Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPersatuan Pencinta Alam Malaysia atau Malaysian Nature Society (MNS) pada setiap tahun menyambut Hari Tanah Lembap Sedunia di Taman Alam Kuala Selangor, Kuala Selangor. Sambutan yang diraikan pada 2 Februari setiap tahun di seluruh dunia ini diadakan bagi memperingati tarikh konvensyen kepentingan tanah lembap antarabangsa yang dikenali sebagai Konvensyen Ramsar yang diadakan di Ramsar, Iran pada 2 Februari 1971.
Sejak tahun 1997, Hari Tanah Lembap Sedunia dimanfaatkan untuk mempromosikan pemuliharaan dan penggunaan terbaik tanah lembap serta meningkatkan kesedaran awam tentang nilai dan faedah tanah lembap. Menyelamatkan ekosistem tanah lembap dapat menjamin kesejahteraan planet. Semua tanah lembap adalah unik mengikut kawasan dan penting dalam pemuliharaan kepelbagaian biologi.
Taman Alam Kuala Selangor atau Kuala Selangor Nature Park (KSNP) ditubuhkan dan diuruskan oleh MNS sejak tahun 1987. Semasa sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia tahun 2013, MNS melancarkan kempen “KSNP untuk RAMSAR”. Kempen ini juga diteruskan pada setiap tahun semasa menyambut Hari Tanah Lembap Sedunia.
Tapak Ramsar ialah kawasan tanah basah yang diwartakan sebagai kawasan berkepentingan antarabangsa yang dipersetujui dalam Persidangan Ramsar di Ramsar, Iran di bawah naungan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Untuk makluman orang ramai, KSNP sudahpun memenuhi kriteria untuk menjadi kawasan Tapak Ramsar. Satu kriteria sahaja sudah memadai untuk KSNP diisytiharkan sebagai Tapak Ramsar. Antara kriteria yang dipenuhi daripada sembilan kriteria yang telah ditetapkan termasuklah:
Kriteria 1: Tapak yang mengandungi tanah lembap yang unik.
Kriteria 2: Melindungi atau mempunyai spesies terancam seperti lotong kelabu, nurung botak kecil, tenggiling dan memerang kecil.
Kriteria 3: Menyokong spesies tumbuhan dan haiwan yang penting untuk mengekalkan kepelbagaian biologi.
Kriteria 8: Penting sebagai kawasan pembiakan ikan, kerang-kerangan serta haiwan marin lain.
Sehingga kini, sebanyak 159 buah negara bersetuju menandatangani Konvensyen Ramsar. Setakat ini, sebanyak 1836 kawasan tanah lembap di seluruh dunia dengan keluasan 171,954,584 hektar yang meliputi kawasan paya bakau, rumpai laut, terumbu karang dan pelbagai ekosistem lain.
Di Malaysia terdapat tujuh Tapak Ramsar. Tasik Bera merupakan Tapak Ramsar pertama di Malaysia yang diwartakan pada 10 Mac 1995. Antara Tapak Ramsar lain di Semenanjung Tanah Melayu termasuklah Pulau Kukup, Tanjung Piai dan Sungai Pulai yang diisytiharkan pada 31 Januari 2003.
Tapak Ramsar di Sarawak diisytiharkan pada 8 November 2005 sebagai Tapak Ramsar kelima di Malaysia, manakala Tapak Ramsar di Tanah Lembap Hilir, Kinabatangan-Segama, Sabah dan Tanah Lembap Kota Kinabalu, Sabah masing-masing diisytiharkan sebagai Tapak Ramsar keenam dan ketujuh pada tahun 2008 dan tahun 2013.
KSNP juga merupakan tempat persinggahan penting bagi burung hijrah. Pada setiap tahun antara bulan Oktober hingga April, semasa keadaan sejuk melampau di hemisfera utara, beribu-ribu burung hijrah singgah di KSNP dan pantai berlumpur yang menghadap Selat Melaka. KSNP dan pantai barat Semenanjung Tanah Melayu merupakan kawasan penting dalam rangkaian Laluan Burung Hijrah Asia Timur Australasia atau East Asian-Australasian Flyway (EAAF).
EAAF ialah satu daripada rangkaian laluan burung hijrah di dunia yang melibatkan sebanyak 22 negara yang merangkumi Timur Jauh Rusia dan Alaska menuju ke arah selatan dan melalui Asia Timur, Asia Tenggara, Australia dan New Zealand. Oleh sebab laluan burung hijrah ini melalui banyak negara, maka kerjasama antarabangsa bagi melindungi habitat dan burung ini sangat penting. Malaysia menyertai perkongsian East Asian-Australasian Flyway Partnership pada 20 November 2012.
Sepanjang EAAF, terdapat 154 Tapak Jaringan Laluan Hijrah. Jumlah tapak merangkumi sebanyak 34 tapak di Jepun, 25 tapak di Australia, 20 tapak di China, 18 tapak di Republik Korea, 11 tapak di Mongolia, 10 tapak di Rusia, enam tapak di Bangladesh, lapan tapak di Myanmar, empat tapak di New Zealand, empat tapak di Filipina, tiga tapak di Thailand, dua tapak masing-masing di Amerika Syarikat, Indonesia dan Republik Rakyat Demokratik Korea, manakala satu tapak di Kemboja, Papua New Guinea, Singapura, Vietnam dan Malaysia. Jumlah keseluruhan kawasan adalah sebanyak 23,087,819 hektar.
