Oleh You Yee Xing
11 Mac 2024, 17:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sejak kebelakangan ini, bebola jeli menerima sambutan yang hangat, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Apabila melangkah ke pasar malam atau kedai manisan, anda akan disambut dengan kudapan yang beraroma manis dan berwarna-warni yang pastinya menarik perhatian anda. Namun demikian, adakah bebola jeli yang dijual itu sihat dan berkhasiat? Adakah pengambilan makanan tular ini memberikan kesan kepada kesihatan?

Bebola Jeli

Bebola jeli diperbuat daripada bahan seperti gelatin makanan, serbuk agar-agar, gula, air, bahan perasa dan pewarna makanan. Bebola jeli biasanya berwarna-warni dan kelihatan seperti sate bebola. Makanan ini biasanya dijual di pasar malam, pasar awam atau gerai manisan.

Bahan Perisa dalam Bebola Jeli

Bebola jeli mengandungi perisa buah-buahan yang berbeza seperti strawberi, mangga, oren dan tembikai. Bahan perisa buah-buahan yang digunakan bukan daripada sumber semula jadi, namun bahan perisa tiruan yang mempunyai rasa buah-buahan yang hampir sama. Bahan ini juga dikenali sebagai ester.

Tujuan perisa tiruan digunakan dalam bebola jeli adalah untuk meniru atau meningkatkan rasa buah-buahan semula jadi. Jadual 1 menunjukkan beberapa contoh bahan kimia yang digunakan untuk meniru perisa buah-buahan yang biasa digunakan untuk menghasilkan bebola jeli.

Jadual 1 Jenis bahan kimia dan perisa buah-buahan.

Keburukan Bahan Perisa Tiruan dalam Bebola Jeli

Penggunaan bahan perisa tiruan dalam bebola jeli boleh memberikan kesan yang buruk kepada kesihatan manusia. Antaranya termasuklah:

  1. Peningkatan risiko menghidapi penyakit tidak berjangkit

Bahan perisa tiruan sering memberikan rasa yang intensif kepada bebola jeli. Hal ini boleh menyebabkan kecenderungan untuk mengambil makanan ini yang tinggi dengan gula dan akan meningkatkan risiko obesiti dan diabetes.

  1. Gangguan hormon 

Beberapa bahan perisa tiruan boleh mempengaruhi hormon dalam badan manusia. Keadaan ini boleh mengganggu keseimbangan hormon badan dan metabolisme, sekali gus menjejaskan kesihatan manusia.

  1. Risiko keracunan

Beberapa bahan perisa tiruan boleh menjadi toksik dan berisiko untuk mengakibatkan kanser jika dimakan dalam kuantiti yang banyak atau pengambilannya berterusan dalam jangka masa panjang.

  1. Gangguan pencernaan

Sesetengah individu mungkin mengalami gangguan pencernaan atau reaksi alahan terhadap bahan perisa tiruan tertentu. Keadaan ini boleh menyebabkan masalah pencernaan seperti cirit-birit, muntah, perut kembung atau reaksi alahan yang lebih serius seperti anafilaksis.

  1. Gangguan sistem neurologi

Terdapat beberapa bahan perisa tiruan boleh mempengaruhi sistem saraf pusat. Hal ini berpotensi menyebabkan gangguan sistem neurologi seperti migrain, kelelahan mental atau gangguan tidur.

Bahan Pewarna dalam Bebola Jeli

Bahan pewarna merupakan komponen yang penting untuk meningkatkan nilai selera makanan di samping menarik perhatian dan penerimaan pengguna terhadap bebola jeli. Pewarna makanan sintetik semakin banyak digunakan oleh pengusaha makanan berbanding dengan pewarna makanan semula jadi. Hal ini dilakukan untuk mencapai beberapa sifat tertentu seperti kos pembuatan yang rendah, penampilan yang lebih baik, intensiti warna yang tinggi, keseragaman dan kestabilan warna yang lebih baik.

Pelbagai makanan dan minuman yang terdapat di pasaran mungkin mengandungi beberapa warna sintetik yang tidak dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia atau Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA). Fenomena ini boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius seperti mutasi gen, gangguan sistem neurologi dan reaksi alergi.

Menurut kajian, bahan tambahan makanan tiruan tertentu seperti pewarna makanan (Yellow 5 and Red 40, as well as Blue 1, Blue 2, Green 3, Orange B, Red 3 and Yellow 6) akan menyebabkan hiperaktiviti, gangguan hiperaktiviti defisit perhatian atau spektrum gangguan autisme pada kanak-kanak. Hal ini dikatakan demikian kerana bahan tambahan makanan tiruan ini akan memberikan kesan kepada masalah tingkah laku atau gangguan perkembangan sistem saraf pada kanak-kanak.

Reaksi alahan terhadap pewarna makanan yang sering dibincangkan berkaitan dengan Yellow 5. FDA juga menyatakan bahawa sebahagian individu mungkin akan mengalami reaksi alahan gatal-gatal dan urtikaria selepas terdedah terhadap Yellow 5. Reaksi ini dianggap jarang-jarang berlaku dan cenderung berlaku dalam kalangan individu yang menghidap asma.

Resipi Bebola Jeli yang Sihat dan Lazat

Bahan-bahan:
• Buah-buahan segar seperti strawberi, oren, anggur, kiwi, mangga dan buah naga
• Satu paket serbuk agar-agar atau jeli
• Empat sudu makan gula pasir
• 1200 mililiter air
• Daun pandan (tiga keping)
• 700 mililiter susu segar (pilihan)

Cara-cara:
1. Campurkan serbuk agar-agar atau jeli dengan gula pasir dan air di dalam sebuah periuk.
2. Panaskan 1200 milimeter air dengan daun pandan. Masukkan campuran serbuk dan kacau hingga larut.
3. Rebus campuran tersebut sehingga mendidih.
4. Susunkan buah-buahan di dalam setiap bekas jeli.
5. Tuangkan campuran yang telah direbus ke dalam bekas secara perlahan-lahan dan biarkan sejuk selama 30 minit bawah suhu bilik. Letak di dalam peti sejuk selama dua jam sebelum dihidangkan.
6. Cungkil bebola jeli dan cucuk dengan menggunakan lidi.

 

Dr. You Yee Xing,
Pensyarah dan Penyelidik,
Program Dietetik.
Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan,
Fakulti Sains Kesihatan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.