26 Februari 2024, 15:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Benua Antartika bukan sahaja berfungsi dari segi geografi, malah memainkan peranan yang penting dalam mengawal iklim global dan memberikan kesan kepada iklim negara.”

Demikian menurut Pensyarah dan Penyelidik (Ekologi Marin), Fakulti Perikanan dan Sains Makanan, Universiti Malaysia Terengganu, YBrs. Dr. Wan Mohamad Rauhan Wan Hussin yang berkesempatan mengupas tajuk “Perubahan Antartika Pengaruhi Iklim Negara” dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia yang bersiaran secara langsung di saluran Radio Televisyen Malaysia, pagi tadi.

Pensyarah dan Penyelidik (Ekologi Marin), Fakulti Perikanan dan Sains Makanan, Universiti Malaysia Terengganu, YBrs. Dr. Wan Mohamad Rauhan Wan Hussin ketika bersiaran secara langsung dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia bagi mengupas isu “Perubahan Antartika Pengaruhi Iklim Negara”.

Menurut beliau, benua Antartika diselaputi oleh lapisan ais putih yang bertindak sebagai pemantul haba. Peningkatan suhu di lautan sekitarnya juga berlaku apabila ais mencair disebabkan oleh pemanasan global.

“Lautan Selatan yang mengelilingi Antartika bersambung kepada tiga lautan utama di dunia yang berfungsi dalam mengawal iklim global. Pencairan ais di Antartika juga dapat meningkatkan paras air laut, sekali gus memberikan kesan langsung terhadap garis pantai dan kawasan pesisir di Malaysia,” kata YBrs. Dr. Wan Mohamad Rauhan.

Dalam sesi perbincangan tersebut, beliau turut berkongsikan hasil kajiannya yang berkaitan dengan hal ini dan mendapati bahawa organisma di dasar laut Antartika amat memainkan peranan dalam menjaga keseimbangan ekologi, termasuklah dalam penyerapan dan penyimpanan karbon.

Peningkatan suhu air laut dan penurunan jumlah organisma di dasar laut memberikan impak negatif terhadap ekosistem setempat. Kematian organisma berkenaan juga menyumbang kepada pemanasan global.

Tegas beliau, keberadaan organisma di dasar laut merupakan petunjuk yang penting terhadap keadaan ekologi dan kesihatan ekosistem laut serta kehilangan organisma tersebut menjadi petanda akan perubahan yang tidak baik dalam ekosistem laut tempatan.

Ujar beliau, pencairan ais turut menyebabkan serbuk debu ke dalam sistem air laut yang memberikan kesan buruk kepada fauna laut yang mendiami kawasan berkenaan.

Menurutnya lagi, Malaysia sebagai satu-satunya negara Asia Tenggara yang menandatangani Perjanjian Antartika turut terlibat dalam usaha global untuk mengawal perubahan iklim.

Oleh hal yang demikian, masyarakat di negara ini seharusnya melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam mengurangkan kesan perubahan iklim demi memelihara ekosistem laut dan garis pantai dengan sebaik-baiknya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.