Oleh Hamdan Abu
21 Mac 2024, 10:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Artikel ini disediakan bersempena dengan Hari Juruukur Sedunia 2024 yang disambut pada 21 Mac 2024.

Juruukur merupakan kerjaya yang tidak kurang pentingnya dalam pembangunan Malaysia. Seseorang juruukur perlu menguasai pelbagai kemahiran dan teknik yang berkaitan dengan sumber, bahan atau sumber semula jadi, misalnya daratan (tanah), lautan, bangunan dan struktur yang dibina oleh manusia. Dalam tugas seharian, juruukur juga perlu bekerjasama dengan profesion lain, termasuklah berhubung dengan jabatan atau agensi kerajaan yang berkaitan.

Terdapat empat kepakaran kerjaya juruukur yang berbeza di Malaysia, iaitu juruukur tanah (GLS), juruukur bahan (QS), juruukur hartanah (PS) dan juruukur bangunan (BS). Walaupun berbeza kepakaran, matlamat mereka adalah sama, iaitu untuk memberikan perkhidmatan “pengukuran” profesional kepada pelanggan bagi menjayakan sesuatu projek pembangunan. Juruukur yang berkelayakan oleh badan penilainya juga layak untuk menggunakan gelaran “Sr.” pada awal nama mereka.

GLS ialah seorang yang profesional dari segi kelayakan akademik dan kepakaran teknikal seperti melakukan tugasnya untuk menilai maklumat sains bagi sesebuah kawasan geografi. Maklumat tersebut digunakan untuk merancang pentadbiran tanah di darat, laut dan struktur di atasnya.

Lazimnya, GLS melakukan tugas pengukuran di kawasan tanah untuk mencari atau meletakkan batu sempadan. Tugas ini dilakukan dengan menggunakan peralatan mengukur berwarna kuning yang dikenali sebagai total station. Alat ini berfungsi secara digital untuk memperoleh bacaan jarak dan sudut secara automatik.

GLS ketika menjalankan kerja mengukur sempadan tanah. Peralatan wajib bagi GLS dikenali sebagai total station (berwarna kuning).

Dalam bidang pembinaan pula, seorang QS merupakan individu yang pakar dalam menentukan kos pembinaan, penggunaan bahan dan pengurusan projek bagi pembinaan bangunan, kejuruteraan awam mahupun pembinaan, pembangunan infrastruktur atau kejuruteraan berat.

PS pula ialah individu profesional yang menyediakan perkhidmatan pakar hartanah kepada pelanggan yang terdiri daripada syarikat, institusi, badan berkanun, pemilik, pelabur, tuan tanah dan penyewa. Mereka juga bekerja sebagai penilai, pengurus hartanah, ejen hartanah dan perunding harta.

Dalam pentadbiran bangunan pula, BS menawarkan perkhidmatan pakar mengenai perkara yang berkaitan dengan pembangunan hartanah seperti pengurusan projek dan pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan bangunan. Kerja pengubahsuaian dan pemulihan hartanah lama, undang-undang dan peraturan bangunan, kerja perobohan dan pembangunan hartanah juga merupakan tugas BS.

Kesemua empat kepakaran berkenan juga bertindak sebagai penghubung penting antara profesion lain seperti arkitek, jurutera, perancang bandar dan pembinaan di samping menyediakan perkhidmatan perhubungan. BS juga merupakan perunding dengan pihak berkuasa awam dan tempatan untuk pelanggannya.

Kerjaya juruukur di Malaysia dikawal selia oleh badan profesional mengikut bidangnya. Di samping itu, juruukur juga mempunyai pertubuhan berdaftar atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masing-masing untuk meningkatkan kemahiran dan mencambah minda dalam kerjaya mereka.

Badan Profesional

Badan profesional yang mentadbir urus QS ialah Lembaga Juruukur Bahan Malaysia (LJBM) yang ditubuhkan di bawah Akta Pendaftaran Juruukur 1967. Antara tanggungjawab LJBM termasuklah memupuk perkembangan profesion ukur bahan dan kejuruteraan ke taraf antarabangsa melalui pengawalseliaan dan pembangunan profesion yang berterusan.

LJBM sentiasa bertekad untuk sentiasa mengamalkan kualiti perkhidmatan yang cemerlang. Faktor ini sangat penting untuk melindungi kepentingan orang awam, hak QS dan Firma Perunding Ukur Bahan yang berdaftar selaras dengan Akta Juruukur Bahan 1967 (Pindaan 2015) dan Kaedah-Kaedah Juruukur Bahan (Pindaan) 2016.

