23 Februari 2024, 12:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada Ogos 2023, Malaysia dikejutkan dengan berita mengenai wabak pertusis di Rompin, Pahang. Dalam tempoh antara Januari 2023 hingga Ogos 2023, sebanyak 329 kes pertusis dengan 23 kematian dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 66.6 peratus kes pertusis melibatkan warganegara, manakala selebihnya bukan warganegara. Walau bagaimanapun, menurut KKM lagi, jumlah kes pertusis adalah menurun jika dibandingkan dengan jumlah kes dalam tempoh masa yang sama pada tahun 2019.

Menurut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, kes pertusis perlu dilaporkan kepada pejabat kesihatan daerah berhampiran dalam tempoh 24 jam. Pada peringkat global, pertusis merupakan punca utama morbiditi dan kematian bagi bayi yang berumur kurang daripada dua tahun.

Pertusis yang juga dikenali sebagai batuk kokol (whooping cough) merupakan radang akut yang terjadi kepada saluran pernafasan, terutamanya trakea dan bronkus. Radang akut ini berlaku disebabkan oleh jangkitan bakteria yang dikenali sebagai Bordettella pertussis pada kedua-dua struktur tersebut. Nama penyakit atau jangkitan ini diperoleh daripada bakteria tersebut, manakala nama penyakit whooping cough pula berasal daripada gejala pertusis itu sendiri yang menghasilkan bunyi “whoop”.

Pertusis hanya berlaku pada manusia dan sangat mudah merebak. Individu yang berisiko tinggi untuk terkena pertusis terdiri daripada kanak-kanak yang tidak mendapat vaksin, terdedah kepada individu yang terkena jangkitan atau wabak dan wanita hamil. Wabak pula boleh berlaku di sekolah, pusat jagaan kanak-kanak atau hospital.

Semasa wabak, tumpuan diberikan untuk melindungi bayi dan individu yang berisiko tinggi daripada jatuh sakit dan mati akibat batuk kokol. Selain itu, objektif seterusnya adalah untuk melindungi individu dari semua peringkat umur daripada dijangkiti pertusis.

Foto bakteria (Bordetella pertussis) yang diambil daripada mikroskop. Bakteria ini mempamerkan calitan gram negatif dan berbentuk kokobasilus.

Bagaimanakah Pertusis Merebak?

Bordetella pertussis merebak dengan mudah melalui udara. Apabila seseorang yang mengalami pertusis bersin atau batuk, mereka mengeluarkan molekul kecil yang mengandungi bakteria (Bordetella pertussis) di dalamnya. Bakteria ini juga boleh merebak apabila orang ramai menghabiskan banyak masa bersama dan berkongsi ruang yang sama dengan individu yang terkena jangkitan.

Bakteria boleh tersebar daripada individu yang terkena jangkitan bermula pada peringkat awal gejala pertama dan sekurang-kurangnya dua minggu selepas batuk bermula. Bordetella pertussis melekat pada silia sel pernafasan, menghasilkan toksin yang melumpuhkan silia tersebut dan menyebabkan gangguan pada proses pembersihan rembesan paru-paru daripada jangkitan.

Orang ramai boleh menyebarkan jangkitan walaupun mereka tidak tahu bahawa mereka menghidapnya. Sesetengah individu hanya mempunyai gejala yang ringan, malah ada yang tidak menyedari bahawa mereka terkena jangkitan.

Malangnya, individu ini boleh menyebarkan bakteria tersebut kepada individu lain. Begitu juga dengan bayi yang dijangkiti pertusis daripada adik-beradik, ibu bapa atau penjaga yang tidak mengetahui bahawa mereka menghidapi pertusis.

Gejala dan Tanda Pertusis

Batuk kokol sering kali bermula seperti selesema biasa. Selepas itu, gejala batuk akan terjadi dan berlarutan selama beberapa minggu atau bulan. Gejala pertusis biasanya timbul dalam tempoh lima hari hingga 10 hari selepas individu bersentuhan dengan cecair daripada oral dan sistem pernafasan individu yang terkena jangkitan. Keadaan ini menjadikan tempoh inkubasi pertusis sekitar antara tiga hari hingga 12 hari.

Jangkitan pertusis boleh dibahagikan kepada tiga peringkat atau fasa, iaitu katar (catarrhal), paroksismal (paroxysmal) dan pemulihan (convalescent) yang masing-masing berlangsung dalam tempoh satu minggu hingga dua minggu.

Peringkat 1: Fasa Katar

Gejala dalam fasa ini terdiri daripada hidung tersumbat, hingus yang cair dan sering bersin yang disertai dengan demam ringan dan radang pada lapisan konjunktiva (mata). Individu yang berada dalam fasa ini sangat mudah menjangkiti individu lain. Fasa ini berlangsung dalam tempoh satu minggu hingga dua minggu dan amat sukar untuk dibezakan daripada demam selesema biasa.

Peringkat 2: Fasa Paroksismal

Pesakit dalam fasa kedua mengalami batuk paroksisme (paroxysms), yakni batuk yang kuat dan tidak terkawal yang berlangsung untuk beberapa minit. Dalam kalangan kanak-kanak, batuk paroksisme kadang-kadang diikuti dengan bunyi “whoop” yang kuat. Bunyi ini terjadi apabila udara disedut melalui saluran udara yang separa tertutup. Bayi berumur kurang daripada enam bulan tidak mempunyai ciri “whoop” tetapi mungkin mengalami episod apneik (pernafasan terhenti seketika).

