16 Februari 2024, 12:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada tahun 2030, Malaysia dijangka mempunyai sebanyak 200 ribu pesakit demensia atau lebih dikenali sebagai nyanyuk, lapor Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia. Perangkaan itu diramalkan bakal meningkat hingga 312 peratus atau lebih daripada 600 ribu orang pada tahun 2030.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pula melaporkan lebih daripada 55 juta individu menderita penyakit berkenaan. Sebanyak 60 peratus daripadanya juga tinggal di negara berpendapatan rendah dan sederhana. Lebih mengejutkan, hampir 10 juta kes baharu direkodkan pada peringkat global. Hal ini bermakna krisis kesihatan tersebut perlu diberikan perhatian lanjut.

Secara perubatan, demensia merupakan gangguan otak progresif yang berlaku hingga mengakibatkan daya ingatan, pemikiran dan kemahiran menaakul seseorang semakin merosot dari semasa ke semasa.

Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan lebih daripada separuh pesakit nyanyuk mengalami penyakit Alzheimer. Kadar kekerapan masalah itu juga akan berganda pada setiap lima tahun seiring dengan peningkatan usia bagi individu yang berumur 65 tahun ke atas.

Dalam satu kajian terkini yang bertajuk “Tingkah Laku Sedentari dan Kejadian Demensia dalam Kalangan Warga Emas” yang diterbitkan dalam The Journal of the American Medical Association (JAMA) pada September 2023 mendedahkan penemuan baharu. Output penyelidikan tersebut menunjukkan orang tua yang mempamerkan tingkah laku sedenteri, iaitu pergerakan minimum dan penggunaan tenaga yang amat kurang berpotensi meningkatkan risiko demensia.

Data berkenaan diperoleh daripada 49,841 individu berusia 60 tahun ke atas yang dipakaikan akselerometer serta tidak didiagnosis dengan penyakit itu. Alatan tersebut adalah untuk mengukur kecepatan benda atau objek. Projek berkenaan berlangsung dalam tempoh yang agak lama, bermula pada Februari 2013 hingga Disember 2015, diikuti pada September 2021 di England, Julai 2021 (Scotland) dan Februari 2018 (Wales).

Keputusan daripada bacaan kajian itu juga menyaksikan semakin banyak masa orang dewasa yang lebih tua mempamerkan tingkah laku yang tidak aktif dengan purata 10 jam sehari, semakin tinggi kemungkinan demensia terjadi. Ujar beliau, tindak-tanduk sedemikian sering dikaitkan dengan penyakit kronik seperti diabetes tahap dua, hipertensi dan masalah jantung.

Warga emas yang hanya duduk di rumah sepanjang masa dan tidak melakukan sebarang aktiviti berpotensi besar untuk menjadi nyanyuk.

Sementara itu, dalam suatu kajian lain mendapati bahawa duduk dalam jangka masa yang lama dan perilaku sedenteri lain mempunyai korelasi dengan obesiti, beberapa jenis kanser, penyakit metabolik (akibat ketidakmampuan badan untuk memecahkan sumber makanan menjadi tenaga yang diperlukan), masalah kesihatan mental seperti kemurungan, termasuklah demensia.

Dilaporkan juga bahawa senaman bukan sahaja menyumbang kepada kesihatan secara menyeluruh, malah mengurangkan ancaman nyanyuk. Misalnya, senaman kardiovaskular dengan intensiti sederhana boleh membantu dalam mengatasi demensia.

Penyelidikan juga mencadangkan senaman kardio yang dilakukan selama 30 minit dengan intensiti sederhana pada setiap hari sudah cukup untuk mengurangkan risiko kehilangan ingatan dengan ketara apabila seseorang itu semakin menua.

Kebanyakan pakar telah lama mempercayai bahawa senaman sememangnya boleh membantu melindungi daripada demensia terus terjadi. Rata-rata penyelidikan juga menyatakan bahawa aktiviti fizikal yang kerap dalam pelbagai bentuk memainkan peranan yang besar dalam usaha memerangi permasalahan nyanyuk.

Aktiviti Santai

Terdahulu, dalam satu penyelidikan yang turut disiarkan di JAMA pada Disember 2021 melaporkan bahawa orang ramai tidak perlu menjadi pelari maraton untuk memastikan otak sentiasa sihat. Dengan membersihkan rumah, berjalan-jalan di kawasan kejiranan waima ke kedai runcit pun boleh menolong menyekat perkembangan demensia.

Kajian berkenaan berlangsung selama hampir empat tahun dengan melibatkan sebanyak 62 ribu responden. Sebanyak 3757 daripada mereka juga telah didiagnosis dengan penyakit berkenaan.

Senaman ringan berupaya mengurangkan risiko nyanyuk.

Bukan Hanya Orang Tua

Meskipun warga emas selalu dikaitkan dengan penyakit nyanyuk, sesetengah golongan perlu lebih berwaspada. Kebanyakan kes demensia juga adalah disebabkan oleh gejala bagi penyakit tertentu. Antaranya termasuklah:

1) Alzheimer

Demensia yang paling biasa. Penyakit Alzheimer juga membentuk sebanyak 60 peratus hingga 80 peratus kes demensia.