Lembaga Juruukur Tanah ditubuhkan pada 1 Mei 1958 di bawah Akta Juruukur Tanah Berlesen 1958 (Akta 458). Lembaga ini mengawal dan mengekalkan piawaian untuk PS dan perkara lain yang berkaitan. Lembaga ini juga memainkan peranan dalam mengawal selia amalan ukur tanah di Semenanjung Malaysia serta memastikan profesion juruukur sentiasa mengamalkan prinsip dan menggunakan teknologi terkini dalam kerja yang dilakukan.

Walaupun BS berstatus profesional, namun lembaga bagi bidang ini belum lagi diwujudkan. Hal ini disebabkan oleh tiada akta yang telah digubal berkaitan dengan kerjaya ini. Pada tahun 1967, BS diletakkan di bawah Akta Parlimen Nombor 67 dan kerjaya tersebut ditakrifkan sebagai juruukur amalan am atau general practice surveyor. Namun demikian, Akta Parlimen No. 67 itu telah dibatalkan selepas BS, PS dan QS mempunyai akta masing-masing.

BS membantu dalam penyediaan reka bentuk sesebuah bangunan bagi menepati piawaian perundangan yang telah ditetapkan. Beliau juga merupakan individu yang akan mengawasi dan memantau proses pembinaan supaya berjalan berpandukan pelan dan spesifikasi yang telah diluluskan oleh pihak berkuasa.

Begitu juga jika berlakunya masalah pada sesebuah bangunan seperti keretakan atau kebocoran bumbung, BS akan bertanggungjawab untuk menganalisisnya dan mencari kemungkinan jika pembinaannya tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Ketiadaan akta juruukur bangunan mungkin boleh menyebabkan tugas BS menjadi terbatas. Disebabkan ketiaadaan akta khusus, kerjaya ini bernaung di bawah profesion lain yang berkaitan dalam industri pembinaan.

Dalam agensi kerajaan negeri dan persekutuan, terdapat beberapa skop kerja bangunan yang menjadi tanggungjawab BS. Antaranya termasuklah pengurusan dan penyelenggaraan secara berkala bangunan kerajaan. Misalnya, Perintah Am Bab E menyebut tanggungjawab Jabatan Kerja Raya untuk memeriksa bangunan kerajaan pada setiap tahun.

Selain itu, BS juga melaksanakan tugas berkaitan dengan sistem maklumat data bangunan, penilaian keadaan bangunan, amalan pengurusan aset bangunan kerajaan dan audit bangunan kerajaan. Walau bagaimanapun, dalam tugas tertentu seperti pangauditan bangunan, BS tidak dapat menjalankan tugas mereka secara optimum disebabkan oleh ketiadaan akta yang berkaitan dengannya.

“Dalam kes kebocoran bumbung bangunan Parlimen dan kompleks Mahkamah Kuala Lumpur serta kerosakan stadium di Terengganu yang terjadi dahulu tidak layak diaudit oleh BS,”  kata juruukur bangunan profesional, Ts. Sr. Mohd Kamal Arifin Abdul Rahman, 50 tahun yang berpengalaman selama 27 tahun dalam bidang pembinaan bangunan dan hartanah.

Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Perumahan dan Ijazah Sarjana Muda Ukur Bangunan berkata, ketiadaan akta tersebut seolah-olah memperlihatkan kepakaran juruukur di negara ini tidak diiktiraf oleh badan tertentu.

Tambahnya, “Cadangan untuk mewujudkan akta juruukur bangunan pernah disentuh dalam perbahasan lisan di Dewan Rakyat pada 19 Disember 2007 oleh bekas Menteri Kerja Raya pada ketika itu. Namun begitu, cadangan akta itu masih kekal hingga kini sebagai kenyataan sahaja walaupun menteri berkenaan menyebut, jemaah menteri telah meluluskan cadangan untuk menubuhkan satu akta, selepas itu lembaga untuk juruukur bangunan diadakan”.

Stesen Tanda Aras

Penulis ingin menarik perhatian pembaca mengenali stesen tanda aras (BM) yang dibina oleh juruukur dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) di seluruh negara. Mungkin kebanyakan orang tidak mengetahui tentang BM yang merujuk sejenis batu penanda yang terletak di tepi jalan atau bangunan penting. Mungkin ada yang pernah melihatnya, namun tidak mengetahui fungsi atau kegunaannya.

BM merupakan satu daripada produk JUPEM. Stesen itu memberikan nilai ketinggian sesuatu titik di atas permukaan bumi berdasarkan Land Survey Datum 1912 ataupun Datum Tegak Geodesi Semenanjung Malaysia (DTGSM).

Nilai ukuran stesen BM itu digunakan untuk menyokong pelbagai aktiviti dalam bidang geodetik, pemetaan, ukur kejuruteraan, saintifik dan kajian lain. Ketinggian sesuatu stesen BM ditentukan dengan dua kaedah pengukuran aras, iaitu ukuran aras jitu dan ukuran aras kelas kedua dengan tikaian masing-masing 0.003 vK meter dan 0.012 vK meter. Secara ringkasnya, antara kepentingan BM termasuklah menentukan tinggi rendah sesuatu lokasi atau tempat dari aras laut.

