Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBangi – Sebanyak lapan orang ahli terapi dari institusi kesihatan di sekitar Lembah Klang telah muncul sebagai kumpulan perintis yang berjaya melengkapkan modul pertama Kursus Sijil Profesional Pengurusan Limfedema anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Yayasan Budi Penyayang (PENYAYANG).
Kursus yang menggabungkan sesi pembelajaran secara dalam talian dan latihan bersemuka ini telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PENYAYANG, YBhg. Dato’ Leela Mohd Ali di Hotel Bangi Resort, Bandar Baru Bangi.
“Program ini sangat dekat di hati saya kerana terlalu banyak memori penting yang berkaitan dengannya, yang mencetuskan idea untuk membawa kepakaran ini ke Malaysia,” kata YBhg. Dato’ Leela Mohd Ali.
Dalam ucapannya juga, beliau berkongsikan rasa terharunya kerana program ini akhirnya dapat direalisasikan walaupun idea pewujudannya telah tercetus hampir dua dekad yang lalu sejak awal penubuhan PENYAYANG.
Menurut beliau, pengurusan limfedema merupakan komponen penting dalam penjagaan kesihatan, terutamanya bagi penghidap kanser dan penyakit lain yang melibatkan sistem limfatik dan vaskular.
“Peningkatan prevalen kes sebegini di dalam negara telah meningkatkan keperluan kepakaran ini, sama ada pada peringkat penjagaan kesihatan primer, sekunder ataupun tertiari,” jelas beliau.
Sebelum ini, latihan pengkhususan limfedema hanya boleh dijalani di luar negara dengan yuran yang tinggi, namun kolaborasi strategik antara PENYAYANG dengan UKM melalui Fakulti Sains Kesihatan (FSK) dan Unipeq Sdn. Bhd. selaku pelaksana program telah berjaya mengisi kelompongan tersebut dan bakal melahirkan ahli limfedema yang bertauliah acuan tempatan tidak lama lagi.
Tambah beliau, kepakaran terapi limfedema bukan sahaja memanfaatkan pesakit kanser selepas pembedahan, namun boleh digunakan dalam situasi lain yang memerlukan seperti kes obesiti.
Beliau juga menyatakan bahawa terdapat trend semasa, yakni terapi limfedema turut digunakan bagi tujuan kosmetik seperti mengurangkan kegemukan di bahagian leher.
Ujar beliau, program latihan yang dirangka sejak tahun 2020 ini telah mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai strategi pembelajaran berterusan untuk ahli terapi tempatan.
Untuk mendapatkan pentauliahan, para peserta perlu melengkapkan tiga modul kursus dalam tempoh 10 bulan.
Modul pertama Sijil Profesional Pengurusan Limfedema telah disempurnakan pada 1 Mac 2024 yang mendapat sentuhan daripada Puan Marina Mah dari Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah dan Puan Shazrina Shafie dari PENYAYANG yang kedua-duanya menerima latihan di Institut Klose, Amerika Syarikat dan berpengalaman lebih daripada 15 tahun dalam pengurusan limfedema.
Pengisian modul pertama tersebut merangkumi kuliah, sesi amali dan perbincangan kumpulan serta menjalani sesi ujian, pembentangan kes, peperiksaan praktikal dan peperiksaan bertulis sebagai kaedah penilaian kursus.
Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Pensyarah Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas, FSK, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Nor Azlin Mohd Nordin dan Pengurus Unipeq Sdn. Bhd, Encik Faizal Saidin.