Oleh Hamdan Abu
3 Mac 2024, 18:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Rencana ini disediakan bersempena dengan Hari Hidupan Liar Sedunia (World Wildlife Day) yang disambut pada 3 Mac 2024 bagi meraikan dan meningkatkan pemahaman serta kesedaran awam mengenai isu fauna dan flora liar.

Dalam dunia binatang, haiwan yang dikenali sebagai naga banyak digambarkan sebagai binatang yang ganas atau bersifat mistik. Namun demikian, sejenis haiwan eksotik yang dikenali sebagai naga berjanggut (bearded dragon) yang hidup secara liar di kawasan beriklim panas bukanlah cerita dongeng.

Nama saintifik haiwan ini ialah Pogona vitticeps, sejenis spesies biawak daripada famili Agamidae yang asalnya ditemukan di kawasan gersang, gurun atau padang pasir hingga separuh kering di bahagian timur dan tengah Australia.

Naga berjanggut ialah biawak bersisik, berekor panjang daripada spesies keluarga reptilia yang mempunyai “duri” di dagu dan leher seolah-olah perisai yang melindungi diri. Haiwan ini jinak dan mesra jika dijaga dengan baik atau serasi dengan penjaganya.

Naga berjanggut belaan dan digunakan untuk pameran.

Haiwan ini seakan-akan mirip biawak padang pasir atau dab tetapi mempunyai habitat yang berlainan. Pada kebiasaannya, naga berjanggut dijual sebagai haiwan peliharaan dalam kalangan peminat haiwan reptilia, manakala dab popular sebagai haiwan yang mempunyai khasiat perubatan tradisional bagi masyarakat Arab.

Naga berjanggut liar boleh ditemukan di seluruh Australia dalam persekitaran panas di gurun atau padang pasir, terutamanya di New South Wales, Queensland, Australia Selatan dan Victoria. Haiwan ini agak berdaya tahan dalam kawasan pembangunan pertanian. Tempoh hayatnya kira-kira 10 tahun hingga 12 tahun. Ada peminat haiwan ini yang menggelarkannya sebagai dinosaur kecil.

Pada tahun 1960-an, Australia mengharamkan eksport naga berjanggut liar. Walau bagaimanapun, haiwan itu telah lebih awal dibiakkan di Amerika Syarikat dan Indonesia selama beberapa dekad untuk perdagangan haiwan peliharaan. Malah, naga berjanggut juga berjaya dibiakkan dalam pelbagai atau berlainan morf (morph) yang tidak ditemukan dalam habitat liar atau asal haiwan tersebut.

Naga berjanggut daripada morf yang berlainan. Morf cytrus hypo trans blue bar yang berusia empat tahun (dua dari kiri) dan hypo zero (dua dari kanan).

Perbezaan antara Dab dengan Naga Berjanggut

Seorang pesara tentera, Mejar (Bersara) Haji Suleiman Moideen Kutty, 66 tahun,  yang pernah bertugas di Maghribi berkata, tidak mudah untuk menangkap dab di padang pasir kerana haiwan itu terlalu pantas berlari dan tidak mampu dikejar oleh manusia. Apabila terdapat cubaan untuk menangkap atau mengganggu haiwan ini, dab akan masuk ke lubang tanah sedalam kira-kira 0.7 meter hingga 0.9 meter. Pada masa itulah adanya peluang untuk menangkap dab dengan menyiramkan banyak air ke lubang tersebut.

“Dab akan menjadi lemah apabila disiram air yang banyak dan akan keluar dari lubang untuk mendapatkan suhu panas matahari. Ketika itulah dab boleh ditangkap dengan memakai sarung tangan,” terang Haji Suleiman.

Haji Suleiman Moideen Kutty (kiri) bersama-sama rakannya ketika menangkap dab di Maghribi.

Katanya, biasanya masyarakat tempatan akan menyembelih haiwan itu untuk dijadikan hidangan. Ada juga yang mengeringkan dagingnya untuk kegunaan lain yang dipercayai berupaya merangsang tenaga lelaki.

Oleh sebab naga berjanggut bersifat omnivor, naga liar memakan tumbuh-tumbuhan dan haiwan kecil seperti cicak, tikus dan serangga. Haiwan ini juga mempunyai penglihatan dan deria bau yang kuat serta tajam.