Lokasi atau kedudukan BM boleh ditemukan di tepi jalan utama berhampiran dengan bangunan penting kerajaan, sekolah, balai polis, masjid dan lain-lain. Misalnya, BM boleh ditemukan di sepanjang Jalan Cheras dari Kuala Lumpur hingga ke Bandar Kajang, Selangor.

Hobi Unik Mencari Monumen BM

Stesen BM, terutamanya yang berusia puluhan tahun boleh diklasifikasikan sebagai batu monumen kerana mempunyai nilai sejarah selain maklumat teknikal geografi dan pemetaan. Sewajarnya, batu ini tidak dimusnahkan walaupun lokasi batu itu dimaju atau dibangunkan.

Penulis dimaklumkan terdapat beberapa batu stesen BM yang lama yang terletak hanya kurang daripada satu meter di halaman rumah, bangunan lama atau yang telah “diganggu” oleh kerja tanah. Ada juga BM yang telah hilang berdasarkan maklumat koordinat yang diperoleh daripada laman sesawang JUPEM.

Sebagai contohnya, penulis cuba mencarinya di hadapan Balai Polis (lama) Semenyih dan di hadapan Stesen Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan Semenyih. Kedua-dua batu tersebut dengan nombor siri B0080 dan B1414 mengikut data JUPEM tidak ditemukan di lokasi yang dimaksudkan. Batu ini mungkin telah hilang kerana berlaku pelebaran jalan, pembinaan longkang dan sebagainya.

Norzaihan Nazley Mohamad Zaki menunjukkan Stesen BM di hadapan Stesen Pemancar RTM, Kajang, Selangor.

 

Tanda Aras JUPEM bernombor siri GP0243 di hadapan Stesen Pemancar RTM, Kajang.

Peminat monumen, Norzaihan Nazley Mohamad Zaki, 47 tahun yang sering meluangkan masa lapangnya, terutamanya pada hujung minggu menjadikan pencarian BM sebagai hobi yang unik. Beliau telah menemukan lebih daripada 42 BM di Selangor, sebanyak lapan BM di Negeri Sembilan serta lima BM di Kuala Lumpur sejak memulakan hobi itu pada Disember tahun lalu. Pada ketika ini, beliau sedang melakukan pencarian di Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Kata Norzaihan, kebanyakan BM boleh ditemukan di jalan lama atau jalan asal seperti Jalan Seremban–Rembau atau Jalan Semenyih–Banting, jika batu tersebut tidak dimusnahkan atau tertimbus disebabkan oleh kerja pelebaran jalan atau kerja tanah lain.

Tanda Aras JUPEM bernombor siri B0080 yang ditunjukkan dalam data pemetaan tidak ditemukan di hadapan Balai Polis (lama) Semenyih, Selangor.

Ditanya apakah kelebihan hobi uniknya itu? Beliau berkata, “Saja-saja. Saya lakukan sebagai hobi yang orang lain jarang-jarang lakukan. Sambil memandu pun boleh mencari batu tersebut kerana tidak memerlukan kemahiran tertentu. Batu BM itu juga mempunyai nilai kerana lokasinya ada dicatatkan dalam peta JUPEM. Batu BM lama boleh menjadi monumen yang berharga pada masa akan datang.”

Tanda Aras JUPEM bernombor siri S1166 di hadapan Pejabat Pos Gelang Patah, Johor.

Beliau menambah, walaupun melakukan hobi itu seorang diri, beliau akan terus mencari BM di negeri yang lain kerana menemukan BM merupakan satu kepuasan bagi dirinya. Tambahnya, beliau selalu merakam gambar BM yang ditemukan dan merekodkannya dalam buku catatan berserta koordinat latitud dan longitud untuk memudahkan rujukan menggunakan sistem kedudukan sejagat pada masa hadapan.

Fungsi Ukur Aras

JUPEM sering mengendalikan tugas ukur aras di seluruh negara kerana kepentingan pembangunan dan untuk melengkapkan atau mengemas kini peta kontur sesebuah tempat atau negeri.

Secara umumnya, ukur aras dilakukan untuk mendapatkan ketinggian antara garis titik lokasi stesen di atas permukaan bumi. Setelah juruukur JUPEM mendapat perbezaan paras antara dua titik stesen, mereka akan mendirikan BM atau batu aras sementara.

