26 Mac 2024, 13:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Bengkel Training of Trainers bagi program COMEL yang menggunakan Teoriya Resheniya Izobretatelskikh Zadatch (TRIZ) dianjurkan untuk memupuk minat pelajar menyambung pelajaran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan mengintegrasikan pemikiran pengkomputeran dalam bahasa Inggeris.

Program yang menggunakan teori menyelesaikan masalah inventif itu dikhususkan kepada pelajar sekolah rendah di sekitar negeri Perlis dan diadakan di Bilik Mesyuarat Perdana, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Perlis, Kampus Arau dari pukul 8.00 pagi hingga pukul 5.00 petang.

Program TRIZ ialah sistem terbuka yang dicipta oleh pakar paten Rusia, Genrikh Saulovich Altshuller untuk meningkatkan keupayaan inovasi penggunanya melalui proses sistematik dan memberikan pengalaman mempelajari bahasa inggeris dengan pendekatan yang interaktif, seronok dan tematik.

Penganjuran program tersebut merupakan hasil jalinan kerjasama antara UiTM Cawangan Perlis, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE).

UiTM Cawangan Perlis diwakili oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, Puan Eliy Nazira Mat Nazir, YBrs. Dr. Nursyamilah Annuar, YBrs. Dr. Nur Fatihah Fauzi dan Encik Sharir Aizat Kamaruddin, manakala UKM diwakili oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Wahiza Wahi dan YBrs. Dr. Ahmad Hanif Ahmad Baharin serta Pengurus Eksekutif FcoEE, Puan Amalina Basir yang mewakili pihak FcoEE.

Dalam program berkenaan, peserta terdiri daripada guru bahasa Inggeris dari Sekolah Kebangsaan (SK) Arau, Sk Jelempok, SK Behor Empiang dan SK Stella Maris.

Sesi permulaan program dimulakan dengan penerangan konsep integrasi pemikiran komputasional (computational thinking) dan pemakluman mengenai kejayaan program COMEL yang pernah dijalankan di pelbagai sekolah terpilih di sekitar negeri Kedah oleh YBrs. Dr. Ahmad Hanif Ahmad Baharin dan Profesor Madya Dr. Wahiza Wahi.

Seterusnya, sesi perbincangan tentang struktur dan pelaksanaan program yang melibatkan UiTM Cawangan Perlis dan pihak sekolah diadakan, diikuti dengan sesi pembinaan dan penambahbaikan modul COMEL.

Pada waktu petang pula, terdapat sesi pembentangan modul oleh para peserta dan menambah baik modul yang dibina agar dapat mencapai objektif program berkenaan.

Para peserta sedang menyediakan bahan modul bagi program COMEL di Bilik Mesyuarat Perdana, UiTM Cawangan Perlis.

Inisiatif seumpama ini perlu disokong oleh semua pihak kerana pendidikan berteraskan STEM merupakan elemen penting dalam usaha kemenjadian pelajar bagi memenuhi kehendak arus globalisasi dan sebagai kaedah untuk meningkatkan daya saing sejagat sesebuah negara.

Turut hadir dalam program yang mampu merancakkan sektor sains dan teknologi itu ialah para pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.