Naga berjanggut yang masih muda dan sedang membesar cenderung untuk menjadi karnivor atau insektivor. Naga berjanggut dewasa pula lebih bersifat herbivor (pemakan tumbuhan).

Sementara itu, dab bersifat herbivor yang berekor tajam yang hanya memakan tumbuh-tumbuhan di padang pasir. Dab halal dimakan oleh orang Islam dan terkenal dalam kalangan pengamal ubat tradisional untuk dijadikan ubat perangsang tenaga batin, terutamanya dalam kalangan masyarakat Arab Badwi dengan menyembelihnya terlebih dahulu. Walau bagaimanapun, kajian saintifik belum membuktikan mengenai keupayaan dab sebagai ubat peningkatan tenaga batin.

Namun begitu, terdapat sedikit persamaan antara naga berjanggut dengan dab. Kedua-duanya memerlukan suhu yang panas dan mampu tinggal di dalam lubang tanah, sama ada sebagai sarang atau untuk menyelamatkan diri daripada ancaman musuh.

Harga Ribuan Ringgit

Terdapat banyak rupa dan jenis naga berjanggut yang berbeza dari segi warna dan corak. Jenis haiwan ini dirujuk sebagai morf atau mutasi.

Morf membezakan ciri rupa, warna atau saiz badan naga berjanggut. Morf juga  mempengaruhi harga yang tinggi bagi naga berjanggut dalam pasaran sehingga boleh mencecah ribuan ringgit yang menjadi rebutan dalam kalangan peminatnya.

Ada peminat haiwan eksotik ini yang mengatakan terdapat lapan morf hingga 20 morf naga berjanggut. Ada yang mengatakan jumlah morf adalah lebih daripada itu kerana dibiakkan dengan pelbagai morf atau disebut sebagai pembiakan silang. Naga yang berlainan morf mungkin mempunyai warna, sisik, bentuk kepala, warna kuku dan corak badan yang berbeza.

Naga berjanggut berdarah sejuk dan kehidupannya bergantung pada cuaca panas untuk menaikkan suhu badannya. Haiwan ini juga berjemur di bawah sinar matahari untuk memanaskan diri dan boleh mendiami di dalam lubang tanah yang digalinya untuk mengelakkan haba melampau dan menjauhkan diri daripada pemangsa.

Diet Naga Berjanggut

Naga berjanggut liar bukan haiwan eksotik yang memilih diet makanan. Haiwan ini boleh menghancurkan serangga bercangkerang keras seperti pelbagai jenis kumbang dan cengkerik.

Naga berjanggut juga memakan daun, bunga, buah, cicak kecil atau tikus. Antara makanan yang boleh diberikan kepada naga berjanggut peliharaan termasuklah lipas dubia, ulat sutera dan cacing phoenix. Buah-buahan yang sesuai pula ialah buah kiwi, anggur, strawberi, pisang dan betik. Naga berjanggut juga gemar memakan sayur-sayuran seperti daun sawi, jagung, saderi, kacang hijau dan daun selasih.

Keburukan naga ini ialah suka membuang air kencing di dalam air minuman yang disediakan. Oleh sebab itu, air minuman haiwan ini perlu ditukar pada setiap hari atau menukarnya dari semasa ke semasa jika didapati air tersebut kotor. Bekas minuman haiwan ini juga perlu dibersihkan sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk mengelakkan pembiakan bakteria.

Tingkah Laku Naga Berjanggut

Dikenali sebagai sifat kewilayahan (mempertahankan kawasan miliknya), naga berjanggut dewasa mungkin agresif demi mempertahankan kawasannya daripada jantan lain, berebut makanan atau bersaing untuk rakan betina. Sesetengah naga berjanggut jantan boleh menyerang haiwan betina jika tidak menunjukkan “isyarat menunduk” atau menganggukkan kepala kepada haiwan jantan.

Untuk menarik perhatian naga betina, naga berjanggut jantan akan melakukan hentakan kaki ke tanah dan seolah-olah melambai-lambai serta menggelengkan kepalanya. Kemudian, si jantan akan mengejar si betina dan menggigit belakang leher ketika mengawan.

