24 Mac 2024, 14:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur  Pengesanan awal dan pemberian rawatan yang secepat mungkin kepada pesakit tibi perlu dipertingkat.

Kementerian Kesihatan Malaysia dalam kenyataannya berkata, statistik semasa penyakit tibi di negara ini amat membimbangkan dan menjejaskan kualiti hidup rakyat Malaysia.

“Individu yang berisiko tinggi dijangkiti tibi seperti pesakit human immunodeficiency virus (HIV), pesakit buah pinggang kronik, penghidap pulmonari kronik (jenis obstruktif), perokok aktif dan individu yang mempunyai kontak kepada kes tibi disarankan untuk melakukan saringan,” kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Menurut beliau, penyebaran penyakit tibi yang berpunca daripada bakteria Mycobacterium tuberculosis bukan sahaja menjangkiti paru-paru yang merupakan organ utama di dalam badan, malah organ lain seperti otak, tulang belakang, kelenjar limfa dan perut turut menerima jangkitan.

Antara gejala tibi termasuklah batuk yang berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh pada waktu malam, kurang selera makan, berat badan menyusut dan batuk berdarah.

Tegas beliau, salah faham tentang gejala penyakit tibi yang disebabkan oleh santau, buatan orang atau penyakit keturunan perlu diperbetul agar individu yang mempunyai gejala tersebut mendapat pemeriksaan dan rawatan awal di klinik kesihatan atau hospital yang berhampiran.

YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad juga menyarankan agar pesakit mematuhi jadual rawatan dan berbincang dengan penyelia rawatan jika menghadapi sebarang masalah atau kesan sampingan daripada pengambilan kombinasi ubat antibiotik yang perlu diambil pada setiap hari selama tidak kurang daripada enam bulan.

Kaedah pengesanan penyakit tibi menggunakan teknologi terkini yang lebih tepat dan cepat sedang dilaksanakan secara berfasa serta pelaksanaan regim rawatan yang lebih pendek sedang diperhalusi.

Menurutnya, kaedah maya telah dilaksanakan secara projek rintis mulai Julai tahun lalu sebagai alternatif kepada pengambilan ubat tibi harian secara fizikal di klinik kesihatan yang melibatkan 27 buah klinik kesihatan terpilih di lima buah negeri dan akan diperluas ke semua negeri pada tahun ini.

Tindakan perundangan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) boleh dikenakan terhadap pesakit yang berhenti mengambil rawatan dan enggan meneruskan rawatan tibi.

Untuk rekod, Hari Tibi Sedunia yang disambut pada 24 Mac setiap tahun bertujuan memperingati sejarah penemuan bakteria Mycobacterium tuberculosis oleh Dr. Robert Koch pada 24 Mac 1882.

Sambutan Hari Tibi Sedunia yang bertemakan “Ya, Kita Boleh Hentikan Tibi!” diadakan bagi menyeru sokongan dan komitmen semua individu dan lapisan masyarakat untuk menghentikan penyakit tibi yang masih menjadi satu beban penyakit utama di negara ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.