21 Mac 2024, 15:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hutan Sarawak dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah melaksanakan pelbagai usaha dan inovasi agar sektor perhutanan di negara ini berkembang dan sentiasa relevan mengikut peredaran masa.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Yang Berhormat (YB) Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan, hasil inovasi dapat menambah baik pelaksanaan amalan pengurusan hutan secara berkekalan serta membantu organisasi membuat keputusan dengan cekap, tepat dan berkesan.

“Inovasi dan penggunaan teknologi seperti satelit, dron dan sistem maklumat geografi dapat meningkatkan keberkesanan aktiviti pemantauan sumber hutan negara dalam mengesan sebarang perubahan di hutan simpanan kekal akibat aktiviti pencerobohan dan penerokaan hutan, pembalakan haram, perubahan litupan hutan dan kebakaran hutan,” kata YB Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau menyatakan bahawa JPSM telah menubuhkan sebuah bilik gerakan yang menjadi pusat sehenti dan menggunakan sistem seperti e-Geospatial Perhutanan (e-GP), Forest Monitoring Using Remote Sensing (FMRS Plus) dan Forest Fire Big Data Analytics (BDA) bagi pemantauan kawasan berhutan di Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, Jabatan Perhutanan Sabah dengan kerjasama Agensi Angkasa Malaysia telah membangunkan sistem iForSabah bagi aktiviti pemantauan hutan di Wilayah Sabah.

Tambah beliau, Jabatan Hutan Sarawak pula telah membangunkan sistem Continuous Monitoring of Surveillance (COMOS) yang menggabungkan analisis imej satelit dan mengesahkan titik koordinat menggunakan pesawat yang dilengkapi dengan sistem cerapan udara hiperspektral bagi membantu tindakan penguatkuasaan dan pemantauan sumber asli negara di Wilayah Sarawak.

Penggunaan teknologi sains forensik seperti pengecaman kayu melalui kaedah asid deoksiribonukleik (DNA) yang dibangunkan oleh FRIM telah membantu JPSM melaksanakan siasatan terhadap kesalahan hutan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] melalui kaedah identifikasi spesies kayu serta pengesanan asal usul geografi di sepanjang rantaian penjagaan.

Katanya, FRIM telah mewujudkan pangkalan data DNA (barkod DNA) pada masa ini bagi membantu industri perkayuan untuk mensahihkan spesies kayu untuk 12 spesies pokok tropika penting seperti bakau kurap, bakau minyak, cengal, kapur, karas, keladan, kempas, merbau, meranti bukit, meranti seraya, meranti tembaga dan ramin malawis.

Beliau juga berkata, inovasi teknik penanaman yang menggabungkan penggunaan teknologi telah dibangunkan oleh Jabatan Hutan Sarawak melalui penghasilan bebola benih yang dikenali sebagai sarabom melalui Projek Seed Ball: Throw and Grow sebagai satu daripada usaha penghijauan dan restorasi hutan terosot di Wilayah Sarawak.

Penanaman semula hutan dengan dron khas dan alat seedball blaster dapat menjimatkan masa dan kos di samping menggantikan kaedah konvensional yang perlahan dan sukar.

Tidak ketinggalan, FRIM juga telah menghasilkan teknik penanaman inovatif, iaitu Comp-Mat dan Comp-Pillow di kawasan hutan paya laut yang berisiko.

Untuk mengurangkan kesan ombak bagi tujuan pengekalan hutan paya laut, JPSM telah bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran dalam menghasilkan inovasi struktur pemecah ombak dan pencegah hakisan seperti wave attenuator di Sungai Kilim, Langkawi, Kedah dan coastal block di Tanjung Piai, Johor.

Jelasnya, melalui inovasi pendigitalan berteraskan Internet benda, kini JPSM giat melaksanakan Projek Pendigitalan Sumber dan Operasi Hutan di Semenanjung Malaysia bagi menggantikan sistem kerja manual sebahagian proses pengusahasilan hutan di jabatan perhutanan negeri, sekali gus meningkatkan kecekapan dan produktiviti, khususnya dalam perancangan, pengurusan dan pemantauan hasil hutan selain menjadi pemangkin ke arah transformasi maklumat yang komprehensif dan berkualiti.

Pada masa yang sama, kementerian juga menyediakan insentif kewangan bagi konservasi biodiversiti dan hutan, yakni Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) yang telah ditingkatkan kepada RM200 juta pada tahun ini untuk memperkasakan kerajaan negeri dalam usaha memulihara dan mewartakan kawasan perlindungan.

Peruntukan EFT dapat dimanfaatkan bagi melaksanakan pelbagai program pemeliharaan dan pemuliharaan hutan serta kepelbagaian biologi.

Tegas beliau, penggunaan teknologi terkini dan kesedaran terhadap kepentingan inovasi dalam mencari penyelesaian baharu demi memelihara dan memulihara khazanah hutan negara hendaklah terus diperkukuh dalam mengekalkan kelestarian alam.

Kerajaan akan terus komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi pokok dan kawasan hutan selaras dengan komitmen negara semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada tahun 1992.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.