Naga berjanggut betina dipercayai mempunyai kapasiti luar biasa untuk menyimpan sperma. Sesetengah naga berjanggut betina boleh mengeluarkan antara 12 biji hingga 20 biji telur pada sekali proses mengawan dan membiak secara mengeram.

Jantina embrio naga berjanggut boleh berubah mengikut suhu pengeraman. Jika suhu luar biasa tinggi semasa embrio dengan kromosom lelaki sedang berkembang, keadaan tersebut akan melahirkan naga betina. Suhu yang lebih panas semasa proses pengeraman juga menjadikan naga berjanggut lebih lambat matang.

Cara Mempertahankan Diri

Janggut naga berjanggut mempunyai fungsi unik untuk mempertahankan diri. Janggut haiwan ini juga bertindak sebagai deria komunikasi. Apabila diancam, naga berjanggut akan membuka mulutnya, mengangkat dagunya dan mengembangkan janggutnya untuk menampakkan saiz badannya yang lebih besar.

Naga berjanggut juga berkomunikasi dengan cara menukarkan warna janggutnya di samping mengayunkan kepala. Ayunan kepala yang pantas memberikan maksud haiwan itu menguasai, manakala ayunan kepala yang perlahan dan goyangan tangan atau kaki yang perlahan menandakan haiwan ini menyerah diri.

Semasa perubahan musim panas ke musim hujan, sesetengah naga berjanggut akan berhibernasi. Haiwan itu menjadi tidak aktif dan akan mengurangkan makanan dan hanya meminum air secara tidak menentu.

Secara umumnya, naga berjanggut dewasa boleh hidup selama tiga minggu dan kadangkala hingga dua bulan tanpa makanan. Namun begitu, naga berjanggut muda memerlukan protein untuk membesar dan kekal sihat kerana haiwan ini tidak dapat bertahan tanpa makanan secara teratur.

Gangguan Kesihatan

Reptilia ini mempunyai kadar metabolisme yang rendah dan cenderung untuk mengalami gangguan kesihatan. Naga berjanggut yang jatuh sakit mengambil masa yang lama untuk pulih berbanding dengan haiwan mamalia. Haiwan naga berjanggut juga terdedah kepada pelbagai jangkitan. Oleh sebab itu, penjaga haiwan ini perlu menjaga kebersihan tempat tinggal, memberikan makanan yang segar dan air bersih yang mencukupi.

Jika naga berjanggut menunjukkan tanda seperti hilang selera makan, cirit-birit, kelesuan, kulit melekat di sekeliling jari kaki atau hujung ekor, pergerakan yang tidak normal dan kedutan kulit warna bertukar kegelapan, haiwan tersebut perlu dirawat dengan segera.

Membela Naga Berjanggut

Naga berjanggut boleh membesar hingga 60 sentimeter panjang. Jangka hayatnya pula antara tujuh tahun hingga 12 tahun jika dibela dalam persekitaran yang kondusif dan menyamai habitatnya. Haiwan ini kebanyakannya jinak, boleh dibela dan diberikan makan dengan menggunakan tangan.

Naga berjanggut memerlukan sarang, reban atau kandang. Sarang buatan haiwan ini dikenali sebagai vivarium yang berbentuk seperti kotak. Bahagian depannya daripada kaca lut sinar dan bahagian atasnya berupa jaring bagi memudahkan peredaran udara.

Untuk sepasang naga berjanggut, keluasan vivarium yang sesuai berukuran kira-kira 122 sentimeter panjang, 61 sentimeter lebar dan 48 sentimeter tinggi. Bekas minuman dan makanan perlu diletakkan di dalamnya serta objek hiasan yang sesuai untuk naga berjanggut memanjat dan berlindung. Keluasan lantai perlu ditambah pada nisbah kira-kira 25 peratus untuk tambahan seekor naga di dalam vivarium yang sama.

Alas lantai seperti tuala kertas, surat khabar, permaidani reptilia atau kertas kraf sangat penting dalam sesebuah vivarium naga berjanggut. Bahan alas ini yang juga dipanggil substract digunakan untuk memastikan sangkar vivarium bersih, kering dan boleh menyerap cecair.

