Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Berembang bukit atau nama saintifiknya, Duabanga grandiflora (Roxb. ex DC.) Walp. ialah spesies yang dikategorikan dalam famili Lythraceae dan order Myrtales. Nama tempatan yang lain bagi spesies ini ialah berembang bukit atau magasawih.

Nama genusnya, Duabanga merujuk perkataan bangsa Benggali, Duyabanga. Epitet spesiesnya pula, grandiflora bermaksud besar (grandi) dan bunga (flora) yang merujuk sifat bunganya yang berwarna putih, bersaiz besar dan mudah dilihat dari jauh.

Spesies ini juga pernah diletakkan dalam famili Sonneratiaceae bersama-sama genus Sonneratia (berembang, gedabu, pedada dan perepat). Kumpulan ini merujuk spesies pokok yang biasa ditemukan di hutan paya bakau yang meluas dari timur Afrika ke kepulauan Pasifik, termasuklah di Malaysia.

Secara umumnya, berembang bukit yang tertabur secara semula jadi meluas dari barat Himalaya, Kepulauan Andaman, Assam, Bangladesh, Kemboja, bahagian tengah dan selatan China, timur Himalaya, Laos, Myanmar, Nepal, Vietnam, Thailand dan Semenanjung Malaysia. Nama spesies ini telah diberikan oleh ahli botani berbangsa Jerman, Wilhelm Gerhard Walpers (Walp.) pada tahun 1843.

Dalam penerbitan terdahulu, nama spesies ini dikenali sebagai D. sonneratioides Buch.-Ham. Satu lagi spesies, iaitu D. moluccana Blume pula mempunyai taburan dari Borneo ke timur Jawa hingga ke Papua New Guinea. Selain itu, terdapat satu hibrid di kepulauan Jawa, iaitu Duabanga × taylorii Jayaw yang merupakan hasil kacukan antara D. grandiflora dengan D. moluccana yang pertama kali dilaporkan pada tahun 1967.

Habit atau bentuk pertumbuhan bagi spesies ini ialah pokok bersaiz sederhana hingga besar yang mencapai ketinggian antara 35 meter hingga 40 meter di habitat semula jadi. Batang pokok ini lurus seperti silinder dan mempunyai banir yang kecil. Silaranya pula berbentuk oblong dan monopodium.

Dahan bagi spesies ini cenderung merebak secara mendatar ke semua arah. Apabila telah tua, daun akan gugur daripada batang.

Batang pokok ini berwarna kelabu dan licin berlentisel sebelum menjadi kasar. Kayu gubalnya lembut dan berwarna putih, manakala ranting berbentuk segi empat atau bersayap.

Kulit batang pokok berembang bukit yang merekah dan kasar.

Daun bagi spesies ini disusun bersetentang. Petiol pula berukuran 1.2 sentimeter panjang. Daun mudanya berwarna merah jambu-kemerahan.

Daun yang matang pula berwarna hijau pada permukaan adaksial daun dan berbentuk oblong. Di pangkal daun pula, terdapat bentuk yang seakan-akan hati.

Permukaan abaksial daun pula sedikit glaukus (keputihan) yang berukuran antara dua sentimeter hingga 15 sentimeter panjang dan antara lima sentimeter hingga tujuh sentimeter lebar. Permukaan daun ini juga mempunyai urat sekunder sebanyak 12 pasang hingga 24 pasang.

Permukaan abaksial daun berembang bukit yang sedikit glaukus.

Bunga bersaiz besar secara relatif antara lima sentimeter hingga tujuh sentimeter lebar dan berada dalam kumpulan sebanyak 20 kuntum hingga 30 kuntum. Enam kelopak bunga berwarna putih muncul pada jambak bunga korim yang terkulai daripada hujung dahan.

Sepal pula berwarna hijau di bahagian luar, putih di dalam dan akan berkembang pada peringkat buah. Bilangan stamen bagi spesies ini banyak dan pada kebiasaannya melebihi 50 stamen dan berwarna putih.

Bau bunga spesies ini adalah tidak menyenangkan, namun penting dalam proses pendebungaan untuk menarik perhatian agen pendebunga. Bunga ini mula kembang pada sebelah petang, mekar pada waktu malam dan gugur pada keesokan hari.

Bunga berembang bukit sedang mekar dengan kelopak bunga yang besar.

Kelawar pemakan nektar (Eonycteris spelaea) adalah antara pendebunga utama bagi spesies ini. Ciri pendebungaan oleh kelawar ini hampir sama dengan spesies dalam genus Sonneratia, Durio (durian), Parkia (petai) dan Syzygium malaccense (jambu bol).

Buah bagi tumbuhan ini berbentuk membulat atau subglobos kapsul yang berukuran antara dua sentimeter hingga empat sentimeter panjang dan empat sentimeter lebar. Buah bagi spesies ini berwarna hijau sebelum bertukar menjadi jingga keperangan dan akhirnya akan menjadi warna hitam apabila ranum. Bijinya pula kecil, yakni sekitar 0.4 sentimeter hingga 0.6 sentimeter, sangat ringan dan disebarkan oleh angin.

Buah berembang bukit yang tergantung bila matang kerana buahnya yang besar dan berat.

 

Buah berembang bukit yang ranum dan memecah.

Pada kebiasaannya, spesies ini tumbuh di kawasan terbuka di tepi sungai, di hutan tanah rendah hingga altitud 1000 meter dari paras laut. Spesies ini juga biasa dilihat tumbuh di tepi jalan di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia seperti Kelantan, Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Pahang dan Kedah. Sementara itu, di sekitar Banjaran Titiwangsa pula, spesies ini selalunya tumbuh di kawasan lembah.

Beberapa nilai ekonomi bagi spesies berembang bukit sesuai termasuklah dimanfaatkan dalam pembinaan dalaman, peti dan perabot kayu kerana kayunya yang lembut, mudah dipotong dan dilenturkan. Kulit kayu bagi spesies ini juga boleh digunakan untuk menuba (meracun) ikan.

Dalam amalan perubatan tradisional, daun spesies ini yang ditumbuk boleh digunakan sebagai tuam untuk sakit perut. Buah yang muda juga dilaporkan boleh dimakan dan berpotensi sebagai sumber makanan untuk kemandirian di hutan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.