2) Demensia vaskular

Demensia vaskular berlaku disebabkan oleh pengurangan aliran darah ke dalam otak. Keadaan ini mungkin hasil daripada pembentukan plak di dalam arteri yang menyalurkan darah ke otak yang lebih dikenali sebagai strok.

3) Demensia dengan penyakit jasad Lewy

Demensia ini merupakan satu daripada demensia progresif akibat pendepositan protein dalam sel saraf yang menghalang otak daripada menghantar isyarat kimia. Keadaan ini mengakibatkan seseorang itu kehilangan mesej, ingatan dan tindak balas tertunda.

4) Penyakit Parkinson

Individu yang menghidap penyakit Parkinson lanjutan mungkin mengalami demensia. Pada kebiasaannya, pesakit akan berhadapan dengan masalah dengan penaakulan dan pertimbangan serta peningkatan kerengsaan, paranoia dan kemurungan.

5) Demensia frontotemporal

Pesakit dalam kategori ini dipengaruhi oleh perubahan pada bahagian depan dan sisi otak. Gejala biasanya merujuk kesukaran berbahasa dan tingkah laku, termasuklah kehilangan perencatan akal (tahap pembelajaran rendah).

Dementia Australia melaporkan bahawa genetik boleh mempengaruhi nyanyuk dan dikenali sebagai Alzheimer’s Disease keluarga (FAD). Hal ini bermaksud jika ibu bapa mempunyai gen bermutasi yang menyebabkan FAD, setiap anak mempunyai peluang hingga 50 peratus Namun begitu, keadaan tersebut hanya melibatkan sebilangan kecil keluarga. Di Australia sendiri, kurang daripada 100 keluarga mewarisi FAD.

Isu Keselamatan dan Kematian

Penyakit nyanyuk yang mungkin dihadapi oleh ibu bapa atau orang sekeliling yang rapat dengan kita tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa rawatan daripada pakar. Masalah kesihatan tersebut turut memberikan impak kepada sistem dalam badan yang akhirnya menjejaskan keupayaan penghidap. Antara implikasi yang akan ditanggung adalah seperti berikut:

1) Tidak cukup nutrien

Kadangkala, pesakit sukar untuk mengunyah atau menelan makanan mereka. Natijahnya, nutrien yang diperlukan oleh badan tidak mencukupi.

2) Pneumonia

Dalam sesetengah kes, fungsi saraf seseorang boleh menyebabkan masalah untuk menelan. Apabila hal itu terjadi, kemungkinan untuk tercekik adalah tinggi dan makanan juga boleh memasuki paru-paru, sekali gus mengakibatkan keradangan.

3) Ketidakupayaan untuk menjaga diri

Banyak kes menyaksikan pesakit tidak dapat menjaga diri sendiri walaupun untuk mandi, berpakaian, memberus gigi, menyisir rambut, termasuklah menggunakan tandas secara bebas, apalagi mengambil ubat sendiri.

4) Keselamatan

Semestinya yang paling ditakuti ialah isu keselamatan seperti memasak, berjalan bersendirian ataupun memandu. Pesakit nyanyuk biasanya mengalami masalah dengan arah dan ingatan.

5) Kematian

Demensia pada peringkat akhir boleh mengakibatkan pesakit koma atau mati. Lazimnya, perkara ini berlaku disebabkan oleh penyakit sekunder dan jangkitan.

Adakah nyanyuk boleh dirawati? Menurut Alzheimer’s Society, United Kingdom, setakat ini krisis kesihatan tersebut tidak boleh diubati, namun dengan pembelajaran dan sokongan kepada pesakit serta penjaga, hal tersebut sedikit sebanyak dapat membantu mengawal sesetengah gejala penyakit.

Antara perkara yang membantu dalam menguruskan gejala demensia seperti yang dikongsikan oleh WHO termasuklah:

1) Makan makanan yang memiliki gizi seimbang.

2) Berhenti merokok dan minum alkohol.

3) Dapatkan pemeriksaan berkala dengan pakar.

4) Melakukan hobi dan hal yang disukai.

5) Melaksanakan perkara baharu untuk memastikan minda sentiasa aktif.

6) Luangkan masa bersama-sama rakan dan keluarga atau sertai kumpulan sokongan serta hidup bermasyarakat.

Di samping itu, beberapa alternatif untuk mengurangkan kegelisahan pesakit demensia boleh dilakukan seperti:

1) Terapi urut.

2) Terapi muzik dengan mendengarkan muzik yang menenangkan.

3) Terapi haiwan peliharaan yang dikatakan dapat memperbaik tingkah laku dan mood.

4) Terapi seni, termasuklah aromaterapi dengan bau-bauan yang wangi.

Berdasarkan sumber lain, kajian mendapati bahawa aktiviti yang merangsang intelek seperti bermain catur dan membaca dapat mengurangkan risiko berlakunya demensia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.