Naga berjanggut sentiasa memerlukan haba atau suhu panas. Haiwan ini perlu dibiarkan berjemur di bawah pancaran matahari sekurang-kurangnya antara dua jam hingga tiga jam sehari. Selain itu, lampu ultraungu B berkuasa 30 watt hingga 75 watt (atau sumber suhu panas yang lain) di dalam vivarium juga membantu haiwan ini memanaskan badannya.

Haiwan ini juga menggemari suhu antara 25 darjah Celsius hingga 31 darjah Celsius pada waktu siang, manakala suhu pada waktu malam perlu berada antara 21 darjah Celsius hingga 26 darjah Celsius. Lampu juga perlu dinyalakan kira-kira 12 jam hingga 14 jam sehari.

Pengasingan Naga Berjanggut Jantan dan Betina

Semasa membela naga berjanggut, jangan letakkan naga jantan dan naga betina di dalam vivarium yang sama, kecuali ketika haiwan itu masih kecil atau untuk tujuan pembiakan. Peminat haiwan itu biasanya mengasingkan haiwan jantan di tempat berasingan, manakala dua ekor naga betina boleh diletakkan di dalam tempat yang sama.

Naga berjanggut yang besar juga perlu dielakkan daripada diletakkan bersama-sama naga kecil atau naga yang berusia di bawah enam bulan. Penjaga haiwan ini juga perlu mengelakkan daripada meletakkan lebih daripada dua ekor naga berjanggut betina di dalam sarang yang sama untuk mengelakkan pergaduhan atau mencederakan antara satu sama lain. Naga berjanggut juga boleh menggigit rakannya sehingga mati.

Eksekutif Taman Haiwan di Farm in The City, Encik Muhamad Khairullah Abdullah Mohd Shah berkata, memelihara naga berjanggut di Malaysia tidak memerlukan lesen. Haiwan ini bebas dibela oleh sesiapa sahaja yang berminat. Namun begitu, lesen atau permit diperlukan untuk mengimportnya.

Eksekutif Taman Haiwan di Farm in The City, Encik Muhamad Khairullah Abdullah Mohd Shah.

“Haiwan yang berasal dari Australia ini dibawa masuk dari Indonesia untuk tujuan komersial. Naga berjanggut ialah haiwan yang jinak dan bukan seperti spesies liar di gurun. Haiwan unik ini juga hanya diberikan makan serangga tiga hari sekali dan sayur-sayuran seperti sawi secara berkala,” kata Muhamad Khairullah Abdullah kepada penulis.

Jelas Muhamad Khairullah Abdullah, naga kecil atau naga muda suka akan serangga tetapi dietnya berubah kepada memakan sayur apabila dewasa. Air bersih juga perlu sentiasa diberikan sebagai minuman haiwan itu. Bagi mengelakkan gangguan kesihatan, haiwan tersebut perlu diberikan makanan tambahan seperti vitamin D3 dan elektrolit.

Muhamad Khairullah Abdullah yang berpengalaman selama lapan tahun dalam penjagaan haiwan berkata, haiwan ini bergigi halus dan tidak membahayakan. Naga berjanggut boleh disentuh dan tidak menggigit, namun pembelanya harus memahami habitatnya supaya haiwan peliharaan itu hidup dalam suasana yang kondusif.

Beliau turut menjelaskan bahawa naga berjanggut membiak secara bertelur. Telurnya berwarna putih dan bersaiz lebih kecil daripada telur burung. Seekor naga dewasa boleh mengeluarkan berbelas-belas biji telur.

Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Mai Chan berkata, “Kali pertama melihat naga ini secara dekat, haiwan ini seakan-akan iguana tetapi saiznya lebih kecil dan lebih jinak.”

Pengunjung yang mahu dikenali sebagai Mai Chan mendengar penerangan mengenai naga berjanggut daripada Muhamad Khairullah Abdullah.

Menjelang Hari Hidupan Liar Sedunia pada 3 Mac 2024, Mai Chan berharap wujudnya kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kehidupan semula jadi hidupan liar di Malaysia. Beliau juga berharap agar haiwan liar di negara ini tidak diganggu, sebaliknya membiarkan haiwan liar hidup selesa di habitat semula jadinya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.