Pesakit yang mengalami batuk paroksisme berisiko untuk muntah, dehidrasi (kehilangan air dalam badan), mengalami pendarahan pada lapisan konjunktiva, kesukaran bernafas dan keletihan yang amat ketara kesan daripada batuk tersebut.

Peringkat 3: Fasa Pemulihan

Pemulihan daripada batuk kokol boleh menjadi proses yang agak perlahan. Batuk menjadi lebih ringan, berkurangan dan berhenti seketika. Namun demikian,  batuk boleh kembali jika seseorang itu mendapat jangkitan pernafasan lain. Apabila hal ini berlaku, batuk akan kembali untuk suatu jangka masa yang lama (tiga minggu hingga berbulan-bulan). Keadaan ini dikenali sebagai batuk kronik.

Bagaimanakah Pertusis Dikesan?

Pendekatan untuk memperoleh diagnosis pertusis mestilah jelas dan harus berpandukan kepada gejala dan tanda yang dialami oleh pesakit. Seterusnya, spesimen seperti cecair nasofarinks atau calitan (swab) daripada nasofarinks mestilah diperoleh daripada pesakit.

Berdasarkan syor atau cadangan daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, spesimen tersebut mestilah menjalani dua ujian yang berbeza, iaitu:

  • Pengkulturan atau pemencilan Bordetella pertussis daripada spesimen.

Proses ini merupakan proses piawaian untuk pertusis yang melibatkan pengkulturan cecair nasofarinks ke atas medium terpilih, iaitu Bordet-Gengou atau Regan-Lowe dan dieramkan di dalam inkubator selama 10 hari hingga 14 hari. Kadar pemencilan bakteria adalah tinggi semasa fasa katar dan paroksismal, namun semakin menurun selepas minggu keempat jangkitan.

Bordetella pertussis dipencilkan di atas agar Bordet-Gengou. Bakteria ini mempamerkan morfologi koloni yang kecil, berkilat, bulat dan berwarna merkuri–perak.
  • Ujian tindak balas rantai polimerase (PCR)

Ujian PCR semakin kerap digunakan untuk membantu dalam mendiagnosis pertusis. Hal ini dikatakan demikian kerana ujian ini mempunyai kelebihan seperti sensitiviti ujian PCR yang lebih tinggi berbanding dengan pengkulturan. Ujian ini juga mampu menyediakan keputusan yang lebih cepat kerana ujian PCR tidak melibatkan pemencilan bakteria.

Bagaimanakah Pertusis Dirawat?

Rawatan bagi pertusis boleh dibahagikan kepada dua kategori yang masing-masing mempunyai objektifnya yang tersendiri.

Terapi simptomatik atau sokongan merupakan rawatan utama bagi pesakit yang mengalami pertusis. Antara matlamat terapi ini termasuklah mengurangkan paroksisme, memantau keterukan batuk paroksisme dan memaksimumkan pemakanan, rehat serta pemulihan. Bantuan pernafasan secara mekanikal dan bekalan oksigen juga disediakan mengikut keperluan. Bayi pula perlu dipantau dengan teliti untuk apnea dan hipoksia (kekurangan bekalan oksigen dalam darah).

Kemasukan ke hospital adalah perlu bagi bayi yang berumur kurang daripada enam bulan, bayi pramatang atau mana-mana bayi dan kanak-kanak yang mempunyai sejarah penyakit seperti jantung, pernafasan atau neuromuskular. Dalam kalangan orang dewasa pula, pesakit yang menghidap radang paru-paru, hipoksia atau dehidrasi harus dipertimbangkan untuk kemasukan ke hospital.

Rawatan dengan menggunakan antibiotik mempunyai matlamat untuk menghapuskan bakteria yang terdapat di dalam nasofarinks. Kaedah rawatan ini juga mampu mengurangkan dan mencegah jangkitan bakteria kedua selain Bordetella pertussis (jangkitan sekunder). Antara antibiotik yang sering diberikan kepada pesakit termasuklah antibiotik dalam kumpulan macrolida bagi tempoh lima hari hingga 14 hari dan bergantung pada jenis antibiotik itu sendiri. Di samping itu, antibiotik ini boleh diberikan kepada mana-mana kontak rapat pesakit untuk mencegah mereka daripada mengalami pertusis.

Adakah Pertusis Mampu Dicegah?

Imunisasi masih kekal sebagai langkah pencegahan daripada menghidapi jangkitan pertusis. Pemvaksinan kini disyorkan dengan vaksin pertusis tanpa sel yang digabungkan bersama-sama dengan difteria dan tetanus (DTaP).

Vaksin ini harus diambil pada usia dua bulan, empat bulan, enam bulan, antara 15 bulan hingga 18 bulan dan pada empat tahun hingga enam tahun. Dos penggalak bagi Tdap adalah disarankan dan bukannya penggalak difteria-tetanus toxoid (Td).

Dos penggalak Tdap diberikan pada usia 19 tahun dan ke atas. Tdap juga disyorkan sebelum kehamilan, namun mungkin diberikan semasa hamil, yakni selepas 20 minggu. Selain itu, pihak Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit menyarankan agar semua orang dewasa menerima satu dos Tdap untuk mengurangkan penularan pertusis kepada kanak-kanak.

Vaksin Tdap.

Pada Ogos 2023, menurut Menteri Kesihatan Malaysia, semua wanita hamil di negara ini, termasuklah bukan warganegara akan menerima vaksin Tdap secara percuma.

 

Profesor Madya Dr. Fadzilah Mohd Nor @ Ghazali, Profesor Madya dan Pakar Perunding Klinikal Mikrobiologi Perubatan, Jabatan Mikrobiologi Perubatan dan Parasitologi, Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.