrs. Dr. Noor Hafifi Noorhisham dari ICaRehab, FSK, UKM untuk meningkatkan dan mengekalkan kecergasan fizikal melalui senaman atau aktiviti fizikal bagi individu yang mengalami kecederaan saraf tunjang.

Menurut Pengerusi Kumpulan Niche Kajian “Psychosocial Enhancement and Advanced Rehabilitation for Adults (PEARL)”, YBrs. Dr. Fatimah Hani Hassan, program seumpama ini seharusnya diteruskan dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti fizikal lain seperti memancing, berkhemah atau berenang bagi meningkatkan kecergasan dan kesihatan dalam kalangan populasi kecederaan saraf tunjang, khususnya dalam komuniti.

Dalam program itu, peserta program yang melibatkan pelajar tahun akhir Program Fisioterapi UKM telah menjalani saringan kesihatan sebelum berkayak dan kebanyakan daripada peserta memberikan maklum balas yang positif dan teruja dengan pelaksanaan aktiviti ini.

Peserta menjalani ujian saringan kesihatan.

Menerusi program ini, para peserta berpeluang mencuba aktiviti yang mencabar fizikal seperti memindahkan badan daripada kerusi roda ke kayak, menyeimbangkan badan ketika berada di atas kayak dan menggunakan keseluruhan kekuatan otot, jantung dan paru-paru untuk berkayak, sekali gus dapat membakar banyak kalori yang akan meningkatkan kesihatan diri para peserta.

Aktiviti berkayak oleh para peserta.
Peserta sedang berinteraksi dan menyeimbangkan badan melalui aktiviti berkayak.

Program tersebut diakhiri dengan pemberian cenderamata kepada MASAA dan Penaung MASAA merangkap Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya, YBrs. Profesor Nazirah Hasnan yang turut hadir dalam program berkenaan serta pihak PROcJAYA.

Penyerahan cenderamata kepada pihak MASAA.
Penyerahan cenderamata kepada pihak PROcJAYA.
Cenderamata kepada Penaung MASAA merangkap Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya, YBrs. Profesor Nazirah Hasnan.

Pada masa yang sama, sesi penghargaan kepada Geran Galakan Pensyarah Muda (GGPM 2023-071), UKM juga diadakan atas penajaan program tersebut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi