1 Mac 2024, 17:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jam sudah menunjukkan pukul 12.00 malam, namun kerdipan mata masih kuat walaupun badan sudah berada di atas tilam yang empuk dan selesa setelah kepenatan dek aktiviti seharian yang padat. Selain bangun terlalu awal pada waktu pagi dan sering terjaga sepanjang malam, gejala tersebut merupakan antara petunjuk kepada masalah insomnia.

Insomnia

Insomnia merujuk masalah tidur yang menyebabkan penghidap insomnia tidak mendapat tidur yang mencukupi atau tidak berkualiti sepanjang malam. Secara umumnya, satu pertiga hidup manusia dihabiskan dengan tidur. Namun begitu, terdapat sesetengah orang yang suka tidur lewat atau mengabaikan tidur yang berkualiti walaupun badan amat memerlukan rehat yang mencukupi.

Keletihan juga akan mengganggu maklumat atau data sementara untuk ditukarkan kepada maklumat jangka panjang yang disimpan oleh otak. Hal ini seterusnya pasti menjejaskan kemampuan seseorang untuk mempelajari sesuatu yang baharu. Oleh sebab itu, seseorang itu seharusnya mengamalkan tidur yang mencukupi pada setiap hari kerana dapat membantu daya ingatan untuk berfungsi dengan baik.

Punca Insomnia

Terdapat banyak faktor yang memainkan peranan dalam menyumbang kepada masalah insomnia. Daripada kajian yang telah dibuat, hampir 50 peratus masalah insomnia terjadi tanpa sebab yang jelas. Namun demikian, pakar berjaya memperincikan beberapa faktor yang menyumbang ke arah insomnia, iaitu:

  • Ketagihan kopi dan sumber yang mengandungi kafein.

Pengambilan sumber kafein yang melebihi jumlah dalam sehari akan menjadikan seseorang itu sukar untuk tidur dengan lena. Perokok yang berhenti merokok secara mengejut juga akan mempunyai gangguan tidur yang nyenyak

  • Gangguan kitaran tidur ritma sirkadian

Keadaan ini turut dikenali sebagai jam biologi yang merujuk sistem di dalam otak mengawal waktu jaga dan tidur seseorang. Gangguan ini akan menyebabkan otak tidak dapat berfungsi dengan baik dan seterusnya menganggu pengeluaran hormon melatonin yang berfungsi untuk tidur. Keadaan ini biasanya terjadi apabila seseorang itu melakukan pekerjaan pada tengah malam, menaiki penerbangan yang melepasi zon masa antara benua dan hilangnya fungsi penglihatan.

  • Menopaus

Hampir 30 peratus hingga 40 peratus wanita yang menopaus mengalami insomnia. Situasi ini mungkin terjadi kerana berpeluh pada waktu malam, berasa risau dan masalah ketidakseimbangan hormon.

  • Suami atau isteri berdengkur

Hal ini nampak remeh, bukan? Namun begitu, masalah ini turut memberikan kesan kepada kualiti tidur sepanjang malam.

Jika faktor yang mencetuskan insomnia tidak dicegah pada peringkat awal, insomnia yang serius boleh menyebabkan masalah kemurungan. Kebiasaannya, seseorang yang mengalami insomnia mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami kemurungan berbanding dengan seseorang yang memperoleh tidur yang berkualiti. Namun begitu, antara insomnia dengan kemurungan, masalah manakah yang akan hadir terlebih dahulu?

Mengikut pakar, kedua-dua ini boleh menjadi titik permulaan. Tidur yang kurang berkualiti boleh menyebabkan kesukaran mengawal emosi yang seterusnya boleh menyebabkan seseorang lebih terdedah kepada kemurungan. Pada masa yang sama, kemurungan itu sendiri dikaitkan dengan kesukaran untuk tidur selain memendekkan jumlah tidur dengan gelombang perlahan seseorang pada setiap malam.

Jika seseorang itu mengalami kemurungan, tekanan harian lain seperti masalah kewangan, pertengkaran dengan pasangan atau perjalanan pergi dan pulang daripada tempat kerja yang penuh sesak juga boleh meningkatkan masalah insomnia. Antara gejala yang akan dipameran termasuklah lebih kerap terjaga pada waktu malam serta bermasalah untuk tidur semula.

Mengatasi Insomnia

Terdapat beberapa alternatif bagi mengatasi masalah insomnia daripada terus menganggu keindahan tidur malam, sama ada dengan menggunakan perubatan tradisional dengan menggunakan herba atau rawatan moden yang memanfaatkan ubat-ubatan terkini.

Penggunaan herba sebagai sumber perubatan bukanlah perkara baharu. Herba dikatakan mula digunakan oleh manusia purba (6000 sebelum Masihi hingga 1000 sebelum Masihi) semasa tamadun awal manusia yang sedikit sebanyak meninggalkan dokumentasi atau bukti yang menunjukkan bahawa usaha ke arah mendapatkan pengubatan wujud sejak dahulu lagi.