Ukur aras yang dilaksanakan oleh juruukur JUPEM juga bertujuan:

  • Mendapatkan keratan rentas dan memanjang yang menunjukkan profil tanah bagi pembinaan laluan atau jalan raya, pengairan dan sebagainya.
  • Pemetaan garis peta kontur bagi sesuatu kawasan pembinaan dan pembangunan.
  • Untuk kerja ukur kawalan pugak semasa memancang tanda.
  • Menanda kecerunan tanah untuk tujuan tertentu seperti kerja penambakan, pemotongan tebing atau cerun serta saliran air.

Tanda Aras Piawai

Tanda aras piawai (SBM) dibina separas dengan permukaan bumi untuk memelihara kestabilannya dan jika berlaku gangguan, kestabilannya dapat diminimumkan. SBM dibina dalam rangkaian ukur aras jitu bagi mewujudkan satu sistem tanda aras yang stabil serta dapat mengawal jaringan aras. Tanda aras ini diletakkan di sepanjang jalan raya utama pada sela (jarak) 40 kilometer di simpang jalan utama.

Tanda Aras BM

Tanda aras BM dibina antara tanda aras piawai dengan sela setengah (0.5) kilometer bagi kawasan bandar dan satu kilometer di kawasan lain. Bentuk tanda aras merupakan plat dan bolt yang dilekatkan pada monumen konkrit di atas permukaan tanah dan lokasinya berhampiran atau di dalam kawasan kekal seperti batu penanda jalan, jambatan, tiang telefon atau bangunan pejabat kerajaan seperti balai polis, sekolah, masjid dan sebagainya.

Institut Tanah dan Ukur Negara

Demi meningkatkan profesionalisme GLS negara, kerajaan menubuhkan Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) yang terletak di Behrang, Perak.

Antara tanggungjawab INSTUN termasuklah membangunkan program latihan, kursus dan pembelajaran yang berterusan kepada juruukur perkhidmatan awam. Pada masa yang sama, institut tersebut menjadi pusat rujukan dalam bidang tanah dan ukur negara dengan menyediakan bahan berkualiti berkaitan dengan pentadbiran tanah, teknologi, perundangan, pemetaan dan pengukuran.

Merujuk laman sesawang INSTUN, terdapat lebih daripada 100 kursus yang telah diatur untuk juruukur sepanjang tahun 2024 yang dikendalikan, sama ada secara dalam talian ataupun fizikal. Kursus tersebut merangkumi pelbagai bidang seperti asas penggunaan peralatan ukur, pengurusan tanah rizab Melayu, kursus pemetaan dan lain-lain.

Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia

Sepertimana kerjaya lain, jururukur juga mempunyai persatuan bagi menghimpunkan mereka dalam sebuah organisasi serta menjaga kebajikan ahli. Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM) merupakan badan profesional yang sangat unik kerana mempunyai ahli daripada bidang yang berbeza, namun mampu mendukung misi dan visi yang sama demi pembangunan negara mampan.

RISM merupakan badan profesional yang juga berstatus NGO  pertama di Malaysia yang menerima penganugerahan diraja. Pada 28 Mac 2011, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj berkenan mengurniakan taraf diraja kepada Institut Juruukur Malaysia (ISM).

RISM juga merupakan pemilik sah gelaran “Sr.” yang berdaftar di bawah Akta Cap Dagangan 2019. Menurut Perkara 13 Perlembagaan RISM, mereka yang layak sebagai ahli RISM boleh menggunakannya tertakluk kepada kebenaran badan tersebut. Penggunaan gelaran tersebut tanpa kebenaran RISM atau menyalahgunakannya merupakan satu kesalahan dan boleh dihadapkan ke mahkamah, termasuklah yang menggunakan gelaran itu secara tidak sah atau tanpa kelayakan.

Sebuah lagi NGO yang melibatkan juruukur ialah Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah Malaysia (PEJUTA) yang ditubuhkan di bawah Akta Pendaftar Pertubuhan pada tahun 1978. Ahlinya terdiri daripada GLS yang didaftarkan di bawah Ordinan Juruukur Berlesen 1958.

PEJUTA bertujuan menghimpunkan semua juruukur di bawah payung persatuan dengan hasrat mengekalkan profesionalisme juruukur di negara ini. Selain itu, PEJUTA memperjuangkan perkembangan kerjaya ahlinya seperti skim latihan dari semasa ke semasa, keseragaman tangga gaji dan prosedur tugas.

Dalam jabatan kerajaan, terdapat keperluan kerjaya juruukur di beberapa kementerian atau jabatan pada peringkat persekutuan atau negeri. Antaranya termasuklah Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, termasuklah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Perparitan dan Saliran.

Pada setiap tahun, dianggarkan kira-kira 1500 graduan juruukur menamatkan pengajian masing-masing di universiti awam dan swasta. Penulis berharap agar mereka dapat mengisi keperluan tenaga kerja di jabatan berkenaan demi masa hadapan Malaysia yang lebih makmur dan berdaya maju.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.