Pihak MNS telah lama memantau kehadiran populasi burung hijrah di sepanjang pantai Selangor. Pada Januari setiap tahun, pada waktu puncak, populasi burung hijrah di pantai Selangor, MNS menjalankan aktiviti mengira burung hijrah mengikut spesies yang hadir melalui program khas yang dikenali sebagai Asian Waterbirds Census.
Antara kawasan tumpuanbagi program tersebut termasuklah kepulauan Pulau Kelang dan kawasan pantai Kapar. Pemantauan jangka panjang ini menilai dan menentukan kawasan fokus persinggahan burung hijrah pantai yang sesuai untuk spesies ini makan semasa air surut dan berehat semasa air pasang sebelum meneruskan perjalanan ke selatan atau utara.
Sejarah KSNP bermula daripada sebuah kawasan hutan paya bakau yang sihat sejak 1940-an sehinggalah kawasan itu dibersihkan untuk penghasilan garam laut pada tahun 1970-an. Projek berkenaan tidak berjaya dan terbiar yang akhirnya menjadi tempat burung berhijrah singgah.
Sehinggalah pada tahun 1987, MNS memperjuangkan agar kawasan itu dilindungi untuk kepentingan burung hijrah, pendidikan, penyelidikan dan kepentingan awam dalam perikanan. Akhirnya, pada tahun 1997 KSNP diberikan status “Rizab Alam Semula Jadi” untuk tujuan pemuliharaan dan pelancongan.
Proses pewartaan kawasan seluas 292.18 hektar sedang berjalan selepas diluluskan oleh Majlis Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2018 dengan nama Hutan Simpan Melawati. MNS berharap agar urusan ini dapat disegerakan oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Dari segi alam semula jadi, hutan KSNP sangat penting kerana terdapat lotong kelabu yang unik di Kuala Selangor. Lotong kelabu atau nama saintifiknya Trachypithecus selangorensis yang hanya terdapat di KSNP. Antara keunikan spesies ini termasuklah habitatnya dan tidak banyak kajian yang berkaitan dengan haiwan ini. Kelebihan ini menjadikan hutan KSNP antara yang penting di dunia. Promosi pintar juga akan dapat menarik ahli primatologi tempatan dan antarabangsa untuk melaksanakan kajian berkaitan spesies tersebut.
Dalam sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia pada tahun ini, MNS menanam sebanyak 3000 anak bakau kurap (Rhizophora mucronata). Sukarelawan daripada pelajar sekolah, universiti dan 20 agensi tempatan di sekitar Kuala Selangor terlibat dengan aktiviti menanam pokok bakau, selain penganjuran ceramah, bengkel dan aktiviti lain.
Usaha pemantauan, pemulihan dan memperkayakan habitat paya bakau di KSNP sentiasa diteruskan oleh pihak MNS adalah untuk kepentingan penyelidikan, pendidikan dan pemuliharaan. Aktiviti communication, education and public awareness (CEPA) akan diteruskan, bukan sahaja melibatkan pelajar sekolah dan guru, malah penduduk tempatan dan semua pemegang taruh yang berkaitan dengan tanah lembap.
Antara aktiviti tahunan utama lain yang dijalankan di KSNP termasuklah Sambutan Hari Memerang Sedunia pada Mei, Sambutan Hari hari Kelip-kelip Sedunia pada Julai, Sambutan Hari Burung Hijrah melalui aktiviti Festival of Wings pada bulan Oktober dan lain-lain mengikut kesesuaian. Kursus atau bengkel guru Kelab Pencinta Alam (KPA)–MNS dari sekolah di seluruh Malaysia juga diadakan bersempena dengan hari berkenaan.
Dalam bengkel yang dianjurkan, guru lazimnya akan diberikan maklumat baharu tentang isu alam sekitar dan perkongsian pengalaman termasuk mempromosikan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) melalui aktiviti alam semula jadi dan alam sekitar.
MNS mempunyai hampir 500 sekolah KPA di seluruh Malaysia. Melalui KPA, aktiviti CEPA akan lebih berkesan. Melalui KPA, setiap sekolah akan mengadakan aktiviti yang dilakukan oleh MNS pada peringkat pusat di sekolah masing-masing atau pada peringkat negeri.
Bagi menjayakan program pemuliharaan alam semula jadi sebagai khazanah penting negara, aktiviti CEPA dan KPA mesti diteruskan dengan aktif serta mendapat pengiktirafan dan bantuan daripada semua pihak. Aktiviti seperti ini dilihat lebih cepat mempengaruhi semua pihak dalam melaksanakan perlindungan dan pewartaan hutan simpan kekal di KSNP.
Profesor Dr. Ahmad Ismail, mantan Presiden MNS.