Dalam kajian saintifik dan perubatan moden, beberapa pokok tempatan amat berpotensi mencegah insomnia. Satu daripadanya ialah lada hitam atau nama saintifiknya, Piper methysticum.

Berdasarkan kajian, ekstrak lada hitam dan diazepam (ubat sintetik bagi mengurangkan kereaktifan sel saraf) memberikan kesan yang sama terhadap aktiviti gelombang otak. Hasil kajian ini memberikan idea bahawa ekstrak lada hitam mampu memberikan kesan tenang dan seterusnya memudahkan seseorang itu untuk mengecapi tidur yang lena.

Namun begitu, ekstrak lada hitam memberikan kesan negatif kepada kulit dan berpotensi menyebabkan hati gagal berfungsi jika diambil dalam kuantiti yang tinggi. Walau bagaimanapun, kesan ini jarang-jarang berlaku.

Pokok lada hitam yang menjalar.

Selain itu, pokok pegaga atau nama saintifiknya, Centella asiatica merupakan tumbuhan herba berpotensi. Pokok yang dikenali sebagai pegaga di Malaysia, vallarai di India dan luei gong gen di China ini masih menjadi kajian penyelidik sebagai sumber tumbuhan bagi mengatasi masalah insomnia.

Pegaga merupakan sejenis pokok herba asli kecil yang merayap di tanah. Tumbuhan ini banyak tersebar di kawasan tropika, tanah tinggi dan tanah pamah, terutamanya di kawasan yang lembap dan redup.

Daunnya tersusun secara roset, manakala daunnya berbentuk seakan-akan kipas. Lebar daunnya berukuran antara satu sentimeter hingga tujuh sentimeter dan sebahagian pinggir daun bergerigi kasar atau halus.

Kajian yang dijalankan oleh Sushma dan pasukan penyelidiknya pada tahun 2008 dengan tajuk ”Effect Of Centella asiatica on Mild Cognitive Impairment (MCI) and Other Common Age-Related Clinical Problems” yang diterbitkan dalam jurnal Nanomaterials and Biostructures mendapati bahawa pesakit insomnia yang mengalami peratusan masalah tidur hingga 90 peratus telah menurun kepada lima peratus selepas makan ekstrak pegaga sebanyak 1000 miligram sehari selama enam bulan. Namun begitu, kajian lanjut perlu diteruskan untuk mengenal pasti bahan bio aktif yang bertindak terhadap sel saraf sebelum produk ini boleh dikomersialkan atau dipatenkan.

Pokok pegaga yang hidup subur.

Di samping herba tempatan, pokok yang berasal daripada luar Malaysia turut berpotensi sebagai alternatif bagi mencegah insomnia. Pokok rosemary atau nama saintifiknya dikenali sebagai Rosmarinus officinalis L. daripada keluarga Lamiaceae berasal dari kawasan Mediterranean di benua Eropah.

Kajian terkini yang diterbitkan pada tahun 2024 oleh Taotao Li dan pasukan penyelidiknya dari Shaanxi University of Chinese Medicine mendapati bahawa ekstrak rosemary amat berkesan bagi mengatasi insomnia. Menurut dapatan ini, banyak kajian farmakologi moden menunjukkan bahawa ekstrak rosemary mempunyai kegunaan penting dalam merawat gangguan neurologi, termasuklah insomnia. Kajian juga mendapati bahawa hidrosol rosemary boleh memberikan kesan terapeutiknya kepada masalah insomnia melalui sinaps serotonergic setelah ekstrak tersebut diminum.

Selain itu, pokok herba dengan nama saintifik Polygala tenuifolia telah lama digunakan secara meluas dalam rawatan kanser, masalah lupa dan kemurungan. Kajian yang berkaitan dengan fungsi tersebut diterbitkan dalam Journal of Ethnopharmacology baru-baru ini.

Kajian tersebut menggunakan tikus yang telah diaruhkan untuk mengalami insomnia bagi mengkaji tingkah laku kebimbangan dan kemurungan tikus tersebut. Keputusan kajian menunjukkan bahawa ekstrak P. tenuifolia memanjangkan masa tidur tikus dan meningkatkan rembesan hormon 5-HT, iaitu satu daripada hormon yang berfungsi bagi menstabilkan mood, emosi, tidur dan turut terlibat dalam kawalan pelbagai fungsi tingkah laku dan fisiologi.

Pokok P. tenuifolia.

Demikianlah beberapa contoh tumbuhan herba yang belum dieksploitasi sepenuhnya, terutama bagi mengatasi masalah insomnia. Kajian lanjut juga diperlukan bagi mengenal pasti kelebihan bagi setiap jenis tumbuhan herba yang dibincangkan bagi memastikan penggunaannya adalah lebih baik daripada menggunakan ubat-ubatan sintetik yang mungkin memberikan kesan negatif secara langsung atau tidak langsung kepada badan manusia.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.