Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangGraptophyllum pictum dikatakan berasal dari Papua New Guinea dan rantau Asia Tenggara, terutamanya Indonesia dan Malaysia. Spesies ini mempunyai taburan dari kawasan tropika hingga subtropika di dunia kerana spesies ini sangat sesuai membiak di kawasan yang panas serta mempunyai kelembapan yang tinggi.
G. pictum merupakan spesies daripada famili Acanthaceae. Nama tempatannya ialah daun ungu, manakala nama vernakular bagi spesies ini ialah karikatur, daun wungu (Indonesia), puding atau bai ngeoun (Thailand).
Spesies ini sangat sesuai ditanam kerana kecantikan dan keunikan daunnya yang berwarna-warni. G. pictum juga banyak ditemukan di taman sebagai tumbuhan hiasan. Spesies ini juga dijual di pelbagai tempat jualan tanaman hiasan dan nurseri.
Kultivarnya pula mempunyai pelbagai jenis warna daun, termasuklah ungu, merah jambu, hijau dan kombinasi warna lain. Spesies ini boleh ditanam melalui biji atau keratan batang.
Penyemaian dan Penanaman Biji Benih
Penyemaian dan Penanaman Batang
Dari sudut landskap, walaupun G. pictum sesuai untuk tumbuh dalam kebanyakan keadaan, namun tumbuhan ini akan rosak atau mati apabila tumbuh di tanah yang beralkali dan persekitaran yang mempunyai kepanasan yang melampau. Namun begitu, bagi kawasan tanah yang mempunyai kelembapan dan kesuburan yang baik, keadaan tersebut akan membantu pertumbuhan vegetatif yang kuat.
Selain itu, tumbuhan ini sekali-sekala boleh diserang oleh hama, labah-labah dan serangga. Isu ini juga akan menjadi masalah bagi pembekalan pokok landskap G. pictum untuk tujuan pengedaran dan bekalan kepada pembeli. Oleh hal yang demikian, kaedah pengurusan serangga perosak, virus, bakteria dan kulat perlu digunakan untuk memastikan tanaman G. pictum berjaya dibiakkan.
Spesies ini boleh tumbuh pada ketinggian dua meter hingga tiga meter. Daunnya berbentuk oval hingga elips dan berwarna hijau tua serta bertompok-tompok dengan warna krim kemerahan di sepanjang bahagian tengah daun.
Bunga spesies ini biasanya mekar pada musim panas dengan ciri jambak bunga sehingga 0.5 meter panjang. Bunganya juga berbentuk tiub yang terdiri daripada benang sari yang menonjol dan berwarna merah hingga ungu kemerahan.
Tidak banyak bukti saintifik yang menyokong penggunaan G. pictum sebagai tumbuhan ubat-ubatan dan hanya sedikit kajian mengenai potensi tersebut. Namun demikian, berdasarkan perbualan dengan masyarakat setempat yang mengamalkan rawatan tradisional, daun dan bunga spesies ini digunakan dalam perubatan tradisional.
Antara penggunaan G. pictum termasuklah meminum air rebusan daun untuk menghancurkan batu karang di dalam pundi hempedu dan menghilangkan sakit senggugut. Daun yang dilumatkan juga digunakan secara luaran untuk rawatan reumatisme dan bisul. Bunganya pula direbus dan digunakan untuk melancarkan haid bagi wanita. Kajian juga menunjukkan daun spesies ini mengandungi flavonoid, steroid, glikosida, alkaloid, karbohidrat, saponin, fenolik, tanin, kumarin, antrakuinon dan gula.
Selain itu, spesies ini menunjukkan pelbagai aktiviti farmakologi seperti antidiabetik seperti yang dibuktikan dalam kajian sebelum ini. Ekstrak daun yang segar daripada tumbuhan ini juga selamat digunakan untuk tempoh singkat bagi pemberian secara oral untuk pesakit diabetes.
Selain itu, hasil kajian juga menunjukkan daun ungu mempunyai sifat antioksidan, antiplaque, antikeradangan, antiradang, antibakteria, antikulat dan antivirus. Terdapat juga pengamal tradisional yang menjadikan daun spesies ini sebagan bahan asas dalam pembuatan julap.
Oleh hal yang demikian, nilai ekonomi spesies ini boleh berbeza-beza dan bergantung pada pelbagai factor seperti permintaan pasaran, penggunaannya dalam industri hiasan dan potensi faedah lain.
Beberapa faktor lain yang boleh mempengaruhi nilai ekonomi G. pictum melibatkan:
Kesimpulannya, kekayaan dan potensi kepelbagaian biologi spesies tumbuhan seperti ini perlu direkodkan, dikaji dan didokumentasikan secara sistematik. Usaha ini penting agar maklumat ini boleh menjadi rujukan dari semasa ke semasa bagi kegunaan masyarakat, pihak industri dan penyelidik akan datang.
Profesor Madya Dr. Noraini Talip dan Dr. Ahmad Fitri Zohari, Taman Botani Bangi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia.